Ahad, 28 Julai 2024

PAS bukan 'taiko', Gerakan tak teragak-agak keluar PN -Timb Presiden Gerakan

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 28, 2024 
Gerakan tidak akan teragak-agak untuk keluar dari PN jika tindakan itu bermakna mempertahankan pendidikan Cina, kata timbalan presiden parti Oh Tong Keong.

Dia berkata Gerakan juga tidak akan kekal dalam gabungan itu jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah yang melampau daripada "parti tertentu."

Oh menjawab amaran Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa PN mungkin menggugurkan Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini selepas PAS dan Gerakan mengambil pendirian bertentangan dalam isu syarikat minuman keras menyalurkan dana kepada sekolah vernakular.
“Gerakan mengesahkan sokongan padu terhadap usaha masyarakat Cina mengumpul dana untuk pendidikan Cina.

"Walaupun ugutan tidak munasabah daripada sekutu PN bahawa tidak akan ada lagi kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, kami bersedia untuk menghadapinya," kata Oh pada satu kenyataan hari ini.

Gerakan semalam menyokong pendirian DAP menyokong sekolah vernakular yang bekerjasama dengan kilang bir untuk menganjurkan acara mengumpul dana.

Gerakan berpendapat kutipan derma sebegini perlu dilakukan kerana sekolah Cina tidak diberikan dana yang mencukupi oleh kerajaan persekutuan untuk meneruskan operasi mereka.
Bagaimanapun, Fadhli berkata pandangan sedemikian mengecewakan dan menegaskan jika Gerakan mengekalkan pendapat sedemikian, PAS tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada pilihan raya umum ke-16.

Membalas amaran PAS itu, Oh menjelaskan Gerakan sebelum ini meninggalkan BN pada 2018 untuk menentang rakan pakatan yang korup.

Begitu juga, katanya, jika rakan pakatan dalam PN terus mempamerkan ekstremisme agama dan mencabul hak orang bukan Islam, Gerakan tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan gabungan politik sekali lagi.

“Walaupun PAS mempunyai kerusi parlimen dan DUN terbanyak dan merupakan parti terbesar dalam PN, PAS mesti menghormati parti-parti lain dalam gabungan itu.
Presiden Gerakan Dominic Lau bersama pimpinan tertinggi PN.
"Mereka tidak sepatutnya bertindak seperti taiko (abang besar) dan menuntut pematuhan daripada semua pihak lain. Mereka mesti belajar untuk meyakinkan orang lain melalui pertimbangan hujah," kata Oh.

Oh juga menegaskan Gerakan menjunjung prinsip perjuangan politik bukan perkauman dan mempertahankan hak semua kumpulan etnik seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tidak ada salahnya kaum Cina dan India Malaysia mempertahankan dan mengekalkan pendidikan bahasa ibunda. Ia bukan sahaja tidak dihalang tetapi juga digalakkan dan disokong.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kampar Chong Zhemin pada kenyataan berasingan hari ini mencabar Presiden Gerakan Dominic Lau supaya berhenti menafikan tidak ada masalah berlaku dan mengelak ancaman yang dibuat oleh Fadhli.

Sebaliknya, dia menggesa Lau tegas mempertahankan sisa-sisa maruah terakhir Gerakan dengan meninggalkan PN dan memutuskan hubungan bersama PAS.

Gerakan rakan gabungan PN tanpa kerusi parlimen dan cuma memiliki satu kerusi DUN di Kedah yang dikuasai PAS, dimenanginya semasa pilihan raya negeri tahun lepas.

-Wak Labu Farm 

0 ulasan:

Catat Ulasan