Stadium kontroversi Ffira Mikah telah dibatalkan serta-merta penggunaan namanya dan kerajaan negeri Kedah akan ambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab yang memilih nama berkenaan, tegas Menteri Besar. - Gambar fail
ALOR SETAR: Stadium mini kontroversi Ffira Mikah di Kuala Nerang telah dibatalkan serta-merta penggunaan namanya kerana tindakan berkenaan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan negeri.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Ffira Mikah yang menjadi nama pilihan untuk stadium mini terbabit hanya dibincang pada peringkat kerajaan tempatan sahaja tanpa dibawa ke mesyuarat Exco yang dipengerusikannya untuk diluluskan.
Beliau menegaskan, sudah menjadi kelaziman sebelum ini bahawa setiap nama jalan, lokasi, taman atau stadium perlu terlebih dahulu dibincang di peringkat kerajaan tempatan dan seterusnya diangkat ke mesyuarat Exco yang berlangsung setiap minggu untuk diluluskan.
Dalam isu berkaitan, Sanusi berkata, pentadbirannya tidak menerima sebarang maklum balas mengenai perbincangan di peringkat kerajaan tempatan mengenai penukaran nama stadium tersebut.
"Berkaitan dengan stadium itu (Ffira Mikah) telah dibatalkan nama yang bahasa Greek campur Arab kerana proses menamakan stadium itu tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan, tidak dibawa ke mesyuarat Exco, tidak dapat kelulusan,” kata Sanusi dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim untuk mengambil tindakan yang sewajar bersesuaian dengan urusan pentadbiran terhadap Pegawai Daerah Padang Terap, Hakim Ariff Md. Nor.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai nama Stadium Ffira Mikah yang didakwa diabadikan sempena nama Hakim Ariff yang dieja terbalik.
Bagaimanapun, Hakim Ariff dalam reaksinya menafikan tindakan berkenaan dengan mendakwa nama stadium berkenaan tiada sebarang kaitan dengannya dan hanya secara kebetulan dengan namanya sekiranya diterbalikkan.
Ffira Mikah, tegas Hakim, merupakan gabungan perkataan dari bahasa Sepanyol dan Arab.
Ffira, katanya, bermaksud sesuatu yang hebat dalam bahasa Sepanyol atau Greek manakala Mikah dalambahasa Arab merupakan nama malaikat.
0 ulasan:
Catat Ulasan