Sabtu, 26 Disember 2020

Cemas dituduh gubah wang haram, pesara guru rugi RM2j ditipu Macau Scam

 

Ainee Abd Ghani

SEREMBAN: Cemas apabila dikatakan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, pesara guru berusia 66 tahun terpaksa menangung kerugian hampir RM2 juta ditipu Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lukut, Port Dickson semalam setelah sedar tertipu dan melakukan kira-kira 103 transaksi ke lapan buah akaun milik pelbagai individu.

Malah, menurutnya, mangsa turut menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Rakyat yang merupakan akaun bersama anaknya kepada ahli sindiket Macau Scam berkenaan iaitu seorang lelaki yang datang ke rumah mangsa menaiki sebuah kereta yang diparkir jauh dari rumahnya.

“Mangsa itu kerugian kira-kira RM 1.8 juta, ahli sindiket turut membuat 45 kali pengeluaran secara tunai menggunakan kad ATM yang diserahkan itu dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM80,000.

“Mangsa mula menerima panggilan telefon pada 28 Oktober lalu daripada seorang lelaki tidak dikenali dengan nombor telefon 017-2605149 memperkenalkan diri sebagai Sarjan Albert Lai daripada IPK Pahang dan dimaklumkan terlibat dengan penipuan dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, pada 31 Oktober lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya Inspektor Yong dari Bukit Aman yang meminta butiran maklumat akaun simpanan yang dimiliki mangsa.

Menurutnya, individu tersebut juga mengarahkan mangsa mengeluarkan kesemua wang di deposit tetap ke dalam akaun simpanannya dengan tujuan untuk siasatan pihak polis.

“Mangsa juga diminta merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan ahli keluarga untuk menjamin keselamatan anak-anak. Mangsa yang percaya dengan penipuan berkenaan telah mengikut semua arahan yang diberikan termasuk menyerahkan sekeping kad ATM akaun bersama dengan anaknya,” katanya.

Aibee berkata, dalam tempoh berurusan bermula 6 November hingga 26 November, mangsa telah membuat 103 transaksi ke dalam lapan akaun milik pelbagai akaun.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 38 transaksi berjumlah  RM793,949.63 ke dalam akaun Muhammad Ariff Palili satu transaksi berjumlah RM30,000 atas nama Mohd. Syahid Saen, 25 transaksi berjumlah RM560,766.41 ke atas nama Oh Chiew Mei dan satu transaksi berjumlah RM25,000 ke atas nama Muhamad Hanif.

“Diikuti satu transaksi berjumlah RM24,998.89 ke atas nama Bong, 28 transaksi berjumlah RM210,000 ke atas nama Chew Ah Yap, satu transaksi berjumlah RM50,000 ke atas nama Mohd. Hafiz dan lapan transaksi berjumlah  RM49,999.90 atas nama Siti Faizatul Husna Azman,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -UTUSAN ONLINE

0 ulasan:

Catat Ulasan