Khamis, 7 Januari 2021

Covid19:Semakin genting - 3,027 kes baru, 8 kematian hari ini

 


Penularan wabak Covid-19 semakin genting di negara ini dengan 3,027 kes baru dilaporkan setakat ini. Semalam, Malaysia merekodkan 2,593 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berada pada 25,742 kes manakala jumlah keseluruhan kes pada 128,465.

Semalam, dia memberi peringatan mengenai keadaan wabak Covid-19, dengan mencadangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih "disasarkan" untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Katanya, sistem penjagaan kesihatan kini bergelut dengan pertambahan jumlah pesakit dan sedang berada pada "tahap genting" (breaking point).

Perangkaan hari ini, menunjukkan Johor mengatasi negeri-negeri lain dengan 1,103 kes manakala Selangor pula mempunyai 706 kes.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Sabah (493), Kuala Lumpur (316), Pulau Pinang (111), Kelantan (66), Perak (59), Kedah (30), Pahang (25), Putrajaya (17), Sarawak (14), Melaka (11), Terengganu (10) dan Labuan (3).

Hanya Perlis yang tidak mempunyai sebarang kes.

Sementara itu, daripada keseluruhan 3,027 kes baru hari ini, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 2,145 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 102,723 atau 79.96 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 142 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 63 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Daripada jumlah itu tujuh mangsa adalah warga negara.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 521 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

-mindarakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan