Rabu, 5 Jun 2024

Penyokong Kedah berang waktu perlawanan bertembung dengan solat Maghrib

 Pemain Kedah menjalani latihan menjelang aksi Piala FA menentang BTFC.

Pemain Kedah menjalani latihan menjelang aksi Piala FA menentang BTFC.

ALOR SETAR: Penyokong bola sepak Kedah kurang senang di atas ketetapan waktu perlawanan Piala FA membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menentang kelab Bukit Tambun FC (BTFC) di Stadium Darul Aman, 14 Jun ini.

Ini berikutan waktu perlawanan tersebut yang akan bermula pada jam 6.30 petang dianggap kurang sesuai untuk disaksikan kerana bertindih dengan waktu solat Maghrib.

Terdahulu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan aksi pusingan 16 terbaik membabitkan kedua-dua pasukan itu bakal berlangsung pada jam 6.30 petang.

Menurut jurucakap Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK) Mohd Zahari Che Ros, isu waktu ini perlu ditangani oleh MFL dengan mengambil kira sensitiviti penyokong yang jelas kurang senang dengan jadual perlawanan tersebut.

"Kami memohon agar pihak MFL lebih peka dan sensitif dengan waktu perlawanan yang bertindih dengan waktu solat Maghrib yang akan menyebabkan surau di stadium menjadi sesak semasa dan sebaik tamat perlawanan itu nanti.

"Waktu sepak mula pada jam 5 petang atau 9 malam lebih sesuai kerana ia waktu kebiasaan setiap aksi perlawanan yang berlangsung selama ini.

"Selain itu waktu perlawanan 6.30 petang itu dianggap tidak sesuai kerana boleh mengundang kesan kurang sambutan buat penyokong yang mahu hadir menyaksikan aksi berkenaan.

"Tambahan pula pihak tuan rumah sudah pasti mahukan jumlah kehadiran penyokong yang besar pada aksi sulung Piala FA di laman sendiri," katanya.

Zahari bagaimanapun menegaskan MFL masih belum terlambat untuk mempertimbangkan penukaran masa yang lebih sesuai demi kebaikan dan keselesaan semua pihak.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan