Lelaki Mualaf bersama isteri dan anak-anak ditemui mandi dan mahu bermalam di tandas awam
Anggota polis yang sedang melakukan rondaan dilaporkan terserempak dengan lima sekeluarga sedang mandi di tandas awam lebuhraya KESAS dan bersiap-siap untuk bermalam di situ.
Unit peronda berkenaan kemudian terus menghubungi seorang aktivis kebajikan, Kuan Chee Heng, atau lebih terkenal dengan panggilan "Uncle Kentang," untuk membantu keluarga terbabit.
Mualaf dan anak-anak
Ketika dihubungi, menurut Kuan, beliau menerima panggilan pada jam 11 malam tadi dan diberitahu ada sepasang suami isteri bersama tiga orang anak sedang mandi di tandas awam dan bersiap-siap mahu bermalam di situ.
"Saya terus pergi ke situ untuk memahami situasi dan mendapati mereka merupakan seorang lelaki Cina Muslim (mualaf) bersama isterinya warga Indonesia. Mereka membawa tiga orang anak, yang paling bongsu berumur 1 tahun. Mereka tiada tempat tinggal, susu anak pun sudah habis," katanya.
Kata Kuan, beliau telah menguruskan keluarga itu untuk tinggal sementara di sebuah hotel murah di Puchong dan rakannya turut membantu membeli susu tepung untuk anak mereka sebelum menghantar keluarga itu ke hotel berkenaan.
Difahamkan akibat tiada tempat tinggal, pasangan suami isteri bersama tiga orang anak mereka itu, sebelum ini sering tidur di tandas awam dan dobi layan diri.
Katanya lagi, anggota polis yang meronda telah menemui keluarga itu di tempat yang sama minggu lalu, si ayah enggan bercakap dan disyaki telah diusir dari kediaman mereka.
Menurut salah seorang sukarelawan yang menguruskan keluarga itu, sebelum ini pasangan suami isteri itu bekerja dengan perniagaan penghantaran dan pengebumian jenazah.
Namun disebabkan oleh penurunan mendadak tugasan diterima, mereka tidak menerima gaji dan tiada simpanan. Mereka diusir dari kediaman iaitu sebuah bilik yang disewa sejak seminggu yang lalu.
"Lelaki itu bekerja di Cheras, dia asalnya tinggal di Taman Sentosa, Jalan Klang Lama. Selepas tiada tempat tinggal, dia tidak mahu susahkan sanak saudara, jadi dia merayau ke sana sini bersama isteri dan anak-anak. Dia tidak berdaya dan menangis ketika memberitahu saya perkara itu,"
"Duit yang ada sudah habis membeli makanan anak-anak. Pasangan itu sudah tak makan sekurang-kurangnya sehari sebelum terserempak dengan polis," katanya.
Menurutnya, dia terkejut bila mendapat tahu apabila lapar lelaki itu sanggup turun ke sungai untuk memancing ikan, sebelum membakarnya bagi mengisi perut.
Tambahnya lagi, pihak polis yang bertemu dengan keluarga itu minggu lalu telah membantu mereka kerana kerosakan motosikal, sebelum menghantar mereka pulang. Namun mereka terkejut apabila bertemu dengan keluarga itu lagi malam semalam dan mendapati mereka sudah tiada rumah
0 ulasan:
Catat Ulasan