Jumaat, 7 Jun 2024

Mahu DLP Matematik, Sains dilaksanakan tanpa syarat - Guan Eng

 

Guan Eng dan Teresa mempertahankan bantahan dikemukakan
Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 SMJK dan SM (C) Pulau Pinang, dalam sidang media di ibu negara pada Khamis.
Guan Eng dan Teresa mempertahankan bantahan dikemukakan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 SMJK dan SM (C) Pulau Pinang, dalam sidang media di ibu negara pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Tiada isu menentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sebaliknya mahu Program Dwibahasa (DLP) dalam subjek Sains dan Matematik dilaksanakan tanpa syarat agar ibu bapa bebas membuat pilihan untuk anak-anak mereka, kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, perkara dibangkitkan oleh Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang yang dilaporkan sebelum ini adalah tidak tepat.

Sebaliknya, jelas beliau, bantahan tersebut dibuat setelah sebilangan besar ibu bapa, bahkan turut melibatkan pelajar Melayu, mahu anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

"Ini adalah isu pendidikan, bukan isu 3R (Raja, agama, kaum). Perkara ini telah lama dibangkitkan. Harap jangan ada pihak yang jadikannya polemik politik dengan menangguk di air keruh.

"Saya juga telah bangkitkan di Parlimen pada Mac lalu dan disokong oleh pemimpin pembangkang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Isunya, DLP dalam bahasa Inggeris dah dilaksanakan tanpa syarat sebelum ini. Saya minta tiada gangguan dalam DLP dan hormati hak pilihan ibu bapa untuk anak mereka," katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah berkenaan dilapor berkata, surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri bertarikh 15 April sudah dihantar kepada pengetua 36 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga 52 SMJK dan SMK.

Surat itu secara rasmi mengumumkan bahawa salah satu arahan kementerian adalah menguatkuasakan pelaksanaan DLP dengan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini.

Kelas terbabit juga hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 20 orang pelajar.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, masalah timbul apabila pihak sekolah berdepan kesukaran untuk mewujudkan kelas dalam bahasa Melayu disebabkan rata-rata murid mahu belajar dalam bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar bantahan tersebut diberi perhatian dengan mengembalikan kaedah lama seperti ketika bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jika dulu boleh (tanpa syarat), kenapa sekarang tak boleh?

"Harap tiada pihak yang putar belit kenyataan mereka,"katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa pihak Kementerian Pelajaran (KPM) dan Jabatan Pelajaran agar turun padang di sekolah-sekolah yang membantah syarat baharu dalam DLP bagi dua mata pelajaran tersebut.

"Yang buat polisi mereka kurang turun padang dan tidak melihat kekecohan berlaku dalam sekolah.

"Perkara ini sepatutnya dipermudah tapi KPM menyusahkan,"katanya.

-SH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan