Sabtu, 12 Disember 2020

DAP sahkan berunding dengan Umno, tapi gagal tubuh kerajaan baharu di Perak

 


PETALING JAYA : 
DAP mengesahkan parti itu mengadakan rundingan dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan negeri perpaduan di Perak, namun usaha itu gagal kerana, antara lain, Umno enggan memperuntukkan jawatan EXCO kerajaan negeri kepadanya.

“Dalam perundingan itu, Umno membuat pelbagai tawaran termasuk menawarkan jawatan EXCO kepada PKR dan Amanah, tetapi bukan kepada DAP,” kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

“Jikalau tawaran sebegini diterima, Pakatan Harapan (PH) Perak akan berpecah kerana perpaduannya akan dilemahkan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata PH Perak enggan tunduk kepada syarat Umno dan memberi kata dua kepada parti itu untuk tidak meminggirkan mana-mana ahli komponen PH, jika mahu mencapai persetujuan menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak.

Nga berkata Umno juga menolak tuntutan DAP supaya memeterai perjanjian bahawa Umno komited memastikan kerajaan baharu yang bakal ditubuh berasaskan integriti, tata urus baik dan tidak berkompromi dalam menegakkan keadilan.

Beliau berkata sehingga 8 Dis, rundingan telah berterusan antara PH dan UMNO namun tidak berhasil “kerana Umno tidak dapat menerima syarat dan terma yang ditetapkan PH.”

Nga berkata akhirnya, Umno kembali kepada PN dan memulakan rundingan dengan PAS dan PPBM yang menghasilkan kerajaan PN di bawah pimpinan Umno di negeri itu.

Pendedahan terbuka Nga itu mengesahkan laporan esklusif FMT minggu lalu yang memetik sumber Barisan Nasional sebagai mengesahkan berlakunya rundingan antara Umno dan PH, termasuk DAP untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Rundingan itu diadakan ekoran peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar setelah 24 daripada 25 ADUN Perak dan 24 ADUN PH menolaknya dalam satu undian di Dewan Undangan Negeri.

Tindakan Umno menolak Faizal yang juga timbalan presiden PPBM menimbulkan kemarahan parti itu manakala sekutunya PAS mengumumkan ia tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu Perak.

Perkembangan itu mendorong Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan bahawa pihaknya sedia menimbang kerjasama dengan mana-mana pihak, walaupun di luar kerangka Perikatan Nasional.

Dalam kenyataan hari ini, Nga berkata DAP menyatakan kesudian bekejasama dengan Umno hanya selepas Zahid membuat kenyataan itu.

Beliau berkata partinya juga mengambil kira titah Sultan Nazrin Shah mahukan kerajaan negeri yang stabil dan mampu bertahan sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Baginda juga mahukan penyelesaian segera kepada kemelut politik demi kepentingan negeri,” tambah Nga.

Nga berkata dalam episod kemelut Perak itu, Umno dan PPBM membuktikan kepada negara bahawa “mereka adalah pemimpin lemah dan tanpa prinsip.”

Beliau berkata defisit kepercayaan antara dua parti itu amat serius dan tidak boleh diperbaiki.

Menurut beliau, kredibiliti PAS juga terjejas kerana membuat pusingan U, setelah mengumumkan sebelum ini, ia tidak mahu terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu Perak.

Nga berkata dalam usaha memeterai kerjasama dengan Umno, DAP berjaya membuktikan ia bukan parti “anti Melayu or anti Islam” tetapi hanya menentang rasuah.

“Oleh kerana Umno memilih untuk terus bersama kleptrokrat, PH akan terus mara tanpa mengikat sebarang kerjasama dengan mereka,” tambahnya.

-mindarakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan