Isnin, 3 Jun 2024

Lantikan politik:Roslan masih Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan

 ROSLAN Hussin. FOTO arkib NSTP

ROSLAN Hussin. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan mengesahkan Datuk Dr Roslan Hussin masih memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat pelantikan Roslan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Setakat ini kita tidak menerima apa-apa sebarang maklumat berkaitan dengan pelantikan beliau itu.

"Beliau masih lagi pengarah JPNS, masih lagi penjawat awam.

"Jadi saya minta beliau untuk fokus kepada JPNS dan lakukan tugas seperti biasa," katanya selepas Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Mydigitalmaker Fair (MDMF) di Pusat Sains Negara di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pelantikan Roslan sebagai ahli MPP baharu parti itu selepas PKR membuat rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri.

FADHLINA (dua kanan) melancarkan MyDigital Maker Fair (MDMF) di Pusat Sains Negara. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (kanan) dan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh (dua kiri). FOTO Bernama

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya sedang menaik taraf 384 Pusat Kecemerlangan Pendidikan (COE) dengan pembekalan studio digital dan hab digital maker untuk memantapkan ekosistem dan pembudayaan pendidikan digital.

"Kita sedang melihat antara perkara penting dalam pembudayaan digital ini adalah kemahiran dan kompetensi guru.

"Jadi sebab itu kita telah pun mengangkat dan mengambil inisiatif menambah baik 384 pusat kegiatan guru kepada COE supaya dilengkapi dengan bahan digital dan pusat tumpuan guru meningkatkan kompetensi dan anak murid mereka," katanya.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan