Sabtu, 27 Februari 2021

SINOPSIS:SERANG HENDAP KOMUNIS KAMPUNG LALANG (ULU LEGONG)

 JAUHAR: JILID 4: BIL.2:OKTOBER 2020 MS: 22-29

Mohamed Ali Haniffa:UUM 22

SERANG HENDAP KAMPUNG LALANG oleh Brig. Jen. Dato’ Dr. Mohd Radzi bin Hj.Abdul Hamid, MC.

 Firdaus Press Sdn. Bhd., Selangor. 2019. Halaman 396. ISBN 978-967-166-801-6.

Buku yang bertajuk Serang Hendap Kampung Lalang memaparkan kisah realiti sejarah dalam kepompong fiksyen. Buku ini hasil karya penulisan Yang Berbahagia Brigedier Jeneral Dato’ Dr. Mohd Radzi bin Haji Abdul Hamid, MC, Panglima 11 Briged, Tentera Darat Malaysia.

Matlamatnya ialah sebagai platform maklumat berharga bagi rakyat Malaysia dalam konteks memahami perjuangan perajurit tentera darat. Buku ini mengandungi 14 bab dan memberikan gambaran realistik mengenai peristiwa serangan komunis terhadap pasukan tentera darat. 

Penceritaan dalam buku ini menggunakan teknik monolog, imbas kembali dan imbas muka. 

Penulis turut menggunakan gaya bahasa metafora dan hiperbola untuk memberikan gambaran tepat tentang sesuatu peristiwa.

 Kepelbagaian sumber primer dan sekunder yang digunakan seperti Surrender Enemy Personal (SEP), Diari Chin Peng, keratan akhbar, serta wawancara bersama informan yang terlibat berjaya menghasilkan penulisan berautoriti.

 Kekuatan karya ini ialah penulis merupakan mantan anggota pasukan keselamatan dan beliau menggunakan military mind dalam menggarap peristiwa tersebut. 

Hal yang demikian juga turut memberikan kelebihan dalam penghasilan penulisan ini dan mengenepikan elemen tokok tambah.

Lokasi kejadian serang hendap yang diceritakan merupakan kawasan yang paling panas dalam sejarah operasi tentera darat menentang pengganas komunis. 

Hal ini dinyatakan oleh penulis bahawa mana-mana perajurit yang ditugaskan beroperasi di kawasan sempadan utara adalah melangkah untuk mati. 

Pada bahagian pengenalan buku tertera ungkapan “Ketika melangkah di belantara, kami hanya ada tiga pilihan iaitu membunuh, dibunuh atau terbunuh”.

Keseluruhan intipati novel ini mengisahkan survival 28 orang perajurit di Markas Taktikal Kompeni C, Rejimen Ke-22 Askar Melayu DiRaja yang beroperasi selama lebih dua bulan di daerah Ulu Legong, 21 kilometer dari pekan Baling. 

Dalam tempoh tersebut, anggota-anggota Kompeni C menggeledah segenap inci hutan namun akhirnya diserang hendap oleh pengganas komunis. 

Sembilan orang perajurit berjuang hingga ke titisan darah terakhir. 

Semangat kental tujuh orang anak bangsa yang terkorban dalam pertempuran ini adalah mewakili dan mencerminkan semangat anggota tentera darat yang sanggup berjuang demi tanah air tercinta. 

Bab pendahuluan iaitu Prolog dimulakan dengan penceritaan lokasi berlakunya serangan. Ulu Legong terletak di utara Baling, Kedah iaitu sebelum tiba di simpang menuju ke Pekan Sik. 

Nama Kampung Lalang juga seolah-olah sinonim dengan sikap penduduk Kampung yang tidak mementu dalam memberikan kerjasama terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan yang tidak menentu ketika operasi. 

Serangan tersebut berlaku di jalan menuju ke Kampung Lalang, Kampung Kuala Kedua, Kampung Seberang dan Kampung 15. 

Kesemua kawasan perkampungan tersebut berada dalam daerah Ulu Legong. 

Pengganas komunis menggunakan Kampung Lalang yang didiami oleh orang Cina sebagai pusat transit sebelum melancarkan serang hendap.

Peristiwa serangan tersebut berlaku pada tahun 1981 yang menjadi detik hitam dan bersejarah kepada perajurit tentera darat. 

Peristiwa serang hendap terhadap sembilan orang anggota pasukan keselamatan ini tidak mempunyai saksi dan mengakibatkan tujuh orang perajurit tentera darat yang berada di barisan hadapan terkorban. 

Manakala dua orang lagi mengalami kecederaan parah. Komunis di Tanah Melayu sering dikaitkan dengan kezaliman Chin Peng. 

Bab yang kedua memerihalkan mengenai kezaliman komunis dan cita-cita Chin Peng untuk menjadi ketua Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum usianya menjangkau 25 tahun. 

Dia menjadi lebih teruja apabila menerima amanat daripada Liga Pembebasan Nasional Malaya diBeijing pada tahun 1967 bagi melancarkan keganasan. 

Rentetan itu pelbagai bentuk kezaliman dan keganasan dilakukan oleh pengganas komunis. 

Antaranya ialah menyerang Balai Polis Padang Besar selepas meletupkan kereta api di utara Padang Besar berdekatan dengan pekan Kok Mak. 

PKM juga memasang jerangkap samar di sepanjang jalan antara Changlun hingga ke Sadao di sempadan Malaysia-Thailand. Chin Peng turut menembak mati Timbalan Penguasa Polis Wong Lin Hoon di Kuala Lumpur, Ketua Inspektor Chin Chin Kou di Serdang, Kedah dan detektif Sarjan Chong Kek Oh di Sungai Siput, Perak.

 Imej Chin Peng meningkat dan dijulang sebagai hero berikutan pembunuhan Tan Sri Abd. Rahman Hashim iaitu Ketua Polis Negara. 

Ini diikuti pula dengan peristiwa meletupkan Tugu Negara pada 26 Ogos 1975. 

Sentimen benci kepada anggota pasukan keselamatan diterjemahkan dengan panggilan “anjing kerajaan”. 

Kisah di Ulu Legong bermula pada 12 Mei 1980, jam 4.00 pagi apabila Chin Peng bersama 38 orang anggota komunis membakar 15 buah rumah di Kampung 15. 

Hal ini berpunca apabila penduduk kampung disyaki melaporkan pergerakan komunis kepada pasukan keselamatan. 

Bermula peristiwa tersebut, hubungan di antara penduduk kampung dengan pengganas komunis semakin renggang. 

Bab ketiga memerihalkan demografi perkampungan Ulu Legong. 

Kezaliman komunis diterjemahkan di Kampung 15 apabila orang Melayu menjadi sasaran pengganas komunis bagi mendapatkan bekalan bahan makanan secara paksa. 

Penduduk kampung juga dipaksa membayar yuran bulanan. 

Keengganan memberikan kerjasama menyebabkan keseluruhan penduduk kampung menerima padah seperti pokok-pokok getah ditakik dan dirosakkan. 

Dalam jarak empat hari setengah perjalanan dari Kampung 15, ke arah timur laut, terletak kem besar pengganas komunis. 

Kem tersebut berperanan sebagai tempat latihan bagi kader-kader baharu yang datang dari Markas Besar Rejimen, Betong, Thailand. 

Kem ini dilengkapi dengan lapan buah kubu pertahanan, tiga lorong melarikan diri, sebuah padang kawad atau latihan senjata, dewan syarahan dan kawasan untuk bercucuk tanam. 

Antara pengganas komunis di kem tersebut ialah komrad Mutusamy, Ketua Unit Penggempur Ke-2 yang merupakan satu-satunya komunis berbangsa India dalam unit sempadan Rejimen Ke-10, PKM. 

Komrad Mutusamy bertanggungjawab bagi mengawasi kawasan utara Ulu Legong.

Justeru itu, bagi tujuan membalas dendam, Mutusamy bersama 11 orang komrad bergerak ke Kampung 15. 

Antara komrad kepercayaan yang dibawa bersama ialah Siong, Chiew, Yeo Ping dan Ah Hua. Mereka bergerak ke arah rumah Pak Din iaitu ketua kampung dan pada ketika yang sama, semua penduduk diarahkan berkumpul. 

Kesempatan ini digunakan oleh salah seorang penduduk kampung untuk melaporkan kepada pasukan keselamatan. 

Pak Din dipaksa keluar dari rumah dan dia memimpin isterinya yang mengendong bayi berusia 14 hari. 

Tujuan komunis pada pagi itu ialah untuk mendapatkan sokongan penduduk kampung disamping merekrut kader-kader baharu. 

Ketika sedang berbincang, anggota pasukan keselamatan tiba dan melepaskan tembakan. 

Namun gerombolan komunis sempat melarikan diri ke dalam hutan. 

Pertempuran pada pagi itu menyebabkan Robiah iaitu isteri kepada Pak Din terkena tembakan rambang. 

Muka Robiah sebelah kanan hancur separuh dan dipenuhi darah. 

Manakala hidungnya hilang separuh kerana sebutir peluru menembusi belakang kepala dan tembus di bahagian hadapan kanan. 

Dalam usaha menyelamatkan isterinya, Pak Din membawa Robiah dengan membonceng motorsikal sebelum menaiki kereta Man Prebet Sapu tetapi Robiah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. 

Selepas serangan tersebut, Ah Hua bersama lima orang rakannya yang lain tiba di kem sementara dan bersiap untuk meninggalkan lokasi tersebut. 

Hal ini kerana arahan Chin Peng hanya membenarkan mereka berada selama tiga jam sahaja di kem sementara selepaspertempuran.

 Ah Hua membawa bersama adik perempuan kesayangannya iaitu Mei Hua kerana dibimbangi akan menjadi mangsa nafsu serakah Chin Peng. 

Pada petang hari ketiga, Ah Hua bersama lima orang pengganas komunis sampai ke Kem Legong dan melaporkannya kepada Chin Peng. 

Berita serangan ini menimbulkan kemarahan Chin Peng kerana ketiadaan enam orang komrad bersama mereka.

 Antaranya ialah Yeo Ping dan Ang Ling yang merupakan kekasih gelap Chin Peng. 

Namun 11 hari selepas serangan di Kampung Ulu Legong, komrad Mutusamy muncul bersama Ah Siong dan melaporkan kejadian tersebut kepada Chin Peng. 

Laporan ini menimbulkan kemarahan Chin Peng dan mengeluarkan arahan untuk membalas dendam.

Gangguan komunis menyebabkan anggota tentera sentiasa memantau keselamatan penduduk kampung. 

Pelbagai persiapan dilakukan oleh anggota-anggota pasukan 22 RAMD yang akan bertugas di Markas Taktikal Ulu Legong. 

Commanding Officer (CO) memberikan arahan bahawa pasukan 22 RAMD akan mengambil alih tugas operasi daripada pasukan 8 Melayu. 

Empat kompeni dihantar iaitu Kompeni A, B, C dan D. Kompeni A dan B akan melalui jalan udara dengan menggunakan helikopter Nuri. Manakala Kompeni C dan D akan melalui jalan darat.

 Anggaran masa operasi ialah selama tiga bulan. Semua anggota akan membawa 14 hari rangsum tempur dan peluru barisan pertama. 

Ketua Platun dibekalkan dengan morphine. 

Operasi diteruskan di kawasan persekitaran Ulu Legong sehingga arahan dikeluarkan oleh CO. 

Penulis buku ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai keadaan hutan hujan Khatulistiwa yang menjadi lokasi operasi tentera darat. 

Hal yang demikian dinyatakan melalui ungkapan Sun Tzu iaitu pemikir ketenteraan dalam Tamadun China, “kenal akan keadaan tanah akan menyebabkan panglima perang bijak mengatur strategi peperangan dan seterusnya dapat mengalahkan musuh dengan mudah”.

 Justeru itu, perajurit tentera darat mengharungi cabaran seperti kesejukan, lecak, batuk, selsema, melecet dan lain-lain lagi demikesejahteraan negara tercinta. 

Penugasan operasi di semenanjung ketika itu turut melibatkan pasukan dari Sabah dan Sarawak. 

Dalam bab ini juga diselitkan mengenai tuduhan mencabuli anak dara Ketua Kampung Lalang iaitu Pak Su Rahman yang dilemparkan oleh penduduk Kampung Ulu Legong terhadap Prebet Shobri. 

Tohmahan ini akhirnya merenggangkan hubungan baik di antara masyarakat di Kampung Ulu Legong dengan pasukan 22 RAMD.

Pasukan 22 RAMD menjalankan tugas mereka dengan efisian di Ulu Legong. 

Kemuncak kepada peristiwa tersebut ialah pada 29 Oktober 1981, jam 8.30 pagi apabila kenderaan trak Volvo 2 tan yang membawa sembilan orang anggota fitik bersedia bergerak keluar dari Markas Taktikal, Ulu Legong menuju ke Kampung Lalang.

Trak Volvo 2 tan yang diserang hendap pengganas komunis di Ulu Legong,Baling

 Tujuan mereka pada pagi tersebut ialah mengecat rumah Tauke Wong di Kampung Lalang yang musnah dalam satu kebakaran. 

Kumpulan ini diketuai oleh Leftenan Rosli. 

Lima belas minit selepas bertolak, kenderaan tersebut diarahkan berpatah balik oleh Pegawai Risik. 

Kumpulan ini digantikan dengan ketua yang baharu iaitu Lans Koperal Hashim bin Sulaiman. 

Ketika dalam perjalanan mereka berbincang mengenai perancangan yang akan dilakukan bersama keluarga masing-masing apabila selesai operasi. 

Sementara itu, aktiviti di Markas Taktikal berjalan seperti biasa sehingga dikejutkan dengan bunyi berbalas tembakan. 

Kumpulan 22 RAMD yang berada dalam trak diserang hendap oleh pengganas komunis. 

Bunyi berbalas tembakan menyebabkan anggota 22 RAMD yang berada di Markas Taktikal bersiap sedia dengan kelengkapan senjata masing-masing. 

Saksi yang terselamat menyatakan bahawa pada pagi tersebut, kumpulan tentera bercadang untuk berhenti bersarapan terlebih dahulu sebelum ke Kampung Lalang. 

Ketika dalam perjalanan, bahagian enjin trak Volvo 2 tan ditembak dengan menggunakan peluru roket pemusnah kereta kebal. 

Pemandu trak pada pagi itu ialah Prebet Merdeka yang sempat menghentikan kenderaan dan akhirnya berhadapan dengan bahagian tebing lokasi pengganas komunis. 

Beberapa butir bom dilontar dan peluru roket pemusnah kereta kebal ditembak oleh pengganas komunis sehingga kesembilan orang anggota tentera terpaksa mempertahankan nyawa serta menyerang balas.

 Dua orang anggota tentera iaitu Prebet Sharom dan Prebet Saidin tercedera parah dan jatuh tersorok di bawah lembah. 

Mereka hanya terdengar bunyi tembakan dan suara rakan-rakan yang mengerang kesakitan. 

Manakala tujuh orang anggota 22 RAMD yang terkorban ialah Hashim, Jamil TK, Jamil Hamid, Md Merdeka, Khambali, Mazlin dan Rosli.

Berita serangan komunis terhadap anggota pasukan keselamatan mendapat liputan yang meluas. 

Akhbar bertarikh 31 Oktober 1981 turut melaporkan bahawa anggota tentera yang diserang hendap tidak mempunyai peluang untuk membalas serangan. 

Hal ini kerana pengganas komunis melancarkan serangan dari kawasan tinggi dengan menggunakan senjata moden. 

Berita juga melaporkan bahawa terdapat penglibatan sekurang-kurangnya seorang anggota PKM wanita. 

Berikutan serangan tersebut, jenazah anggota 22 RAMD yang terkorban hanya mampu diratapi dan ditangisi oleh kaum keluarga mereka. 

Bendera pasukan 22 RAMD dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghargaan dengan pengorbanan mereka terhadap negara tercinta. 

Pada hari yang sama, mesyuarat khas diadakan di bilik khas Pegawai Daerah Baling. Pihak pengurusan mengeluarkan arahan untuk menyemadikan jenazah dengan cara yang paling terbaik. 

Arahan juga dikeluarkan agar pemberita tidak mengambil gambar mana-mana anggota tentera yang terkorban bagi menjaga sensitiviti kaum keluarga dan untuk mempertahankan semangat perjuangan anggota-anggota tentera yang lain. 

Panglima Tentera Darat yang sedang berada di luar negara turut menamatkan lawatannya dan berada di Kem 22 RAMD. 

Keperihatinan beliau terserlah apabila turut mengimamkan solat jenazah para pejuang syahid.

Serangan pengganas komunis di Ulu Legong turut mendapat liputan meluas daripada wartawan dalam dan luar negara. 

Enam orang anggota tentera terbunuh di lokasi serang hendap manakala empat lagi di kawasan Markas Taktikal semasa cuba bergerak memberikan bantuan. 

Begitu juga gambar anggota pasukan yang terselamat tetapi cedera parah turut mendapat liputan televisyen selama 11 hari. 

Pihak media membuat andaian berbeza dengan melukis pelbagai grafik bagi menggambarkan insiden yang tidak berperikemanusiaan itu.

Penulis berjaya memberikan gambaran tepat mengenai kezaliman komunis terhadap anggota tentera 22 RAMD yang terkorban. 

Ini bersandarkan bukti yang diperoleh daripada informan termasuk berita yang disiarkan di media massa dan cetak. 

Lokasi serang hendap pada pagi tersebut terletak lebih kurang 75 meter dari jambatan pertama dan hanya 30 meter dari rumah paling hujung di Kampung Ulu Legong. 

Anggota tentera pertama yang ditemukan ialah pemandu trak Volvo 2 tan iaitu Prebet Md Merdeka. 

Jenazahnya dibogelkan dan diikat pada wiper trak. Telinganya dipotong dan dijadikan kalung rantai dengan menggunakan tali akar pohon letup-letup. 

Kemaluannya turut dipotong dan dimasukkan ke dalam mulut. 

Kedua, jenazah Lans Koperal Hashim iaitu ketua kumpulan. Jenazah ini dipenuhi dengan peluru hampir 20 butir. Ketika jenazahnya diangkat, badannya boleh dilipat dua seakan-akan tiada pinggang. 

Kepalanya hancur di sebelah kiri akibat tembakan bertubi-tubi. Darah meleleh keluar dari hidung, mulut dan telinga. 

Otaknya berterabur di atas jalan raya manakala kedua-kedua matanya dicungkil dan tidak ditemukan. 

Jenazahnya turut dibogelkan dan diletakkan terlentang di atas jalan raya dan kemaluannya dipotong.

Jenazah yang ketiga ialah Prebet Jamil TK. Jenazah ini terperosok di dalam parit yang penuh dengan semak pokok senduduk. Seluarnya dilondehkan, disula dan ditembak. 

Darahnya masih menitis ketika jenazahnya ditemui.

 Manakala jenazah Prebet Jamil Hamid dibogelkan dan terlentang di atas jalan raya. 

Kemaluannya dikerat dan dimasukkan ke dalam mulut. Telinga kiri dipotong dan kepalanya dipenuhi dengan kesan tembakan. 

Darah berlinang di atas jalanraya dan mengalir ke arah lopak air. 

Air lopak yang berwarna kuning susu bertukar kepada warna kemerah-merahan.

 Jenazah kelima dan keenam bertindih di atas lantai trak Volvo 2 tan. 

Peluru memenuhi rusuk kanan dan darah memenuhi lantai trak. 

Anggota tentera yang ketujuh dan kelapan terselamat dalam serangan tersebut tetapi mengalami kecederaan parah. 

Prebet Shahrom terjatuh di perdu pokok pisang hutan. Peha kanannya turut patah ditembusi tiga butir peluru musuh. 

Kaki kirinya tersangkut di perdu batang pisang dan tulang belakang hancur. 

Manakala lima batang tulang kerangkanya remuk. Dia turut ditembak bertubi-tubi ketika cuba bangun untuk melaksanakan arahan. 

Prebet Saidin terbaring dengan separuh badan tenggelam di dalam lopak air di bawah bukit. Tangan kanannya terkulai dan sebutir peluru menembusi lengan hingga ke ketiak dan sisi dada. 

Seterusnya, terdapat empat orang anggota terkorban di Markas Taktikal. 

Lans Koperal Azenan bin Harun iaitu ketua pengawal di pos pengawal yang terletak di puncak bukit telah ditembak dengan dua butir peluru 9 mm di belakang kepala menembusi ke bahagian depan. 

Dua butir peluru lagi menembusi dada kanan dan tengah. 

Koperal Saad bin Baki iaitu ketua tukang masak terbaring di dalam khemah stor barang makanan kering. 

Dua butir peluru menembusi kepala dan rusuk kanan. 

Manakala dua lagi yang ditembak ialah anggota rintis serang yang berada dikubu paling bawah. 

Prebet Iskandar bin Ismail terbaring dua depa dari kawasan kubu dengan dua kesan tembakan di rusuk kiri. 

Ketika itu, dia hanya memakai tuala hijau dan buih sabun masih terdapat dibadannya. Manakala ditangannya masih memegang senjata.

 Jenazah terakhir ialah Prebet Yusuf bin Khairudin yang turut ditembak. 

“Ketika kaki melangkah ke hutan dimulai dengan azan dan ketika keluar dari belantara belum tentu melangkah dan mungkin akan diakhiri dengan bacaan talkin, Yassin serta doa ...”. 

Pernyataan oleh perajurit tentera darat ini menggambarkan survival yang perlu dihadapi bagi penugasan operasi di perbatasan sempadan utara negara. 

Berikutan dari kejadian serang hendap di Ulu Legong, arahan dikeluarkan oleh Panglima Briged Utara 22 RAMD untuk melaksanakan operasi membanteras pengganas komunis. 

Kompeni Alpha (Kompeni Lembing) dan Kompeni Delta (Kompeni Badik) ditugaskan ke kawasan operasi dengan helikopter sambil menyusun strategi serang hendap. 

Manakala Kompeni Bravo (Kompeni Kerambit) dan Kompeni Charlie (Kompeni Keris) ditugaskan melaksanakan operasi penjejakan dari lokasi serang hendap Ulu Legong dengan bantuan beberapa ekor anjing perang. 

Operasi “Hutang Darah” ini diketuai oleh Leftenan Mohd Noor, Ketua Platun Tiga dari Kompeni Charlie.

Operasi tersebut melibatkan sebanyak 30 buah trak yang digunakan untuk mengangkut peluru meriam. 

Dalam tempoh masa selama 16 hari sebanyak 950 butir peluru meriam ditembak dan Panglima Briged Utara mengarahkan tambahan sebanyak 500 butir peluru dibekalkan. 

Namun terdapat juga beberapa kekangan dalam menjejaki lokasi pengganas komunis kerana melibatkan sempadan Thailand. 

Walau bagaimanapun, sebelum operasi penjejakan bermula, permohonan kebenaran memasuki kawasan sempadan negara jiran sudah dimajukan. 

Justeru itu, Platun Harimau dari 2 RAMD, Mentakab, Pahang dibawa masuk bagi mengambil alih operasi memburu pengganas komunis hingga ke sempadan Thailand.

Kumpulan Tempur Kecil (KTK), Platun Harimau 2 RAMD ditumpangkan dengan dua buah helikopter Nuri di Markas Taktikal 22 RAMD. 

KTK Harimau 1 diketuai oleh Kapten Fauzi dan menjejaki pengganas komunis dari sempadan iaitu lokasi terakhir pengganas dikesan. 

KTK Harimau 2 diketuai oleh Sarjan Alias, ditempatkan 30 kilometer ke dalam kawasan negara Thailand dan membentuk kepungan serta serang hendap. 

KTK Harimau 2 turut membawa bersama bahan letupan yang banyak dan hampir 30 jerangkap samar dipasang.

Pelbagai insiden mencemaskan yang dilalui oleh KTK Harimau 1, bermula dengan tembakan dan diakhiri dengan pergelutan bersama pengganas komunis. 

Namun Kapten Fauzi berbekalkan keyakinan kepada Allah SWT dan serapah Mat Kilau ketika menuntut Seni Silat Mat Kilau di Jerantut, Pahang berjaya menumpaskan musuh. 

Kumpulan KTK Harimau 2 meneruskan operasi dengan memasang 20 batang bahan letupan di sebuah pondok rehat pengganas komunis dan jerangkap samar.

 Tumpuan ialah sehingga ke Markas Besar Komunis di Betong, Thailand. 

Pada hari ke-14, tepat jam 1 tengahari, kedudukan serang hendap KTK Harimau 2 dikejutkan dengan bunyi letupan yang kuat. 

Ini disusuli pula dengan beberapa letupan claymoremine (bom pemusnah) dan 15 minit kemudian diikuti dengan letupan jerangkap samar. 

Lebih kurang 30 hingga ke 50 orang pengganas komunis muncul dan kesempatan ini diambil oleh KTK Harimau 2 untuk membalas dendam ke atas pengorbanan rakan-rakan seperjuangan mereka. 

Setelah melaksanakan operasi, KTK Harimau 2 memasuki kawasan sempadan tanah air selepas menutup mayat 24 orang pengganas komunis di hadapan pondok dengan menggunakan daun-daun kayu. 

Sarjan Alias membawa bersamanya tiga cuping telinga pengganas komunis di dalam pouches. 

Berita kejayaan dalam menyelesaikan operasi disambut dengan gembira oleh anggota-anggota dan Panglima Briged Utara 22 RAMD. 

Selepas selesai operasi, Platun 11 dari Kompeni Delta 22 RAMD ditugaskan ke lokasi serang hendap bagi membuat penggeledahan lanjut. 

Ketika daun-daun kayu diangkat, langau berterbangan kerana sebahagian mayat pengganas komunis berulat. 

Buku ini juga mempunyai sisi yang menarik untuk dihayati oleh pembaca. 

Intipati wawancara yang dilaksanakan oleh penulis turut dimuatkan bagi memberikan gambaran yang sahih terhadap peristiwa yang berlaku. 

Maklumat sahih diperoleh daripada Prebet Sharom dan Prebet Saidin iaitu dua orang anggota 22 RAMD yang cedera parah dalam serangan di Ulu Legong. 

Penulis juga menyatakan bahawa pelbagai inisiatif diatur selama hampir empat bulan bagi menjejaki kedua-dua wira yang berjasa kepada negara ini. 

Penulis menyatakan bahawa hanya linangan air mata menyambut persoalan yang dikemukakan kepada Prebet Sharom ketika sesi wawancara diadakan di Taman Berkoh Ulu. 

Menurut maklumat yang dikumpulkan, Prebet Shahrom mengalami kecederaan di perut, dada, bahu, kaki dan tangan kanan dalam pertempuran yang berlaku. 

Tulang belakangnya hancur separuh dan menyebabkan beliau lumpuh separuh badan serta menggunakan kerusi roda selama enam tahun. 

Kecederaan parah yang dialami oleh Prebet Shahrom menyebabkan isterinya menuntut fasakh dan dihujung usianya hanya ditemani anak-anak. 

Informan turut menjelaskan bahawa serangan di Ulu legong didalangi seramai lebih daripada 30 orang pengganas komunis. 

Penulis juga berkesempatan mewawancara Prebet Shobri bin Mohd Shahril yang dituduh mencabuli Siti Khatijah binti Abdul Rahman (Cik Abby), dara pingitan Kampung Ulu Legong. 

Perkenalannya bersama Cik Abby di pasar malam di simpang ke Kampung Ulu Legong membibitkan perasaan cinta namun tidak membawa kepada perkara-perkara yang ditegah oleh agama. 

Perasaan cinta dan sayangnya terhadap Cik Abby begitu utuh kerana beliau masih belum berkahwin. 

Beliau juga turut mendoakan Cik Abby menginsafi tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

 Penulis buku ini juga mengadakan pertemuan dengan Cik Abby dan Abdul Rahman bin Man (Pak Su Rahman) bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai tuduhan perhubungan bersama Prebet Shobri bin Mohd Shahril. 

Gadis berdarah campuran Siam dan Melayu Pattani merupakan “bidadari di Kampung Ulu Legong”. 

Anak kepada Pak Su Rahman membesar dengan penuh kasih sayang namun kehidupannya sunyi sehinggakan dia mula mencari kehidupan moden dan mewah di Pekan Baling serta Sungai Petani. 

Informan membuat pengakuan bahawa anak yang dikandung ketika itu bukannya zuriat Prebet Shobri bin Mohd Shahril. 

Sepucuk surat juga dikirim oleh Cik Abby kepada Prebet Shobri bin Mohd Shahril yang bertarikh April 2011. 

Intipati surat Cik Abby tetap menyatakan rasa cinta dan sayang terhadap hubungan yang pernah terjalin. 

Hasil wawancara penulis bersama Pak Su Rahman turut membuktikan bahawa serangan terhadap 22 RAMD di Ulu Legong merupakan tindakan zalim komunis dan bukannya oleh Kumpulan Pembebasan Petani (PULO). 

Kekuatan karya ini ialah apabila penulis mendapatkan info sahih daripada komrad Mutusamy yang merupakan SEP. 

Hasil wawancara turut mengiyakan bahawa serangan di Ulu Legong di dalangi oleh Chin Peng. 

Dia turut menyatakan bahawa terdapat penglibatan seramai 18 orang pengganas komunis dari Betong. 

Informan turut menyatakan bahawa Chin Peng mengarahkan anggota badan perajurit tentera darat dipotong.

 Menurut komrad Mutusamy yang beragama Hindu, walaupun pada ketika itu dia berasa kasihan, namun terpaksa melaksanakan arahan Chin Peng. 

Satu bahagian penting yang menarik dan terakhir dalam buku ini ialah catatan Diari Chin Peng yang ditemui oleh Platun Harimau semasa serangan di Kem Gajah. 

Catatan tersebut memberikan gambaran kepada peribadi dan cita-cita Chin Peng dalam PKM. 

Imej, kezaliman komunis dan dendam kesumat dizahirkan dengan pernyataannya iaitu “ Pada suatu pagi yang lembab di Ulu Legong, saya dan anggota khas komunis yang dikirim dari Betong berjaya membunuh 10 ekor anjing kurap kerajaan ... atas kejayaan itu, Markas Pusat PKM di Beijing menganugerahkan saya Pingat Bintang Kuning ....” 

Menurut diari itu lagi, Chin Peng tetap rasa bersalah terhadap serangan yang dilakukan oleh terhadap anggota tentera kerana melanggar prinsip peperangan Sun Tzu. 

Impaknya, Chin Peng sering diganggu mimpi ngeri kerana melakukan kezaliman. 

Chin Peng mencatatkan juga bahawa perasaan dendamnya terhadap anggota pasukan keselamatan bermula apabila isteri dan anaknya yang berada dalam kandungan dibunuh oleh pasukan tentera ketika sedang menerima rawatan doktor di sebuah klinik swasta di Temerloh, Pahang.

Chin Peng juga dalam catatan diarinya turut menjelaskan bahawa tidak sampai seminggu selepas kejadian serang hendap di Ulu Legong, dia dihantar ke Pusat Rawatan Khas di Beijing. 

Setelah beberapa bulan menerima rawatan, dia dimasukkan dalam kategori pesakit luar dan didiagnosis sebagai minor mental breakdown.

