Rabu, 30 Disember 2020

Dituduh guna lambang halal palsu, syarikat pembekal daging, pengarah mengaku tak bersalah

(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat pembekal daging dan dua pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menggunakan lambang halal yang tidak diperakui pihak berkuasa pada lori milik mereka, awal bulan ini.

Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, yang diwakili pasangan suami isteri, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kasim, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan pemilik serta pengarah syarikat Raihanah Enterprise, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut tuduhan pertama, syarikat Raihanah Cold Storage didakwa menggunakan lambang halal yang tidak diperakui sedemikian oleh pihak berkuasa berwibawa, pada sebuah lori jenama Isuzu.

Bagi tuduhan kedua pula, Rahman dan Raihanah, dituduh selaku pemilik syarikat Raihanah Enterprise melakukan kesalahan sama, membabitkan lori jenama Mitsubishi.

Kesalahan didakwa dilakukan Syarikat di premis perniagaan Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, di Taman Perniagaan Setia kira-kira 1 tengah hari, 1 Dis lepas.

Raihanah Cold Storage didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan menghadapi hukuman maksimum denda RM200,000 bagi kesalahan dilakukan kali pertama, manakala untuk kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat, pula didakwa mengikut Perenggan 8 (a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) dan berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan kali pertama. Jika kesalahan berulang pula denda dihadapi adalah sehingga RM250,000 atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya T Ashvinii, yang memohon mahkamah mengenakan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin kes lambang halal mendapat liputan meluas media dan turut dibincangkan di Parlimen.

Peguam Lau Kok Guan dan Noor Liana Hashim yang mewakili pasangan itu, bagaimanapun, merayu jaminan dikurangkan dengan alasan syarikat itu masih beroperasi.

Menurutnya, syarikat itu memiliki 20 pekerja selain pasangan suami isteri terbabit menanggung empat anak berumur antara 10 dan 20 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu diikat jamin masing-masing RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jan depan untuk sebutan semula kes tersebut.-FMT

2 ulasan: