Sabtu, 19 Disember 2020

Tun Rahah, wanita kental dalam kenangan


Tun-Rahah
Tun Rahah Mohammad Noah.

KUALA LUMPUR – Ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan kematian ibu tersayangnya, Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohamed Noah dengan penuh emosi – ramai berkongsi kesedihannya.

Allahyarham berusia 87 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur di samping keluarga tercinta.

Apa sahaja maklumat yang dicari tentang Tun Rahah yang juga anak bongsu kepada Tan Sri Mohamed Noah dan isteri kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, sudah pasti ia menceritakan betapa cekal dan kuatnya wanita itu.

Beliau dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor sejurus selepas tamat persekolahan  di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bharu.

Pada 4 September 1952, beliau berkahwin dengan Tun Abdul Razak Hussien yang ketika itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Pada masa itu lagi Tun Rahah yang tidak begitu menonjol sudah bersedia menjadi seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya malah Tun Abdul Razak selalu menyifatkan isteri paling sempurna buatnya.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan lima putera iaitu Datuk Seri Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Seri Mohd Nazir dan Datuk Mohamed Nazim.

Walaupun begitu teringin untuk menimang anak perempuan namun rezekinya mengurniakan anak-anak lelaki dengan yang sulungnya, Najib menjadi Perdana Menteri keenam manakala anak bongsungnya menjadi, Nazir menjadi Ketua Pegawai Eksekutif CIMB.

Sebagai seorang ibu, Tun Rahah menanggung sebahagian besar daripada tugas mengasuh dan mendidik putera-puteranya malah terpaksa memainkan peranan anak-anaknya yang masih menuntut di universiti.

Setelah Tun Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976, beliau memberi sepenuh tumpuan kepada anak-anak sehingga mereka berjaya dalam lapangan masing-masing namun semuanya ‘terubat’ apabila melihat anak-anaknya berjaya dan kemudian sempat melihat kejayaan cucu-cucunya.

Antara yang dipetik dalam laman sesawang Yayasan Tun Rahah menyebut beberapa perkara menarik termasuklah sebagai seorang isteri, Tun Rahah telah menyediakan rumahtangga yang sempurna untuk suaminya, seorang tokoh yang sentiasa bekerja kuat untuk negara, bangsa dan agama.

Kekentalan semangat beliau dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi menjadikan beliau seorang teman seperjuangan yang setia dan bertanggungjawab.

Sifatnya yang lemah lembut, sederhana dan bersahaja adalah resepi utama yang menyebabkan beliau disenangi oleh masyarakat di kampung dan bandar.

Sikap sederhana itu amat bersesuaian dengan kehendak suaminya yang tidak mahu isterinya menunjuk-nunjuk serta berlebih-lebihan dalam semua sekaligus membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak sebagai seorang pemimpin negara yang disegani.

Sebagai teman hidup Tun Rahah selalu mengiringi suaminya menjalankan tugas-tugas rasmi negara sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

Allayarham juga dikatakan telah memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihan raya, berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.

Tun Rahah telah membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu memberi sumbangan yang berkesan kepada pembangunan negara malah sentiasa mengingatkan kaum wanita melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan khususnya untuk wanita di samping memberi sumbangan dan khidmat bakti ke arah kemajuan negara.

Tun Rahah juga adalah penuang PERTIWI yang pertama iaitu sejak tahun 1969 hingga tahun 1976, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR).

Tun Rahah telah dianugerahkan pingat emas Tun Fatimah daripada NCWO pada tahun 1976.

Beliau menerima lantikan sebagai Canselor UNITAR dan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Falsafah Pendidikan dari Universiti Utara Malaysia(UUM) sewaktu Majlis Konvokesyen Kali ke-22.

Pastinya walaupun jarang sekali tampil menonjol di mana-mana namun umum akan terus memperingati Tun Rahah sebagai seorang tokoh cukup disegani dan prihatin terhadap rakyat di negara ini.

Al-Fatihah.- MalaysiaGazette

0 ulasan:

Catat Ulasan