Jumaat, 26 Julai 2024

Diari Kembara:Berbasikal sejauh lebih 11000 km dari Eropah ke Malaysia


 Ini dia basikal pertama aku, basikal second hand yang aku beli di Koln, Jerman daripada orang Malaysia yang menetap dan berkahwin dengan orang Jerman. Pertama kali dalam hidup aku beli basikal, terus aku kayuh basikal ni dari Eropah balik ke Malaysia sejauh lebih kurang 11,000 - 12,000 kilometer selama 10 bulan.

Enam tahun yang lalu, pada tarikh hari ini 25 Julai 2018, aku beli basikal ni daripada Abang Man Mogort yang menetap di Koln, Jerman. Dia telah menetap di Jerman, dan mempunyai 2 orang anak hasil daripada perkahwinan dengan wanita Jerman.

Comel-comel anak Abang Man, masih kecil lagi. Muka Jerman kacuk Melayu, rambut perang asli. Kelakar pula rasa bila bercakap Bahasa Melayu dengan anak-anak Abang Man, tapi mereka faham. Isteri Abang Man pun boleh tahan fasih cakap Bahasa Melayu.

Isteri Abang Man ni antara ‘minah saleh’ yang aku kenal mengamalkan Islam dengan baik. Bertudung, solat, dan juga aktif berdakwah di Jerman. Dia bahasakan diri dia ‘akak’.

Macam mana aku boleh kenal Abang Man Mogort ni? Aku kenal dia daripada Iggy. Siapa pulak Iggy ni? Iggy ni lah partner aku berkayuh dari Europe balik Malaysia tu. Sorang lagi partner bernama Azmeer. Kami bertiga.

Aku, Iggy dan Azmeer ni pada asalnya tak kenal satu sama lain pun. Tak pernah kenal dan tak pernah jumpa di Malaysia. Kami hanya kenal di Facebook. Aku pun tak pasti macam mana aku boleh kenal dengan Iggy ni di Facebook. Tapi ada satu masa tu sewaktu aku baru nak berjinak-jinak dalam dunia pengembaraan ni, memang aku ‘add friend’ je sesiapa yang suka mengembara atau pengembara dari Malaysia sebab aku nak tambah kenalan atau masuk ‘circle’ pengembara-pengembara ni. Mungkin waktu tu aku rasa tertarik dengan cerita kembara Iggy di Russia dan negara-negara Baltik kalau tak silap aku, sebab tu aku add friend.

Sewaktu aku duduk di United Kingdom pada musim sejuk dan ‘backpacking’ di negara-negara Eropah Barat semasa musim panas, aku kerap juga nampak update Iggy ni sedang mengembara dengan basikal. Dia bersama Azmeer telah memulakan kayuhan dari London dan sedang menuju ke arah Timur.

Iggy dan Azmeer ni pun sebenarnya tak kenal satu sama lain. Mereka bertemu secara kebetulan di London pun atas dasar kawan kepada kawan. Pada asalnya, Azmeer ada idea nak mengembara dengan basikal tapi geng-geng dia semua tarik diri. Tinggal dia sorang-sorang. Masa terjumpa Iggy di London tu, Azmeer berkongsi idea untuk mengembara dengan basikal kepada Iggy. Tanpa diduga, Iggy pun berminat dan terus ‘on’ tanpa ragu-ragu. Terus mereka membuat persiapan dengan membeli basikal second hand di London dan memulakan perjalanan dari London menuju ke arah Timur.

Pada masa yang sama, aku pula sedang ‘backpacking’ di Eropah Barat, tetapi merasakan seperti poket sedang bocor. Duit banyak mengalir keluar. Lebih-lebih lagi bila mengembara semasa musim panas atau dipanggil ‘peak season’, kos menjadi lebih tinggi. Harga-harga penginapan pun akan naik dan menjadi rebutan bila musim panas disebabkan ramai orang sedang mengembara dan bercuti ketika musim panas. Tambahan pula, negara-negara Eropah Barat ni lebih mahal berbanding negara-negara di Eropah Timur atau Asia.

Sewaktu di Paris, aku mula rasa gelisah melihat duit dalam akaun bank surut dengan laju. Rasa cemas sebab aku dapat rasakan misi aku akan gagal di pertengahan jalan kerana kehabisan wang. Aku memang berniat ingin mengembara dari UK balik ke Malaysia dengan menggunakan jalan darat. Tak kira dengan apa cara pun, aku meletakkan syarat yang aku tidak akan sekali-kali ambil kapal terbang. ‘Overland’ atau menggunakan jalan darat 100% (termasuk lah menggunakan bot, feri, kapal laut).

