Selasa, 16 Julai 2024

Reezal Merican tersinggung video promosi George Town Festival

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 16, 2024 
Walaupun penganjur Festival George Town 2024 telah menurunkan video promosi mereka dan memohon maaf namun Reezal Merican,Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno masih tidak berpuas hati.

Tegasnya, video itu seolah-olah mahu menafikan sumbangan orang-orang Melayu kepada warisan dan sejarah Pulau Pinang

"Video itu telah menyinggung perasaan dan membangkitkan rasa tidak senang orang-orang Melayu, kaum terawal yang mendiami Pulau Pinang.

"Adalah tidak wajar pihak-pihak yang terlibat langsung dengan penganjuran GTF 2024, iaitu Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang terlepas pandang perkara sedemikian.
"Sebagai orang yang pernah berada dalam barisan anggota pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan, suka saya mengingatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sebagai penjaga (custodian) seni dan budaya semua kaum di negara ini, supaya berperanan lebih proaktif dalam memberikan input dan panduan kepada penganjur GTF2024," kata bekas menteri belia dan sukan pada hantaran di media sosial.

Reezal juga menggesa Kerajaan Pulau Pinang dan penganjur George Town Festival 2024 yang dilantik supaya lebih peka dan sensitif dengan kepelbagaian seni dan budaya kaum-kaum yang ada di Pulau Pinang.

"Khilaf sudah berlaku dan sukar dilupakan walaupun video sudah diturunkan. Harap tidak berlaku lagi di masa depan," katanya lagi.

Semalam, PAS Pulau Pinang menyatakan kekesalan yang teramat sangat atas pengeluaran video promosi Festival George Town 2024 selama 10 hari yang akan bermula Jumaat ini.
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan malah mencadangkan nama George Town ditukar kepada nama asalnya Tanjung Penaga bagi mencerminkan "identiti" kebangsaan.

Terdahulu, bekas presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan bekas pengerusi TV3 Abdul Rahman Maidin (gambar bawah) membantah video promosi itu, menyifatkannya tidak menjaga sensitiviti masyarakat Melayu.

“Video itu tidak langsung (menjaga) sensitif kepada wujudnya kaum Melayu di Pulau Pinang ini.

“Kalau tengok video itu, tiada satu pun (unsur) yang berkait dengan Melayu.
“Seolah-olah Melayu tiada di Pulau Pinang ini,” katanya yang juga pengerusi Institut Kesedaran Rakyat (IKR).

Penganjur telah memohon maaf dan memadamkan video itu selain menegaskan mereka cuba melibatkan semua pihak dan masyarakat berbilang bangsa.

-Wak Labu Farm 

0 ulasan:

Catat Ulasan