Khamis, 6 Jun 2024

Filem P.Ramlee:"Macam Mana P. Ramlee Cipta 6 Jahanam?"

 "Macam Mana P. Ramlee Cipta 6 Jahanam?"

Semasa P. Ramlee ingin mengarahkan filem 6 Jahanam, beliau ingin mencipta watak kepada setiap pelakon yang membawa peranan 6 Jahanam tersebut dengan keadaan yang berbeza. 

P. Ramlee ingin menggambarkan kesemua watak 6 Jahanam ini sebagai benar-benar ganas supaya mereka nampak betul-betul jahat.

Pada suatu hari, P. Ramlee telah memanggil keenam-enam pelakon yang terlibat bersama beberapa orang tukang gunting rambut yang didatangkan khas olehnya ke Studio Merdeka. 

P. Ramlee telah meminta tukang gunting rambut itu memotong rambut keenam-enam pelakon itu dengan gaya yang berbeza. Ada yang botak, ada juga yang botak separuh, dan ada yang gondol.

Keenam-enam pelakon itu hanya menurut sahaja kehendak P. Ramlee. Untuk makluman semua, di Studio Merdeka bukan mudah bagi pelakon-pelakon baru untuk mendapat peluang berlakon dalam filem P. Ramlee kerana beliau sangat teliti dalam pemilihan pelakon untuk filem-filemnya. 

Bagi mereka semua, betapa beruntungnya mendapat tawaran berlakon dalam filem P. Ramlee, jadi setakat botak atau gondol kepala tidak menjadi masalah besar.

Keenam-enam pelakon yang terlibat untuk dipotong rambutnya ialah Ahmad Dadida (Karambit), Osman Botak (Paragas), Sharif Baboo (Mumbala), Ibrahim Sabtu (Jagindas), Kamal Idris (Katipang), dan J.B Yusoff (Sujama).

Watak Laksamana Damburi yang dilakonkan oleh seniman Yusof Latiff pula pada awalnya ditawarkan kepada S. Roomainoor. Namun, S. Roomainoor menolak tawaran tersebut kerana tidak mahu terlibat dengan mana-mana penggambaran pada waktu itu. 

Oleh itu, P. Ramlee segera menerbangkan Yusof Latiff dari Singapura untuk mengisi kekosongan tersebut.

Ramai juga yang tidak tahu bahawa filem ini diadaptasi daripada filem koboi, The Bravados (1958) yang mengisahkan seorang suami yang membalas dendam atas kematian isterinya.

Walaupun begitu, filem ini mendapat kritikan hebat daripada Utusan Malaysia kerana mutu pengarahannya.

Namun berpuluh tahun kemudian, filem ini telah menjadi filem 'cult' dan diminati generasi muda masa kini.

Oleh: Azizul Farhan

Sumber 

___

Teringin nak tahu kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dari awal kelahiran hinggalah hilangnya sebutir permata industri seni negara? 

Dapatkan P.RAMLEE, TIADA YANG KEDUA dengan diskaun RM7 terhad sehingga 15 Jun hanya ada di Shopee kami!

https://s.shopee.com.my/5AX63kuYme

0 ulasan:

Catat Ulasan