Selasa, 8 Disember 2020

Hubungan antara kaum lebih kukuh jika UMNO-PH bekerjasama

 

Baldip Singh

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyifatkan kerjasama yang mungkin terbentuk antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan mengubah landskap politik di negara ini.

Naib Pengerusinya, Baldip Singh berkata, jalinan hubungan antara UMNO dan DAP yang berada dalam gabungan PH akan turut memecahkan benteng persepsi perkauman selama ini.

Menurutnya, ia juga akan mengukuhkan hubungan antara kaum di negara ini yang perlu diakui selama ini terhalang oleh parti politik.

"Percampuran parti DAP dan UMNO ini bermakna pecahlah segala permusuhan antara dua kaum utama di Malaysia yang selalu dilaga-lagakan bagi mencapai agenda sendiri bagi parti masing-masing.

"Pembentukan kerajaan campuran bersama kedua-dua parti itu juga menjadikan kerajaan Perak sangat kukuh, sekali gus mengelak usaha-usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar," katanya kepada Sinar Harian.

 Baldip berkata, pembentukan kerajaan bersama itu juga akan menjadikan pentadbiran lebih stabil berbanding kerajaan dengan majoriti mudah.

Beliau berkata, kerajaan Perak sebelum ini beberapa kali tumbang akibat majoriti rapuh disebabkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menggadaikan prinsip mereka dengan melompat parti.

Menurutnya, pertukaran kerajaan dalam masa singkat menyebabkan perancangan untuk membangunkan negeri terbantut.

"Ramuan kerajaan campuran ini perlu diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak termasuk rakyat demi kebaikan bersama dan kemajuan negeri," katanya.

-SH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan