Rabu, 30 Disember 2020

Kartel Daging Haram : Kenyataan Terbaru KPDNHEP, Hanya Satu Syarikat Jer Terlibat Pula Dah..

 SEMASA | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada mengeluarkan kenyataan baru bertarikh 29 Disember 2020 melalui Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid.


Dalam kenyataan itu, Datuk Rosol Wahid berkata;

1. Sindiket pemalsuan jenama daging yang berstatus halal hanya melibatkan sebuah syarikat.

2. Daging sejuk beku yang diedarkan syarikat tersebut juga hanya mewakili satu peratus daripada keseluruhan bekalan daging negara.

3. KPDNHEP telah melakukan operasi merampas dan menyita produk syarikat tersebut dengan nilai rampasan kira-kira RM3.5 juta.

4. KPDNHEP juga telah mengarahkan pemeriksaan di 82 premis pemborong dan 521 peruncit seluruh negara.

5. “Kita masih siasat rangkaian syarikat tersebut dari segi di mana pengedaran daging berkenaan. Kita akan pergi dan periksa setiap tempat yang disyaki mengambil barangan daripada syarikat berkenaan.

“Kalau ada barangan daripada syarikat tersebut, kita akan rampas dan sita, tidak kira apa pun nama (jenama daging) barangan daripada syarikat itu.

“Operasi ini turut melibatkan syarikat kecil dan restoran yang telah menerima produk daripada syarikat yang akan didakwa. Sekiranya ada bukti, kita akan ambil (sita),” 
kata Datuk Rosol Wahid.

6. Syarikat terbabit juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada Rabu (esok).

7. Kes tersebut akan didakwa di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Penandaan Halal 2011) kerana memperakukan perkhidmatan pengangkutan sebagai halal tanpa kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

8. Rosol turut menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bahawa sindiket daging haram itu telah beroperasi lebih 40 tahun tanpa dikenakan sebarang tindakan.

9. Beliau menjelaskan, siasatan mendapati syarikat terbabit mula beroperasi pada tahun 2014 dan hanya memperoleh lesen sebagai pengimport produk sejuk beku pada tahun 2017.

10. “Saya meminta masyarakat tidak percaya dengan andaian yang yang menyatakan daging haram ini telah berlaku lebih daripada 40 tahun.

“Walhal apa yang kita dapati 40 tahun itu memang tak betul kerana syarikat yang kita siasat dan akan didakwa dalam masa terdekat itu baru berdaftar pada tahun 2014,”
 katanya.

11. Rosol berharap makluman terbaharu KPDNHEP itu dapat meredakan kebimbangan masyarakat yang merasa was-was untuk makan atau membeli daging yang dijual di dalam negara.

Sebagai rekod, portal Berita Harian dan NSTP yang membuat pendedahan kartel daging haram telah beroperasi lebih 40 tahun.

Selain itu MAQIS pernah mendedahkan nilai daging yang disita ialah RM30 juta. 

Manakala Sinar Harian berkata terdapat 30 pusat pengedar yang ada kaitan dengan gudang di Senai, Johor Bharu yang diserbu pada 2 Disember lalu. 

Bagaimanapun maklumat dari KPDNHEP ini nampaknya sangat berbeza dengan maklumat awal yang didedahkan kepada rakyat. Tidak dapat dipastikan kenapa berlakunya beberapa perubahan tersebut. - 29 Disember 2020.

-SoZChili

0 ulasan:

Catat Ulasan