Rabu, 2 Jun 2021

MUNGKINKAH MAK TEH EJEN MUSUH ?

Gambar hiasan

 Oleh: Prof Dr Omar Yaakob

Ada orang yang suka teori konspirasi.  Kata mereka  pandemik COVID-19 adalah  satu  konspirasi. Apa yang saya nukilkan  di bawah ini  boleh juga dikatakan  satu teori konspirasi,   satu kemungkinan.  

Adakah kemungkinan mereka yang berkempen anti-vaksin seperti Mak Teh dan rakan-rakannya itu sebenarnya ejen musuh2 negara atau sebenarnya  sedang membantu menjalankan agenda mereka memusnahkan negara ?

Dua hari lepas Malaysia mencatat 98 kes kematian COVID-19  manakala angka korban akibat wabak tersebut kini berjumlah 2,650 kes.

Pada hari yang sama,  United Kingdom yang   mempunyai hampir 4.5 juta kes positif  dan  hampir 128,000 kematian sebelum ini telah mencatat kejayaan dengan angka kematian SIFAR (0) pada 31 Mei 2021, setelah majoriti rakyatnya menerima vaksin.

Dalam masa yang sama, kita terkejut dengan berita menggusarkan bahawa lebih 10,000 individu  tidak hadir ke temujanji vaksin di  Kelantan, 10, 000 di Terengganu dan 10,000 lagi di Kedah . Saya pasti kebanyakan mereka terdiri daripada orang Melayu-Islam.

Baru-baru ini pula heboh  rakaman suara  hantu yang tidak berwajah  bernama  “Mak Teh” yang membawa berita bohong kononnya ramai orang  termasuk petugas barisan hadapan mati di Malaysia  selepas dicucuk vaksin tersebar luas.  Begitu juga rakaman suara seorang  lelaki  yang tidak dikenali  disebarkan mengatakan  Covid-19 sama macam flu biasa. Kononnya,  berita-berita   kematian pandemik Covid-19 ini tidak betul dan hanya  dibuat-buat untuk menakut-nakutkan kita. 

Walaupun cerita-cerita yang dibawa oleh Mak Teh dan jembalang tak bernama ini tidak masuk akal dan satu pembohongan yang jelas, ada juga  di kalangan rakyat  yang termakan.

Akibatnya  mungkin sebahagian  orang Melayu menjadi ragu-ragu bahkan tidak mahu  menghadiri temujanji penerimaan  vaksin.  Mungkin ada juga  yang  mengubah haluan pergi beratur di gerai-gerai air kelapa muda seperti disarankan oleh Mak Teh.

Ini  sesuatu yang aneh memandangkan  ramai warga Malaysia bukan Melayu berbondong-bondong  hadir ke temujanji vaksin, bahkan ramai  di kalangan mereka yang pergi  beratur standby di pusat pengedaran  vaksin, kalau-kalau ada kekosongan. Kekosongan ini  mungkin sebahagiannya  akibat  sebahagian orang Melayu yang termakan dakyah Mak Teh dan kawan2nya.

Cuba fikirkan   jika vaksin ini berbahaya  dan  menyebabkan kematian, kenapa orang bukan Melayu berebut-rebut  untuk mendapatkannya.  

Jika vaksin ini memudaaratkan kenapa rakyat  negara-negara maju seperti United Kingdom, Amerika dan negara-negara Eropoh berebut-rebut mendapatkannya?  Kini mereka hampir menjalani kehidupan biasa dengan PKP yang minimum.  Adakah mereka telah tertipu atau kita yang tertipu?

Lagi pelik ialah jika vaksin berbahaya, kenapa  Israel  (yang rakyatnya terkenal takut mati)  menjadi negara terkehadapan membuat sebaran vaksin dengan hampir 60% rakyatnya telah menerima dua dos  suntikan vaksin. Kini rakyat Israel (ketika tidak berperang)  telah hampir menjalani kehidupan seperti biasa tanpa perlu memperketatkan SOP.

Ini menimbulkan tandatanya.

Semasa Israel menyerang  Gaza, kita didedahkan terdapat talibarut Yahudi di kalangan penduduk Gaza memberikan rahsia strategi pejuang Palestin kepada musuh.  Kemudian kita mendengar hasrat Israel untuk menyerang negara-negara Islam yang menyokong perjuangan Palestin mempertahankan Masjid Al-Aqsa.  Seterusnya kita dikejutkan dengan kehadiran pesawat perisik tentera Israel berlegar di ruang udara Malaysia.

Maka adakah kemungkinan  “Mak Teh”  dan orang yang sewaktu dengannya itu sebenarnya ejen  yang dibayar oleh musuh yang baru-baru ini dilaporkan telah bertekad hendak menyerang Malaysia?  

Untuk membunuh rakyat  Muslim di Malaysia, mereka tidak perlu menghantar peluru berpandu  atau pesawat pejuang. Mereka hanya perlu mengupah  ejen seperti “Mak Teh” bagi menakut-nakutkan umat Melayu supaya jangan mengambil vaksin. Mereka boleh  menonjolkan   pihak lain yang mempersoalkan SOP, tidak perlu ikut peraturan  tentang jarak sosial dan pelitup muka kerana Covid-19 hanya flu biasa, untuk menakut-nakutkan kita. .

Semakin ramai orang Melayu-Islam takutkan vaksin serta  tidak mengendahkan SOP, semakin ramai yang akan gugur di katil-katil hospital. Ini pasti satu cara mudah  mempercepatkan kepupusan bangsa Melayu!

Satu lagi cara musuh-musuh melumpuhkan negara ialah dengan membuat serangan ke atas sistem ekonomi negara.  Ini juga diperolehi tanpa perlu menyerang bursa  Malaysia atau tapak-tapak ekonomi negara.  Mereka tidak perlu menghantar pesawat  tempur mengebom kilang dan perusahaan kita.

Mereka hanya perlu menghantar ejen bagi memastikan wabak ini  sentiasa berada di bumi Malaysia.  Dengan menakutkan rakyat dari vaksin,  ‘herd immunity”  lambat berlaku.   Semakin lambat rakyat divaksin, semakin lambat Malaysia boleh kembali  normal. Lockdown berterusan.  

Ini akan menyebabkan rakyat  Malaysia akan sentiasa terkurung dengan kuarantin, PKP dan lock down  akan berterusan sehingga beberapa tahun lagi.    Ini akan  menyebabkan dana negara menyusut,  ekonomi menjadi tenat, banyak syarikat ditutup dan seterusnya ramai rakyat hilang pekerjaan.

Sementara itu, negara-negara seperti Israel, United Kingdom, China dan negara-negara Eropah semakin mendekati kehidupan normal dan mereka semakin berupaya menjana  semula ekonomi  negara masing-masing.

Dengan program vaksin yang menyeluruh, United Kingdom yang   mempunyai lebih 4.5 juta kes positif  dan  hampir 128,000 kematian telah mencatat kejayaan dengan kematian sifar (0) pada 31 Mei 2021.

Kita bakal ketinggalan serba serbi.

Demikian serampang dua mata orang-orang seperti Mak Teh.  Semakin berjaya mereka, semakin ramai umat Melayu Islam menderita dan semakin musnah negara kita. Maka terlaksanalah agenda musuh memusnahkan negara kita . Nauzubillah.

Apa-apa pun ini hanya satu teori, mungkin betul mungkin tidak. Terpulang kepada kita untuk menimbangkannya, menerima atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama, perlu dingat jika ia bukan konspirasi pun, kesan buruk  kempen sebegini tetap bakal membawa kemusnahan kepada negara. 

Jika Mak Teh dan rakan-rakannya bukan ejen musuh sekalipun, dan memang mereka ikhlas dan betul bendul dengan apa yang mereka yakini , apa yang sedang mereka lakukan  adalah salah kerana menyebarkan berita palsu dan pembohongan.  

Bahkan  tanpa mereka sedari, sebenarnya  apa yang mereka lakukan memberi kesan yang sama seperti dikehendaki oleh musuh-musuh negara.  

Jangan kita termakan dengan hasutan mereka, jangan kita pula jadi ejen penyebar fitnah bohong mereka.

Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10224167784997585&id=1090143146

0 ulasan:

Catat Ulasan