Pada 23 November 2020, portal Sinar Harian mendedahkan kegiatan syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jakim.
Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada 'orang dalam' di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.
Dan pada 2 Disember 2020 beberapa portal media tempatan melaporkan serbuan Maqis yang mengemparkan negara.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis selepas ini) telah membongkar kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.
Kegiatan itu terbongkar selepas Maqis melakukan serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai (1 Disember 2020).
Serbuan itu turut melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Baru kumpul risikan
Maqis mengesahkan pihak mereka telah melakukan risikan dan mengumpul maklumat sebelum membongkarkan kegiatan berkenaan.
Menurut Maqis, gudang tersebut dijadikan lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula. Kartel daging seterusnya menyamar menjadi syarikat pembekal daging sejuk beku.
Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.
Pekerja warga asing diupah bagi melakukan kerja pembungkusan semula dengan diberikan kemudahan asrama penginapan di situ, dan dalam serbuan itu sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta telah disita.
Daging haram ada logo halal
Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mendapatkan stok daging sejuk beku dari luar negara sebelum dikatakan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Bagi memastikan kegiatan penyeludupan terbabit berjaya, mereka (sindiket) dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.
Bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sindiket turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit di Senai, kata Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan.
Pada 3 Disember 2020, serbuan Maqis itu mendapat perhatian serius dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ)
Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) Muhammed Farhan Basheer berkata: "Penipuan logo halal adalah kesalahan yang sangat serius. Ia menunjukkan ada pihak yang tidak jujur dan sengaja membekalkan barangan makanan tidak halal, tetapi dilabelkan sebagai halal kepada umat Islam di negara ini semata-mata untuk mengaut keuntungan."
Rasuah 1Malaysia
Kewujudan kartel membawa masuk sejumlah kontena daging sejuk beku yang banyak juga 'kemungkinan' ada kaitan dengan ketirisan penguatkuasaan agensi tertentu.
Kerajaan wajar menggerakkan siasatan bersepadu sehingga ke akar umbi untuk mengesan di mana punca ketirisan itu berlaku dan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua pihak terbabit.
Pada 4 Disember 2020, JAKIM tampil memberikan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.
Malaysia menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir atau loji pemprosesan diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, selain itu daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.
Juga pada 4 Disember 2020, JAIS mengesahkan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat pengedaran daging haram berlogo halal di Selangor.
"Kita telah menerima laporan lengkap daripada Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentang isu tersebut.
"Buat masa ini, JAIS telah menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berkaitan perkara tersebut mengikut peruntukan Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.
Rasuah Peringkat Tertinggi?
Pada 12 Disember 2020, dua NGO iaitu Gagasan Baru Harapan Malaysia (GBHM) dan Pertubuhan Kebajikan Anak Bersatu Selangor (PKABS), menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dalang sindiket kartel daging import yang mempunyai sijil halal palsu.
Presiden GBHM, Mohd Zulfitri Mohd Basir berkata: "Sehingga kini tiada tangkapan dan pendakwaan yang dibuat terhadap sindiket berkenaan dengan alasan pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat.
"Jadinya, kami percaya wujud ketirisan dan pembabitan unsur rasuah dalam kalangan pegawai unit berkuasa sehingga daging import haram sebanyak itu dapat diseludup dan diedarkan ke seluruh negara.
"Setelah isu kartel dimainkan sejak bertahun-tahun, tiada satu pihak mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah."
Memorandum itu mengandungi 11 desakan kepada SPRM antara lainnya ialah;
- -Mahu SPRM menyiasat identiti 'kartel'.
- -Mengapa tiada sebarang tangkapan terhadap pemilik syarikat yang mengimport daging berkenaan?
- -Mendesak pendedahan jenama daging haram yang digunakan oleh pihak kartel.
- -Siapakah pemilik sebenar kebenaran import (AP) import daging berkenaan?
- -Bagaimana daging sebanyak itu boleh lolos daripada pemeriksaan pihak berkuasa yang berkaitan?
- -Mahu SPRM menyiasat siapakah yang menyedia dan membuat dokumen palsu bagi pihak 'kartel' seperti yang didakwa.
- -Siapakah dalang sebenar dalam sindiket ini?
- -Mengapakah sindiket ini seolah-olah kebal dan dilindungi oleh pihak-pihak tertentu?
- -Kenapa daging yang sudah diedarkan tidak disita dari pasaran?
Pada 21 Disember 2020, portal Berita Harian tampil dengan laporan khas yang menyatakan;
- -Kartel mempunyai 'orang dalam' pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.
- -Kartel dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
- -Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan 'melepaskan' barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.
- -Kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, Colombia, Ukraine, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China selain negara sumber yang diluluskan.
- -Sogokan diuruskan orang perantaraan yang sudah mahir dengan birokrasi di pintu masuk negara dan mengenali orang dalam yang bertugas pada masa tertentu bagi meluluskan pergerakan keluar barangan.
- -Apabila selesai urusan peringkat pertama iaitu pemeriksaan audit kualiti dan halal, kartel tidak akan berdepan masalah melepasi pelabuhan, khususnya di tiga pelabuhan zon bebas, iaitu Pelabuhan Kelang (PKFZ), Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.
- -Kegiatan itu didalangi syarikat milik bukan Bumiputera yang membentuk kartel menggunakan beberapa syarikat Bumiputera sebagai proksi.
- -Syarikat proksi ditubuhkan kartel pembekal daging sejuk beku di negara ini, dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.
- Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.
- -Industri pembekalan daging sejuk beku di negara ini dikuasai beberapa kartel membabitkan pengimport dan syarikat kargo, dengan satu daripadanya yang sudah dikenal pasti, dipercayai menubuhkan sekurang-kurangnya 12 syarikat proksi.
- -Selain menggunakan nama ahli kartel, pembekal disyaki mencuri maklumat dan data individu Bumiputera, khususnya Melayu untuk didaftarkan sebagai pemilik syarikat proksi ditubuhkan.
- Modus operandi kartel, dimana syarikat terbabit dipercayai diberikan penerangan mengenai operasi di pelabuhan termasuk jadual penugasan kakitangan dan bagi melepasi pemeriksaan, mereka mengemukakan dokumen palsu atau borang K8, iaitu kebenaran untuk transit bekalan sahaja.
- -"Sebagai contoh, jika orang dalam ditugaskan di laluan nombor tiga, kontena membawa barang seludup ini akan melalui laluan itu dan melepasi pemeriksaan. Habuan diberikan secara tunai kepada kakitangan di situ," lapor Berita Harian.
'Kambing Hitam'
Walaupun syarikat proksi terbabit mempunyai kebenaran mengimport dari negara sumber yang diperakui status halalnya, kartel cenderung membawa masuk daging sejuk beku yang diragui status halal kerana memperolehnya pada harga lebih murah, sekali gus dapat meraih keuntungan lebih besar lapor Berita Harian.
Harga murah, antaranya kerana ternakan ada masalah kesihatan, selain loji penyembelihan tidak sah dan memproses daging tidak halal.
Walaupun diikrar daging lembu, bekalan yang dibawa masuk sebenarnya daripada pelbagai ternakan, termasuk kerbau dan kuda dengan kaedah sembelihan diragui.
Adakah JAKIM Masih Berfungsi?
Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), setakat ini Malayia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan.
Semua rumah sembelihan itu sudah menjalani pemeriksaan audit oleh JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum kelulusan diberikan. Pemeriksaan ke atas rumah sembelih di negara sumber juga dilakukan.
SOP import daging sejuk beku di Malaysia;
- -Produk perlu direkodkan dalam borang pengakuan barang-barang diimport.
- -Harus ada permit import, sijil kesihatan, sijil halal, sijil negara asal, invois, 'bill of landing', senarai pembungkusan.
- -Semua dokumen import, sokongan perlu disemak rapi. Kegagalan akan menyebabkan konsainan dilarang masuk.
- -Walaupun diluluskan pada tahap itu, konsainan masih perlu diperiksa secara fizikal/visual, termasuk maklumat komoditi, suhu, rumah sembelih, tarikh luput, keadaan fizikal barangan.
- -Pada tahap pemeriksaan fizikal, konsainan jika dikesan tidak patuh prosedur semua prosedur, boleh dilarang masuk ke negara ini.
Tak boleh bincang di media
SPRM dalam satu kenyataan bertarikh 21 Disember mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Kerjasama beberapa agensi seperti KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kastam Diraja Malaysia akan diperolehi.
SPRM juga berkata membincangkan isu tersebut di media massa akan menyukarkan siasatan SPRM dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil.
Kartel Dah operasi 40 tahun?
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.
Datuk Rosol Wahid berkata, laporan yang mengatakan kewujudan kartel itu sudah lama di negara ini menyebabkan rakyat takut dan telah diperbesarkan.
"Tidak sampai berlarutan sehingga 40 tahun tetapi kita akan ambil tindakan dan tidak pernah berkompromi selama ini," katanya.
Datuk Rosol Wahid juga berkata dalang utama kartel yang membungkus semula daging import dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di sebuah gudang di Senai, Johor akan didedahkan dalam waktu terdekat.
"Kita beri jaminan, jangan bimbang tentang isu ini. Kita telah membuat pemantauan dan terus memantau dengan agresif sekali.
"Setakat ini, kita telah buat sebanyak 29 pemeriksaan di premis borong serta 130 peruncit. Kita bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kastam dan juga peniaga-peniaga itu sendiri.
"Ramai yang curiga, kita ambil perhatian mereka yang terlibat ini dan dalam masa terdekat selepas pendakwaan kita akan dedahkan nama syarikat itu kepada umum. Kita tidak mahu ganggu siasatan ketika ini,” katanya. - 22 Disember 2020.
SENARAI JENAMA DAGING HARAM KARTEL
Geram bila kita baca berita mengenai kartel daging yang diserbu setelah beroperasi berpuluh tahun lamanya.
Lebih geram lagi bila tak ada satu pendedahan pun dibuat oleh pihak yang berkaitan mengenai apa jenama yang dipalsukan cop halalnya, siapa dalang kartel tersebut, dan apa nama syarikat yang mengedarkannya.
Lebih bertambah geram lagi bila pada awalnya ada statement pihak berkuasa kata nak dedah nama syarikat tersebut, tapi tiba-tiba Timbalan Menteri Perdagangan, Datuk Rosol Wahid mula spin pula kata tidak boleh didedahkan nama syarikat tersebut sebab akan mengganggu siasatan kononnya.
Nah, mana kita tak panas hati bila baca berita macam tu. Siap kempen lagi kata daging kat pasaran tu semua halal jangan risau boleh beli.
Siap tunjuk lagi pekerja diorang jalan-jalan dalam supermarket tunjuk ada logo halal kat packaging daging yang dijual.
Padahal, berita sebelumnya semua cakap pasal daging tak sah taraf sama ada bukan daging lembu, bangkai, atau daging berpenyakit yang telah dipalsukan sijil halalnya dan dipek semula setelah diseludup untuk dijual di negara kita.
Lebih memanaskan hati, bila pendedahan tersebut menyatakan bahawa operasi kartel tersebut telah berjalan selama 40 tahun dengan rasuah telah diberi kepada kakitangan pelepasan kontena, kakitangan yang check isi kontena dan pelbagai lagi kakitangan pihak berkuasa.
Hatta disebut bahawa kartel tersebut turut menawarkan habuan wanita untuk melakukan hubungan seks, zina, kepada pihak yang dirasuah.
Apalah punya bala semua ini. Berpuluh tahun kita disajikan barang yang syubhah lagi tidak jelas sumbernya, pihak berkuasa enjoy makan duit haram siap dapat habuan wanita lagi.
Ini bukan isu birokrasi susah nak apply sijil Halal, tapi ini isu rasuah, salah guna kuasa agensi berkaitan, penyeludupan, penipuan cop halal, penipuan sumber daging dan juga masalah kejar harga murah.
Kalau nak tahu, jenama yang dibawa masuk oleh kartel ni pun sebahagiannya memang dah ada sijil Halal yang sah baik dari Malaysia atau negara asalnya.
Tapi diselit dan dicampur dengan daging yang tidak halal kemudian dipack semula menggunakan jenama dan cop halal yang telah dipalsukan.
Maknanya, kartel ini memang nak buat untung full margin makan pukul keliling, sebab tu dapat jual murah sebab bangkai yang disupplynya, maka harga modal pula sudah tentu jauh lebih murah.
Siap ada laporan yang kata mereka guna bangkai kangaroo, kuda dan macam-macam lagi.
Jadi, atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim, kita risau bila jenama ini tidak didedahkan.
Kalau perkara ini berterusan, maka umat Islam di negara kita ini akan terus-terusan memakan bangkai tanpa sedar. Apa yang kita makan itu akan menjadi darah daging dan merosakkan kita semua.
Cukup-cukuplah dengan pemimpin melayu/Islam saja yang kemaruk makan bangkai rasuah.
Jadi, disini terpulang kepada anda sama ada mahu terus membeli daging frozen import atau tidak.
Setelah banyak pendedahan dibuat, kita pun belum tentu pasti akan kehalalan jenama daging frozen import lain yang tidak didedahkan disini.
Untuk mengelak termakan barang yang syubhah atau haram, maka sebaiknya kita tinggalkan terus memakan apa jua jenama daging frozen import. Dalam bisnes, bila tiada permintaan, maka tiadalah supply.
Yang jadi masalah, bila dah tahu ada yang syubhah kita tetap terus membelinya, maka sebab itulah kartel ni masih boleh bertahan walaupun dah naik turun mahkamah dan didenda.
Pasti akan ada kartel lain yang mengambil alih demand dan pasaran yang kosong tadi dimasa akan datang.
Kepada pekedai pula, kita percaya ramai yang akan terkesan dengan penjualan daging import selepas ini.
Namun, yakin dan percayalah bahawa rezeki itu telah tertulis oleh ALLAH Taala buat kita semua. Rezeki tidak akan pernah salah alamat.
Apabila kita meninggalkan sumber rezeki yang haram dan syubhah, insyaALLAH akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pintu rezeki kita akan terbuka lebih luas.
Ingatlah kembali pesan orang tua-tua kita dahulu kala, "Jangan beli daging import, sebab kita tak tahu kesahihan barang tersebut."
Akhirnya setelah berpuluh tahun, baru hari ini kita nampak kebenaran pesanan orang tua kita dahulu.
Carilah barang yang halal, utamakan sumber yang halal dan tinggalkanlah barang yang syubhah dan diragui.
Negara kita pun belum darurat lagi, tak mati pun kalau tak makan daging frozen. Masih banyak penjual daging segar tempatan.
Sokonglah barangan buatan Malaysia, dan paling penting ingat; BUY MUSLIM AND HALAL FIRST!
Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/
0 ulasan:
Catat Ulasan