Rabu, 10 Julai 2024

6 MP Kekal:'Ini isyarat tak baik pelaksanaan tanggungjawab mereka yang memimpin badan legislatif'

 Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) menyatakan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) menyatakan sokongan kepada Anwar.

KUALA LUMPUR: Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU sebagai wakil rakyat itu ternyata menimbulkan banyak persoalan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Tafsiran itu juga dilihat bercanggah terutamanya berkaitan tafsiran Peruntukan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dengan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Perkara 49(A) menetapkan seseorang Ahli Dewan Rakyat berhenti menjadi Ahli Parlimen atas dua keadaan. Ia sama ada (a) selepas dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota parti politik, beliau melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik; atau (b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota sebuah parti politik (iaitu calon Bebas), menyertai parti politik sebagai ahli.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Muhammad Fathi Yusof, berkata peruntukan Perkara 49A itu mengandungi perkataan yang sama, namun tafsiran yang berbeza itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sama ada ia ditafsir berteraskan peruntukan undang-undang atau berdasarkan kecenderungan politik.

"Jadi ini satu isyarat tidak baik dalam konteks perlaksanaan tanggungjawab mereka yang memimpin badan legislatif.

"Dalam konteks lain, sekiranya kekaburan itu berlaku, menjadi peranan mahkamah Persekutuan membuat tafsiran yang muktamad berkaitan dengan maksud peraturan, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri.

"Dengan kata lain, perbezaan tafsiran ini perlu diselesaikan melalui keputusan yang dibuat oleh mahkamah Persekutuan," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan enam bekas ahli Parlimennya yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal sebagai wakil rakyat.

Muhyiddin berkata perkara itu dimaklumkan Johari menerusi surat bertarikh semalam.

Enam ahli Parlimen itu ialah Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, keputusan yang dibuat itu ternyata bercanggah dengan keputusan oleh Speaker DUN Kelantan yang mengesahkan kerusi DUN Nenggiri kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.

Berikutan keputusan Johari, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan melantik beberapa peguam untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi menyatakan tindakan BERSATU untuk membawa kes itu ke mahkamah ialah langkah yang tepat supaya parti itu mendapat satu jawapan yang tuntas berkait dengan maksud dan tujuan peruntukan berkenaan.

"Tidak ada masalah untuk BERSATU untuk bawa kes ini ke mahkamah walaupun terdapat pandangan yang mengatakan kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat ini tidak boleh dicabar kerana wujudnya imuniti atau kekebalan di bawah Perlembagaan.

"Tujuan kes ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan tafsiran Peruntukan Perkara 49A supaya wujud pandangan yang seragam dalam kalangan mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama isu bidang kuasa speaker dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan keputusan yang jelas dan tidak bercanggah.

"Jika kita merujuk pada kes mahkamah sebelum ini, tidak ada masalah bagi mahkamah untuk membuat tafsiran termasuk dalam isu berkaitan bidang kuasa speaker.

"Kalau kita dapat lihat, beberapa kes di Sabah yang membabitkan pergelutan politik di sana serta krisis politik di Perak pada tahun 2010.

"Dapat dilihat juga bagaimana kes Nordin Salleh melawan DUN Kelantan berkaitan dengan kesahihan undang-undang lompat parti pada tahun 90an.

"Jelas tidak ada halangan mahkamah untuk membicarakan kes yang berkaitan dengan Perlembagaan walaupun ia menyentuh kuasa Yang Dipertua Dewan," katanya.

-BH Online 

0 ulasan:

Catat Ulasan