Sabtu, 15 Jun 2024

Rugi lebih RM700,000 buat 'tugasan' kerja sambilan

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

Johor Bahru: Seorang peniaga di sini, baru-baru ini, kerugian RM733,597 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada lelaki berusia 57 tahun itu pada semalam, yang menyatakan berkomunikasi dengan suspek pada April lalu.

Katanya, mangsa berkomunikasi menerusi Messenger yang mempromosikan kerja sambilan secara dalam talian.

"Seterusnya mangsa berkomunikasi melalui WhatsApp bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pekerjaan yang ditawarkan.

"Mangsa tertarik dengan keuntungan dijanjikan berdaftar di laman web yang diberikan bagi melaksanakan 'task' yang diberikan iaitu dengan membuat pembelian kosmetik dan sukan.

"Manga mengikuti arahan suspek dan melakukan 'task' yang dikehendaki serta membuat bayaran ke akaun bank sehingga berjumlah RM267,000," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kumar, mangsa memaklumkan, laman web yang dimuat turunnya memaparkan keuntungan RM70,000, dan dia berhasrat mengeluarkan wang keuntungan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, mangsa diarahkan membuat bayaran tambahan dan dia mengikuti arahan mangsa, sehingga menjadikan keseluruhan bayaran dibuat berjumlah RM733,597.

"Mangsa syak dirinya ditipu kerana walaupun sejumlah besar wang dibayar, mangsa tidak menerima sebarang pulangan sama ada wang pokok mahupun keuntungan yang dikatakan berjaya dijana," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan