Jumaat, 14 Jun 2024

Ustaz Don 'direhatkan terus' daripada program Salam Baitullah

 RTM terpaksa merehatkan terus Ustaz Don (kanan) selaku pengacara program Salam Baitullah berikutan tak ikut garis panduan ditetapkan.

RTM terpaksa merehatkan terus Ustaz Don (kanan) selaku pengacara program Salam Baitullah berikutan tak ikut garis panduan ditetapkan.

KUALA LUMPUR: Tindakan pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sekali lagi mencetuskan kontroversi dalam program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, semalam tidak lagi mampu menyelamatkannya.

Baru muncul semula selepas direhatkan, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman beri bayangan kekecewaan ekoran tindakan pendakwah popular itu.

"Bila bagi peluang, 'consult authority' dan ahli agama, 'remind' apa yang boleh cakap dan apa yang tak boleh, kenalah pandai 'anticipate response from viewers'.

"Wisdom kena ada, kawalan diri kena mantap. Don't play victim. So sorry have to rest you. Maaf semua, hang in there team," ciap Suhaimi di platform X, petang ini.


Ustaz Don tak belajar daripada kesilapan - Suhaimi

Suhaimi menyifatkan pendakwah berusia 40 tahun itu tidak belajar daripada kesilapan.

Katanya, dia sendiri menghubungi Ustaz Don untuk memaklumkan penamatan sebagai pengacara program Salam Baitullah.

"Saya sudah berpesan kepada Ustaz Don. Tugasnya sebagai pengacara sepatutnya bertanya kepada ahli panel mengenai pengalaman berkaitan haji dan sebagainya, banyak perkara boleh dikupas.

"Sebelum ini, Ustaz Don pernah timbulkan kontroversi kerana menggunakan hadis lemah, jadi saya nasihatnya elakkan. Sebab saya tahu musuh-musuh akan cari kelemahannya.

"Namun, Ustaz Don buat hal semula selepas dua hari kembali. Saya tak mahu dia bercakap perkara boleh mengundang kritikan.

"Saya juga tak mahu program Salam Baitullah jadi tempat golongan agamawan bertelagah," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Ustaz Don sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan hadis lemah dalam program Salam Baitullah, malam kelmarin.

"Memandang kepada wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 kuda ke jalan Allah," katanya.

Suhaimi berkata, dia sudah mengingatkan Ustaz Don agar menyerahkan ulasan menganalisa hadis kepada ahli panel diundang, tetapi nampaknya pendakwah itu tetap ingkar dengan peringatan.

"Memandangkan Ustaz Don berdegil, jadi itu sahaja tindakan yang boleh diambil. Saya tak suka orang lain berbalah disebabkan program Salam Baitullah.

"Dalam bidang penyiaran pengacara kena ada disiplin dan tak boleh cakap sesuka hati.

"Ketika saya hubungi Ustaz Don, dia akur mungkin sudah tahu saya marah. Saya akui Ustaz Don ada kekuatan, tapi disiplin kena jaga," katanya.

Suhaimi berkata, Ustaz Don juga tidak akan menghabiskan baki episod dalam program siaran langsung yang dijangka berakhir pada 17 Jun ini.

Mengulas adakah masih beri peluang kepada pendakwah popular itu untuk bekerjasama dengan RTM pada masa hadapan, Suhaimi enggan komen lanjut.

"Saya tak nak komen, kita tengok kepada kesesuaian," katanya lagi.

Sebelum ini, Suhaimi mengesahkan Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah minggu lalu, bagaimana kembali bersiaran pada Rabu lalu.

Ustaz Don dilapor direhatkan daripada mengendalikan program berkenaan susulan pertikaian netizen membabitkan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang diceritakan ketika bersiaran di konti stesen radio hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Sementara itu, tindakan RTM menamatkan perkhidmatan Ustaz Don daripada program Salam Baitullah mendapat reaksi berbeza daripada warga netizen.

Ada bersetuju tindakan dilakukan RTM kerana bimbang boleh menyesatkan penonton.

Namun, ada juga mempertikaikan tindakan RTM yang asyik mengubah pendirian.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan