Sabtu, 15 Jun 2024

Ustaz Don sekali lagi nyatakan hadis tidak bersumber

 

Prof. Rozaimi (kiri) dan Ustaz Don.

PETALING JAYA – Pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal sekali lagi menyatakan hadis yang tidak mempunyai sanad atau sumber dalam program Salam Baitullah yang berlangsung malam tadi.

Menurut pakar bidang hadis, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, lafaz yang dinyatakan oleh Ustaz Don mengenai memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah tidak dapat dijumpai sanadnya.

Ujar Muhamad Rozaimi, yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, setelah menyemak tiga nama kitab yang diberi oleh Ustaz Don, beliau mendapati hadis yang dibacakan dalam siaran langsung itu tidak ditemui asalnya dan tidak diketahui sanadnya.

“Sengaja saya minta nama kitab riwayat yang Ustaz Don bacakan dalan program siaran langsung semalam. Saya sudah menjangka pastinya Saudara Don akan memberikan nama kitab Lubab al-Hadith dan Tanqih al-Qaul al-Hathith.

“Dengan rujukan yang diberikan ini jelas saudara Don sememangnya percaya ini adalah hadis. Justeru, saya katakan hadis yang dia baca ini tidak ditemui asalnya. Tidak diketahui sanadnya.

“Bahkan kitab Lubab al-Hadith juga diragui adakah benar ia ditulis oleh Imam al-Suyuti. Rujuk tesis PhD Prof. Dr. Mustaqim dan hantaran Dr Khafidz Soroni yang meragui penisbahan kitab ini kepada al-Suyuti,” katanya.

Tambah Muhamad Rozaimi yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), bagi kitab Tanqih al-Qaul pula ada syarah kepada Lubab al-Hadith manakala al-Durrah al-Yatimah juga bukanlah kitab hadis primer kerana tidak menyatakan sanad bagi hadis ini.

“Kesemua kitab yang Saudara Don berikan ini tidak menunjukkan hadis ini ada asalnya.

“Dengan kes penyebaran hadis tidak diketahui asal ini jelaslah bahawa saudara Don sememangnya tidak berhati-hati ketika menukil riwayat,” ujarnya.

Hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman ‘merehatkan’ terus Ustaz Don daripada program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau ketika dihubungi Kosmo! berkata, program berkenaan yang berbaki lagi empat episod itu tidak akan menampilkan pendakwah terbabit susulan kenyataan Ustaz Don di dalam program tersebut yang mendapat pertikaian dari orang ramai.

Dalam siaran langsung semalam, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal bin Don Biyajid, 40, menyatakan hadis memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah apabila program tersebut dihadiri oleh gurunya, Ustaz Kazim Elias sebagai tetamu jemputan.

Sebelum ini, Ustaz Don ‘direhatkan’ hampir seminggu selepas kontroversi dirinya menyebarkan hadis serta cerita berkenaan cinta pertama Nabi Muhammad S.A.W dengan Ummu Hani’ yang dianggap lemah dan tidak bersumber.

Kemudian, beliau kembali ligat mengemudi program itu setelah membuat kemunculan semula pada 12 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE.

0 ulasan:

Catat Ulasan