Ahad, 23 Jun 2024

Daging korban boleh diberi kepada orang yang tidak memusuhi Islam - Mufti Perlis

 

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KANGAR - [DIKEMAS KINI] Majlis Fatwa Negeri Perlis memutuskan daging korban Aidiladha boleh diberikan kepada golongan bukan Islam yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap Islam.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, keputusan berkenaan adalah antara keputusan yang dicapai pada persidangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-68/2024 baru-baru ini.

"Daging korban boleh diberikan kepada golongan bukan Islam yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap Islam.

“Ia termasuk dalam muamalah baik yang dianjurkan terutamanya jika mereka dari dalam kalangan ahli keluarga, jiran dan golongan miskin,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada Jumaat.

Mohd Asri berkata, keputusan berkenaan juga mengambil kira keutamaan kepada kaum muslimin.

“Ini dengan mengambil kira keutamaan kepada kaum muslimin dan keputusan ini bakal diangkat kepada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis,” katanya.

Sebelum ini, infografik dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memetik sumber daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa Mazhab Syafie menyatakan tidak dibolehkan berbuat demikian kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Bagaimanapun seandainya dalam komuniti masyarakat di sesebuah tempat itu terdapat jiran bukan Islam dan mereka dikenali dengan sifat baik serta keramahannya terhadap masyarakat Islam maka dibolehkan untuk diberikan daging korban tadi kepada mereka seandainya terdapat lebihan.

-SH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan