Isnin, 3 Jun 2024

PRK Sungai Bakap: BERSATU sedia beri laluan kepada PAS

 Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

KUALA TERENGGANU: BERSATU bersedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan mengenai calon selepas Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya DUN itu.

Bagaimanapun, katanya, BERSATU dan PAS serta parti kompenan PN di Pulau Pinang sudah mengerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi PRK DUN Sungai Bakap.

"Kita akan putuskan calon sama ada daripada BERSATU atau PAS untuk bertanding di kerusi itu pada perbincangan yang akan diadakan nanti.

"Majlis Pimpinan Tertinggi PN juga akan mendapatkan maklum balas daripada pucuk pimpinan parti itu di Pulau Pinang," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

SPR akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada PRK Sungai Bakap.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada Ogos lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, berkata parti berkenaan akan berlapang dada siapa pun calon yang akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

"Kita akan menyokong siapa pun calon sama ada daripada PAS atau BERSATU, paling utama adalah untuk mengekalkan kerusi DUN itu kepada PN," katanya.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan