Selasa, 29 Disember 2020

Siasatan kartel makan masa? Harap bukan kambus ‘lubang’

40 tahun ditipu, rakyat mahu tindakan tegas diambil segera

BANGI, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa– Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mempersoalkan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mendakwa siasatan terhadap kartel daging logo halal palsu bakal mengambil masa yang lama.

Prof Zainur berkata, setelah 40 tahun ditipu, sudah tentu orang ramai berharap agar tindakan tegas diambil seberapa segera.

“Siasatan ‘kartel daging’ akan ambil masa yang panjang. Kenapa? Saya berharap kelewatan ini bukan disebabkan kerana banyak lubang yang perlu dikambus atau banyak nama yang perlu diselamatkan.

Ini adalah suara rakyat!,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui bahawa siasatan terhadap syarikat tempatan yang berkaitan dengan aktiviti kartel daging akan memakan masa yang lama.

Katanya, siasatan itu rumit kerana memerlukan penglibatan banyak agensi, seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada masa sama, Nanta Linggi berkata, kementerian tidak boleh terburu-buru dalam aspek siasatan.

Siasatan itu, katanya, mesti dilakukan dengan teliti untuk memastikan bahawa pesalah dibawa ke muka pengadilan.

Semalam, dilaporkan bahawa kerajaan memberi komitmen akan menangani isu pengimportan daging yang diragui secepat mungkin termasuk menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah dimulakan.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

-ismaweb

0 ulasan:

Catat Ulasan