 Sejak hari itu, Chin Peng diberikan satu suntikan penenang setiap hari dan dinasihatkan tidak kembali ke Malaysia selagi belum pulih sepenuhnya. 

Selepas hampir lapan bulan menerima rawatan, Chin Peng dibebaskan dan kembali semula ke dunia komunis. 

Kesempatan juga digunakan oleh Chin Peng untuk menziarahi saudara-maranya di Jiang Dou dan Amoy iaitu tanah kelahiran bapanya.

 Akhirnya Chin Peng mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia. 

Dia sampai ke Siam dan tidak balik ke Markas Besar PKM di Betong ataupun kampung halamannya yang terletak di Kampung Koh, Sitiawan. 

Dia menukar identiti dan tinggal di kawasan Pahang Barat bagi mengukuhkan kem sebelum bertolak ke lokasi lain seperti Bukit Fraser dan Genting Highlands. 

Dia juga menziarahi Min Yuen di kawasan ladang yang terletak di pinggir hutan sekitar Bentong, Sungai Ruan, Raub dan Sanglee. 

Rutin harian ini diteruskan oleh Chin Peng bagi mengelakkan gangguan mental yang dialaminya kesan peristiwa di Ulu Legong. 

Selepas dua tahun, Chin Peng dikunjungi oleh Chan Ka Kui, Ketua Pasukan Elit, PKM.

 Chan Ka Kui mahu Chin Peng berada di jajaran Gubir yang dirasakan lebih selamat berbanding Pahang Barat. 

Chin Peng juga menukilkan bahawa ketika berusia 21 tahun, dia diberikan kepercayaan menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting PKM. 

Setelah hampir setahun Chin Peng mengikuti Lai Tak dan mendapat sepenuh kepercayaan, maka cita-cita untuk mengambil kepimpinan PKM terus menguasai dirinya. 

Sekitar penghujung tahun 1946, Lai Tak mengetuai operasi bagi menyimpan wang parti di sebuah bank sekitar Selangor. 

Kesempatan ini digunakan oleh Chin Peng dengan bantuan Chan Ka Kui untuk membunuh Lai Tak. 

Chin Peng menggunakan pistol penyerap bunyi dan menembak Lai Tak di kepala sehingga menyebabkan otak Lai Tak hancur bersepai. 

Mayatnya ditanam di satu lokasi rahsia. 

Chan Ka Kui kembali ke markas pusat dan melaporkan bahawa Lai Tak hilang bersama wang parti.

 Chin Peng berpura-pura sedih dan mengetuai operasi menjejaki Lai Tak selama empat kali dan akhirnya mengetuai upacara sembahyang bagi mendoakannya. 

Dalam catatan diarinya dinyatakan bahawa hampir lapan bulan Chin Peng berehat di sebuah rumah rakan lamanya iaitu Chong Woo di Pekan Kuala Kubu Baharu dan bukannya mencari Lai Tak. 

Chin Peng akhirnya membuat kenyataan bahawa Lai Tak melarikan wang parti melebihi satu juta ringgit dan didapati berfoya-foya dengan wanita kabaret serta kereta sport di Singapura. 

Wang parti tersebut dibahagikan di antara Chin Peng, Chan Ka Kui dan dua orang anggota unit elit. 

Justeru itu, Chin Peng dilantik menggantikan Lai Tak sebagai Ketua PKM pada tahun 1947 ketika berumur 25 tahun.

Paparan serang hendap di Ulu Legong hanya merupakan secebis kezaliman komunis.

Tindakan tersebut memberikan gambaran yang tepat mengenai ideologi dan kezaliman komunis dalam usaha menubuhkan Republik Komunis Malaya. 

Dalam menelusuri episod penting buku ini, beberapa tindakan zalim komunis tidak dinyatakan oleh pengulas bagi menjaga sensitiviti kaum keluarga perajurit negara yang terkorban.

 Secara keseluruhannya penulis buku ini berjaya menggarap plot penceritaan dengan gaya bahasa yang mudah dan santai. 

Buku ini juga bertambah menarik apabila disajikan dengan pelbagai teknik seperti imbas kembali dan imbas muka dalam penulisan bagi menggambarkan peristiwa komunis di Tanah Melayu. 

Akan tetapi, karya ini boleh disusun mengikut kronologi bagi memudahkan kefahaman khalayak. 

Namun secara keseluruhannya, matlamat asal penulis untuk menggarap pengorbanan perajurit tentera darat dalam mempertahankan bumi bertuah Malaysia sangat signifikan.

Mohamed Ali Haniffa (PhD)

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, 

Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

0 ulasan:

Catat Ulasan