Dengan panggilan ‘Ibu Anak Yatim’, wanita berusia 72 tahun yang dikenali sebagai Sindhutai Sapkal ini merupakan antara wanita yang menjadi sumber inspirasi buat ramai penduduk India. Di saat kanak-kanak lain sibuk bermain, wanita ini melalui zaman kanak-kanak yang perit apabila terpaksa berkahwin di usia 10 tahun bersama pasangannya yang ketika itu berusia 30 tahun atas desakan ibunya.
Namun, kerana pengalaman perit yang dialami selama bertahun-tahun lamanya, wanita ini tidak pernah patah semangat dan putus asa untuk membesarkan anak-anak. Tidak hairanlah kisah inspirasi beliau telah difilemkan oleh pengarah Marathi dalam filem berjudul ‘Mee Sindhutai Sapkal’.
Pernah dibuang ibu sendiri, dipukul suami
Sidhutai Sapkal dilahirkan dalam keluarga yang susah pada 14 November 1948 di kampung Pimpri Meghe di daerah Wardha. Walaupun beliau sangat berminat untuk belajar namun dia terpaksa menggunakan daun pokok Bharadi untuk menulis kerana keluarganya tidak mampu membeli batu tulis. Akhirnya pada usia 10 tahun dia dipaksa kahwin awal bersama lelaki berusia 30 tahun sekaligus melenyapkan impiannya untuk belajar tinggi.
Saya diberitahu hanya ada dua proses dalam kehidupan seorang wanita iaitu pertama ketika dia berkahwin dan satu lagi ketika dia mati. Bayangkan keadaan fikiran saya ketika mereka membawa saya dalam perarakan ke rumah suami saya di hutan Navargaon di Wardha.
Namun perkahwinan yang dibina itu tidaklah bertahan lama apabila suaminya sering memukul dan mendera beliau. Pada usia 20 tahun dia akhirnya dihalau dari rumah ketika sedang hamil 9 bulan. Malah beliau turut ditumbuk dan ditendang di perutnya, kemudian beliau diseret dengan rambutnya ditarik lalu dicampak keluar sebelum dihalau dari rumah. Sidhutai Sapkal meraung kesakitan. Darah membasahi bajunya, tetapi tidak ada siapa yang peduli. Tidak ada yang menghulurkan bantuan.
Bersalin dalam kandang lembu keseorangan
Dalam keadaan sarat mengandung, Sidhutai Sapkal menuju ke kandang lembu. Beliau duduk menangis dalam kesakitan yang tidak terkira. Bayangkan, dalam keadaan najis lembu merata-rata, bau busuk yang menusuk hidung, Sidhutai Sapkal bertarung nyawa seorang diri melahirkan anak ketiganya.
Saya memotong tali pusat dengan batu bermata tajam yang terletak di dekatnya.
Kejadian itu menyebabkan dia pernah terfikir untuk bunuh diri, namun dia cepat-cepat menghilangkan perasaan tersebut dan terus mula mencari sesuap makanan di landasan kereta api demi menjaga puterinya.
Anak saya baru 10 hari dan saya keseorangan. Keluarga mertua dan keluarga saya sendiri membuang saya. Ketika itu saya sedar betapa teruknya perasaan sunyi. Saya mula menyanyi lagu keagamaan di landasan kereta api untuk mendapatkan makanan.
Makanan itu saya kongsi dengan pengemis yang lain. Dari situ mereka mula berada disisi saya dan melindungi saya. Mereka sentiasa bersama saya. Saya menjadi ibu mereka dan kami menjadi satu keluarga.
Ketika dia menghabiskan banyak waktu mengemis di landasan kereta api, beliau sedar bahawa terdapat ramai anak yatim dan anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Setelah berpengalaman menghadapi kesulitan itu sendiri, dia dapat merasakan penderitaan mereka dan memutuskan untuk menerima mereka semua sebagai anak angkat.
Beliau mula mengemis dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memberi makan kepada anak angkatnya yang ramai. Secara perlahan-lahan Sidhutai memutuskan untuk mengambil anak angkat setiap anak jalanan yang datang sehingga beliau mampu membuka sebuah rumah anak yatim dan digelar ‘ibu anak yatim’.
Anak yatim yang dipelihara semua berjaya
Sehingga kini, dia telah mengambil anak angkat seramai 1,700 orang dengan membantu mereka mendapatkan pendidikan, menikah dan menyokong mereka dalam kehidupan seharian. Dia dipanggil “mai” (ibu) oleh anak-anak yatim ini. Dia memelihara anak tersebut seperti anaknya sendiri sehingga ada di antara mereka yang berjaya menjadi peguam, doktor dan jurutera yang kini kembali membantu beliau.
Ketika saya keluar di jalan-jalan memohon makanan dan berjuang untuk bertahan setiap hari, saya menyedari bahawa terdapat begitu ramai anak yatim yang tidak dapat dikunjungi. Saya memutuskan untuk menjaga mereka dan membesarkan mereka sebagai milik saya sendiri
Buat masa sekarang, anak perempuan Sidhutai sendiri menguruskan rumah anak yatim yang dibukanya sejak 20 tahun lalu. Dan kini, beliau tetap memperjuangkan makanan seharian untuk anak-anak tidak bernasib baik ini. Setiap kali beliau memberi motivasi ini, beliau cuma meminta untuk mendapatkan roti dan mentega setiap hari buat anak-anak yatim dipelihara.
Dengan rahmat Tuhan, saya mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Saya boleh pergi dan bercakap dengan orang lain dan mempengaruhi mereka semua. Kelaparan membuat saya bercakap dan ini menjadi sumber pendapatan saya. Saya memberi banyak ucapan di pelbagai tempat dan ini memberi saya sejumlah wang yang saya gunakan untuk menjaga anak-anak saya.
Daripada hanya lima orang anak yatim, kini Sidhutai Sapkal sudah memelihara lebih 1,700 orang anak yatim. Apa yang mulianya apabila Sidhutai telah memaafkan bekas suami dan turut menerimanya sebagai anak yatim bawah jagaanya. Sidhutai Sapkal telah menerima lebih 700 anugerah sehingga ke hari ini.
Terima anugerah dari Presiden India
Lebih menyayat hati apabila ditanya oleh wartawan : ‘Kenapa puan bantu anak-anak itu sedangkan hidup puan sendiri miskin, makan sendiri pun tak tentu. Kenapa masih susahkan diri untuk mereka?’ Jawapan beliau sangat memberi inspirasi kepada ramai orang.
Aku hidup selepas aku makan roti yang dibakar di atas tempat pembakaran mayat orang mati. Kini aku hidup untuk orang lain.
Buat pengetahuan ramai, ketiga-tiga anaknya itu mempunyai PHD dan mempunyai jawatan yang besar. Anaknya berjaya menjadi orang luar biasa sama seperti apa yang difikirkannya dahulu. Walaupun anak-anaknya sudah kaya dan berjaya, Sidhutai Sapkal tetap meneruskan kehidupannya sama seperti dahulu bersama anak-anak jalanan.
Sidhutai Sapkal telah menghidupkan jiwa anak-anak jalanan yang dulunya dipandang hina oleh masyarakat, kini telah dipandang mulia. Atas dasar kemanusiaan, Sidhutai Sapkal menyerahkan seluruh hidupnya untuk melihat anak-anak ini membesar menjadi manusia yang berguna. Hari ini dia dipanggil Dr. Sithudai Sapkal.
-ohbulan.com
0 ulasan:
Catat Ulasan