Jumaat, 5 Julai 2024

'Tangis, tawa di banglo Kak Pah' - Catatan Wartawan

 Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Julai 4, 2024 @ 6:22pm

Warisan peninggalan Allahyarham Sharifah Aini hilang pada pandangan mata sebulan sebelum sedekad tarikh pemergiannya ke alam abadi.

Warisan peninggalan Allahyarham Sharifah Aini hilang pada pandangan mata sebulan sebelum sedekad tarikh pemergiannya ke alam abadi.

KUALA LUMPUR: Sebaik membaca kisah banglo indah di Lorong Utara, Petaling Jaya, Selangor milik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dirobohkan, hati saya terasa sebak dan hilang kata-kata.

Masih terbayang mahligai bak istana tersergam indah yang sentiasa terbuka pintu menerima kunjungan tetamu setiap masa.

Banglo mewah yang didiami selama 20 tahun itu menjalani fasa ubah suai 100 peratus pada pertengahan 2000 dan Allahyarham Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah mengambil masa hampir setahun untuk menyiapkan 'mahligai kayangan' mengikut cita rasanya.

Daripada konsep, mencari material hingga proses pengubahsuaian, semuanya ilham Kak Pah.

Namun, hari ini segalanya tinggal kenangan. Banglo dua tingkat itu hanya kelihatan timbunan runtuhan apabila diratakan pemilik baharu yang merancang membangunkan projek pembangunan komersial.

Sukar percaya, namun itulah hakikatnya. Warisan peninggalan Kak Pah hilang pada pandangan mata sebulan sebelum sedekad tarikh pemergiannya ke alam abadi.

Benarlah pepatah Melayu, 'rumahku syurgaku' dan hasil titik peluh selama 40 tahun bergelumang sebagai anak seni, Kak Pah mampu mewujudkan 'syurga idaman' buatnya dan keluarga ketika itu.

Mengajak keluarga dan teman baik ke rumah dengan menjamu tetamu bukan perkara luar biasa. Daripada menu makan malam, pencuci mulut hingga buah-buahan, semuanya serba lengkap dan penuh meja. Itulah sifatnya yang tak mampu dilupakan.

Bagi penulis, banglo dua tingkat yang memiliki 14 bilik itu bukan asing lagi. Sejak mula memegang pena dan membuat sorotan mengenai kisah suka duka Kak Pah pada pertengahan 1990-an, banglo itulah menjadi saksi pertemuan, suka duka dan tangis ketawa.

Banglo mewah berkonsep Mediterranean, Inggeris dan Perancis itu begitu bernilai buat penyanyi lagu Bunga Tanjung dan Seri Dewi Malam berkenaan.

BH pernah membuat sorotan eksklusif mengenai banglo yang menelan belanja RM10 juta itu. Puas memujuk, merayu dan akhirnya, lebih setahun menunggu Kak Pah akur dengan permintaan penulis untuk membuat sesi fotografi khas di kediaman baharunya pada 2008.

Jujurnya, penulis terkedu kali pertama menjejakkan kaki ke banglo yang tak ubah seperti 'mahligai kayangan' itu.

Kediaman dilengkapi ciri kawalan keselamatan serba canggih adalah ilham Kak Pah yang memang meminati dan mempunyai kepakaran dalam bidang hiasan dalaman. Cita rasa Kak Pah bertaraf 'hotel tujuh bintang'.

Bukan hanya memiliki dua ruang tamu dihiasi indah dengan pelbagai jenis sofa mewah dan klasik, malah kediaman itu turut dilengkapi surau yang boleh memuatkan 75 tetamu.

Surau di tingkat dua membuatkan kediamannya sentiasa ceria dan tidak sunyi menerima kunjungan keluarga dan rakan untuk majlis agama.

Banglo dua tingkat hanya kelihatan timbunan runtuhan apabila diratakan pemilik baharu yang merancang membangunkan projek pembangunan komersial. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Banglo dua tingkat hanya kelihatan timbunan runtuhan apabila diratakan pemilik baharu yang merancang membangunkan projek pembangunan komersial. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Menjadi kemestian buatnya, setiap malam Khamis, majlis Asma Al'husna diadakan di surau berkenaan.

Banglo itu juga dilengkapi bilik khas untuk pakaian, kasut, aksesori, spa, facial, salun dan dapur kecil bagi memudahkan urusannya setiap hari. Malah, setiap bilik mempunyai identiti dan konsep tersendiri.

Bilik bacaan di tingkat satu menjadi ruang melepak. Bilik itu penuh dengan ribuan kaset, cakera padat dan buku yang tersusun rapi. Ruangan itu juga menjadi tempatnya bekerja.

Mengenali Kak Pah, kebersihan menjadi keutamaannya, malah penulis terpaku melihat bilik air di biliknya dilengkapi 'bath tub' dan lampu `chandelier' umpama berada dalam bilik tidur.

Menjadi antara rakan yang bertuah, penulis masih tidak dapat melupakan kesempatan baring atas katil antiknya yang agak tinggi. Kami berbual hingga awal pagi hingga hampir terlena dibuatnya.

Meninjau bilik anak tunggalnya, Aliff Omar Ali, dalam hati terdetik, bertuahnya menjadi anak Biduanita Negara ini. Biliknya berkonsep moden, namun paling buat penulis terkejut, setiap baju tergantung dalam almari disusun mengikut warna. Semuanya diletakkan dalam plastik disebabkan Aliff masih menyambung pengajian di Madinah ketika itu.

Apapun, penulis masih terkenang bagaimana sukarnya Kak Pah mahu merealisasikan impian, membina syurga idamannya ini.

Bayangkan, daripada sekecil benda hinggalah material besar, semuanya Kak Pah pilih sendiri. Kak Pah pernah bercerita, dia sanggup menaiki teksi dengan memakai baju kelawar untuk menyembunyikan identitinya ketika membeli material yang sesuai untuk kediamannya itu.

Cepatnya masa berlalu, diam tak diam, esok genap 10 tahun pemilik suara buluh perindu itu kembali ke rahmatullah.

Tanggal 5 Julai 2014 pastinya tidak pernah luput daripada ingatan setiap tahun. Detik itulah industri seni berdepan dengan kehilangan sebutir permata yang disanjung tinggi.

Allahyarham Kak Pah menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun di sisi Aliff, ahli keluarga dan kenalan baik di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Pakar Damansara, pada pagi Sabtu, iaitu pada hari ketujuh Ramadan 1435 Hijrah.

Keadaan penyanyi malar zaman bersuara lunak merdu itu kritikal selepas berdepan tiga penyakit iaitu radang paru-paru, jangkitan kuman dalam paru-paru dan virus H1N1, sebelum koma selama lima hari dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.26 pagi.

Masih terngiang kelunakan dan kemanjaan suaranya membisik `I Love U' ketika pertemuan akhir, dua minggu sebelum Kak Pah menghembuskan nafas terakhir.

Terbayang wajahnya duduk atas kerusi roda dan bernafas menerusi bantuan oksigen. Wajahnya berbeza dan kelihatan agak 'sembab'. Kami menangis dan berpelukan lama! Dalam hati terdetik, Kak Pah tidak pernah sakit seteruk ini.

Sudah tentu sikap suka bergurau, celoteh, rajuk dan ketawa manjanya dirindui. Al-Fatihah untuk Biduanita Negara kesayangan ramai.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan