Selasa, 11 Jun 2024

Pelaburan palsu:Gelap mata untung berganda, penjawat awam rugi RM358,000

 

Gelap mata selepas menerima keuntungan pertama hampir RM50,000, seorang penjawat awam akhirnya kerugian hampir RM360,000 ditipu sindiket pelaburan yang disertainya.(Gambar hiasan) Foto 123rf
Gelap mata selepas menerima keuntungan pertama hampir RM50,000, seorang penjawat awam akhirnya kerugian hampir RM360,000 ditipu sindiket pelaburan yang disertainya.(Gambar hiasan) Foto 123rf

KLUANG - Gelap mata selepas menerima keuntungan pertama hampir RM50,000, seorang penjawat awam akhirnya kerugian hampir RM360,000 ditipu sindiket pelaburan yang disertainya.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, wanita berusia 37 tahun itu tertarik dengan pelaburan yang berasaskan saham syarikat dari China sebelum melakukan 53 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berbeza bagi mendapatkan keuntungan pelaburan berganda.

Katanya, mangsa sebelum itu melayari satu pautan di aplikasi Facebbok yang disambungkan ke WhatsApp.

“Mangsa berhubung dengan suspek bagi menyatakan minat untuk menyertai pelaburan tersebut dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan sembang di WhatsApp.

“Mangsa diberikan penerangan dan segala informasi bagi memulakan pelaburannya dalam kumpulan Whatsapp tersebut dan mulai 25 April hingga 30 Mei lalu telah membuat transaksi pemindahan wang melibatkan jumlah keseluruhannya sebanyak RM358,120.

“Pada mulanya mangsa ada menerima keuntungan sebanyak RM48,000 daripada pelaburan itu yang dibayar secara berperingkat dan ini membuatkan mangsa terus menerus membuat pemindahan wang bagi mendapatkan keuntungan lebih banyak,” katanya.

Tambah Bahrin, mangsa berasa ditipu setelah tidak menerima apa-apa keuntungan lagi dan setelah membuat carian melalui laman sesawang mendapati bahawa pelaburan tersebut sebenarnya tidak wujud.

Kes di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga 10 tahun penjara dan sebatan atau dengan denda.

-SH Online 

#Salah diri sendiri kerana tamak berlebihan...muhasabah diri adalah cara terbaik...jadikan iktibar kepada kita semua.

0 ulasan:

Catat Ulasan