KUALA LUMPUR: Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terkejut sekiranya UMNO sanggup bersekongkol dengan DAP demi kuasa dalam kemelut politik di Perak.
Pengerusinya, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor berkata, ia sifat parti itu yang tidak mampu diubah walaupun ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lepas.
"Kita menzahirkan rasa kesal ke atas apa yang berlaku di negeri Perak. Ia membuktikan bahawa parti-parti yang dianggap rakan seperjuangan untuk memartabatkan orang Melayu di negeri Perak telah berpaling tadah dan memberi ruang kepada kerajaan bukan Melayu untuk berkuasa.
"Ia juga menggambarkan kerakusan kuasa oleh kumpulan mereka yang tamak haloba," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Pada Jumaat, ADUN Chenderiang yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya di Sidang Dewan Undangan Negeri pagi Jumaat dengan 48 menolak manakala 10 lagi ADUN menyokong dan satu undi berkecuali.
Dalam pada itu, Ema Syuhaili berkata, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa undi percaya hanya untuk menukar Menteri Besar Perak adalah tidak relevan sama sekali.
"Hal ini kerana Perkara 16 (6) Undang Tubuh Negeri Perak (dan Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan) memperuntukkan; apabila Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti Dewan, dia hendaklah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar (atau menasihatkan untuk bubar Dewan).
"Apabila Menteri Besar telah meletakkan jawatan, maka Kabinet atau Exco secara automatiknya akan terbubar dengan sendiri.
"Maka, kerajaan yang didominasi Melayu untuk membela orang Melayu di Perak telah runtuh sama sekali oleh perbuatan 'tangan-tangan UMNO' yang terlalu ghairah untuk berkuasa." tegasnya.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menggesa parti politik di negeri Perak untuk mencari formula terbaik dalam menyelesaikan krisis politik di negeri itu.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Annuar Zaini berkata bukan tanggungjawab Sultan Nazrin untuk menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku.
-mindarakyat
0 ulasan:
Catat Ulasan