Jumaat, 21 Jun 2024

Jangan guna isu Palestin untuk ‘tunjuk pahlawan’, kata Anwar

 Tidak mengapa untuk berbeza pandangan, tetapi rakyat Malaysia harus bersatu memperjuangkan Palestin, kata PM.

PM Anwar Ibrahim bercakap dengan pemberita setelah menunaikan Solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli politik tidak patut menunggang isu penderitaan rakyat Palestin untuk menunjukkan diri hebat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tiada masalah untuk dirinya dikritik, tetapi janganlah isu Palestin ini dimainkan untuk ‘tunjuk (diri) lebih pahlawan’.

“Orang mati di Gaza. Kalau nak ‘score political point’, ini bukan tempatnya,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan yang ditujukan kepada kerajaan berikutan keputusan membenarkan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijual kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Menurut pengkritik, GIP dikatakan mempunyai hubungan dengan BlackRock, firma pelaburan Amerika Syarikat yang dituduh ‘mengaut keuntungan daripada genosid’ melalui kepentingannya dalam syarikat pertahanan yang didakwa mengeluarkan senjata digunakan oleh Israel.

Semalam, Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir mengkritik keputusan kerajaan dengan berkata, perdana menteri dan kerajaan bersubahat dalam genosid yang berlaku di Gaza, Palestin, jika perjanjian itu dimeterai.

GIP bagaimanapun menegaskan, BlackRock tidak terlibat dalam langkah untuk menswastakan MAHB.

Anwar berkata, tidak mengapa untuk mempunyai pandangan yang berbeza, dan saingan kerajaan boleh berdepan pada PRK Sungai Bakap yang akan berlangsung, tetapi rakyat Malaysia harus bersatu dalam memperjuangkan Palestin.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan