Selasa, 9 Julai 2024

Copa America 2024: Argentina, Uruguay pilihan ke final

 MESSI tekad terus cipta sejarah bersama Argentina.

MESSI tekad terus cipta sejarah bersama Argentina.

Miami: Copa America memasuki saingan peringkat empat terakhir dan pasukan pilihan Argentina berharap dapat meraih gelaran ketiga kejohanan utama berturut-turut.

Juara dunia Argentina yang juga juara bertahan Copa membuka aksi separuh akhir dengan menentang Kanada di New Jersey pada Rabu ini.

Keesokannya di Charlotte menyaksikan Uruguay yang menyingkirkan Brazil menerusi penentuan penalti akan berdepan Colombia yang tidak tewas 27 perlawanan termasuk ketika membelasah Panama 5-0 di suku akhir.

Argentina dan Uruguay yang berkongsi 15 gelaran Copa America berharap dapat mengatasi catatan itu sekali gus muncul negara paling berjaya dalam sejarah kejohanan.

Colombia hanya meraih satu gelaran pada 2001 manakala Canada beraksi di kejohanan itu buat kali pertama.

Argentina memerlukan aksi hebat penjaga gol Emiliano Martinez ketika menewaskan Ecuador menerusi penentuan penalti di suku akhir dan skuad Lionel Scaloni muncul pasukan pilihan ketika menentang Canada.

Jurulatih Amerika Syarikat (AS), Jesse Marsch pula mencipta impak segera bersama Kanada selepas mengambil alih tugas pada pertengahan Mei dan pantas menerapkan corak serangan berintensiti tinggi untuk menekan lawan.

Hasilnya Kanada menang penentuan penalti ke atas Venezuela yang sebelum itu menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, mereka tahu Lionel Messi dan Argentina bukan sebarangan dan tampil berbeza berbanding Venezuela.

Kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pertama peringkat kumpulan menyaksikan Argentina menang 2-0 tetapi ia tidak menjejaskan keyakinan dalam skuad Marsch.

"Kami akan melakukan apa sahaja," kata pemain sayap Bayern Munich Alphonso Davies.

"Beraksi di perlawanan ini, kami tahu apa perlu diharungi. Menang kami ke depan tapi jika kalah, kami pulang. Kami kini lebih 'lapar' daripada sebelum ini dan kami jangka pertarungan sengit dengan Argentina," katanya.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan