Saya masih belum lupa penentangan kuat MCA di Melaka terhadap cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya, Bukit Melaka yang akhirnya gagal ditukar sehingga sekarang oleh kerajaan Melaka walau asasnya sangat kuat dan disokong kuat oleh rakyat.
Semalam, Timbalan Pengerusi MCA Melaka Datuk Koh Nai Kwong yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili kerajaan negeri Melaka (DUN) mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Senator. Baru sahaja sebelum ini, kita saksikan juga Ketua Pemuda MCA yang penuh dengan kontroversi dianugerahkan pingat 'Datuk' oleh Melaka juga.
Saya benar-benar tidak faham dengan kerajaan negeri Melaka yang diterajui oleh UMNO ini yang baru sahaja ditubuhkan bersama Perikatan Nasional ini. Dalam kerajaan negeri, MCA tiada langsung kerusi yang dimenangi oleh mereka walaupun mereka diberi laluan banyak oleh UMNO tetapi hebat sungguh pengaruh mereka.
Biasanya dalam politik ini ada 'sesuatu' yang menjadi taruhan, antaranya sokongan wakil rakyat tetapi MCA tidak perlu ada kerusi dalam DUN Melaka tetapi mereka mampu meraih pelbagai perkara hanya melalui tuntutan ataupun bantahan sahaja. Entah apa yang menjadi 'bargain' yang membuatkan mereka terlalu 'kuat' sebegini.
Saya selalu dengar politikus Melayu mengatakan bahawa kepentingan Melayu semakin terancam, maka kita perlukan kekuatan politik. Tetapi apakah meletakkan MCA secara percuma di Dewan Negara bagi mewakili sebuah negeri yang ditadbir oleh 100% parti Melayu itu menepati apa yang mereka perkatakan itu?
Jika saya tidak mengatakan hal ini, saya pasti rakyat pun tidak tahu tetapi memang hakikatnya sudah sejak dahulu lagi MCA ini diberikan 'tongkat' sebegini tanpa berbelah bahagi.
Apabila waktu pilihanraya, mahu kerusi majoriti Melayu.
Lepas kalah pilihanraya, dapat jawatan exco, dapat jawatan GLC, dapat jawatan Senator dan macam-macam lagi.
Tetapi orang Melayu tidak pernah pun diiktiraf sebagai bangsa yang bertoleransi, malah sentiasa terpalit dengan pelbagai label negatif sahaja.
Apabila orang Melayu dituduh rasis dan menindas, tidak pula kedengaran puak-puak ini bersuara mempertahankan orang Melayu selepas segala apa yang dinikmati atas ihsan orang Melayu. Sedih sekali.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
22 Disember 2020
https://www.sinarharian.com.my/article/115696/BERITA/Nasional/Dua-senator-angkat-sumpah-hari-ini
0 ulasan:
Catat Ulasan