Dalam keresahan mencari alternatif untuk memastikan misi aku ni berjaya, tiba-tiba aku teringat dekat Iggy. Terus aku PM Iggy di FB Messenger.

“Salam bro. Plan cycling sampai Malaysia ke?”

“Waalaikumussalam. Tengok rezeki dan keadaan dulu bro. Jauh lagi. Sekarang dekat Zagreb”, Iggy membalas.

“Ohh. Berapa lama lagi plan ni? Haritu beli basikal kat mana? Ingat nak cari satu. Takde freedom nak bergerak kalau hitchhiking and public transport memanjang. Duit pun cepat habis. Haha. Baik aku beli basikal satu”, aku membalas semula.

Kemudian kami pun berbalas-balas mesej dengan tujuan utama aku adalah untuk mendapatkan info di mana aku boleh beli basikal di Eropah ini dan info mengembara dengan basikal. Maklum lah, ini kali pertama aku nak cuba berbasikal dan aku tak tahu menahu tentang basikal pun. Nak repair tayar basikal bocor pun aku tak tahu sebab aku tak pernah ada basikal (dulu waktu kecik-kecik ada lah basikal, tapi tu lain). 

Mengembara dengan basikal ni sebenarnya ada dalam pengetahuan aku juga, cuma aku belum ada pengalaman melakukannya, sebabnya aku pernah menjadikan rumah aku di Batu Pahat, Johor sebagai tempat persinggahan pengembara-pengembara luar, majoritinya datang dari Eropah. Aku pernah berjumpa dengan ramai ‘mat dan minah saleh’ yang pernah mengembara dengan basikal dalam jarak yang sangat jauh beribu-ribu kilometer dan makan tahun. Jadi, cerita mengembara dengan basikal memang tak asing bagi aku.

Dalam plan kembara aku dari UK sampai ke Malaysia ni dengan jalan darat, aku pun ada niat juga nak menggunakan basikal. Pada asalnya, aku nak beli basikal apabila aku sudah berada di kawasan Asia, tak tahu pula aku terdesak dan secepat ini aku ingin mencari basikal.

Setelah beberapa ketika berhubung dengan Iggy melalui FB Messenger, dia memberitahu aku bahawa ada seorang kawan dia di Koln, Jerman ni memiliki sebuah basikal touring yang dah siap, dan dia sudi nak jual kat aku dengan harga 250 Euro (RM1,200 ketika itu). Kawan dia ni orang Malaysia, Abang Man Mogort namanya. Tanpa berlengah, aku terus mencari tiket bas dari Paris, terus ke Koln untuk bertemu dengan Abang Man Mogort.

Aku tinggal di Koln selama seminggu di rumah Abang Man sementara kami menunggu aksesori-aksesori basikal aku yang dibeli di ebay untuk sampai. Disebabkan aku memang tak tahu menahu langsung tentang basikal, jadi semuanya diuruskan oleh Abang Man dari setting basikal, sehinggalah setting aksesori. Aku tinggal ‘ride’ je dan keluar lagi tambahan duit sebanyak 250 Euro untuk semua aksesori sehingga siap. Jumlah keseluruhan untuk basikal dan aksesori, lebih kurang 500 Euro (RM2,400 pada ketika itu).

Aku cuma tahu basikal ni adalah basikal hybrid, city bike yang telah diubah suai menjadi touring bike menggunakan frame jenama Felt keluaran Jerman. Group set menggunakan Shimano Alivio 3 x 9 speed. Sistem brek V-brake. Tayar size 28 inchi. Lain-lain aku tak tahu, kalau ditanya gigi gear berapa pun aku tak tahu nak jawab sebab aku tak ada ilmu sangat tentang basikal.

Aksesori paling mahal yang ada pada basikal ni pun cuma saddle (tempat duduk) jenama Brooks second hand dan panniers (beg) 4 buah jenama Ortlieb Classic second hand. Pada waktu tu, aku tak tahu pun yang Brooks dan Ortlieb ni adalah jenama terpaling unggul dalam dunia touring basikal.

Frame basikal ni pun sebenarnya agak besar berbanding saiz badan aku sebab basikal ni dibuat ikut saiz badan orang Eropah, tapi bagi aku waktu tu, lantak lah. Janji boleh bergerak. Tak kisah sakit-sakit badan sebab bike fitting tak betul.

Sewaktu bersembang dengan Iggy di FB Messenger, aku ada juga cakap dengan dia yang aku akan cuba kejar mereka slow-slow, yang pada ketika itu mereka sudah berada di Croatia. Iggy mencadangkan aku untuk mengambil bas bernama FlixBus dari Koln, Jerman ke Split, Crotia dan kami bertiga akan bertemu di Split nanti. Ini kali pertama aku tahu bahawa bas-bas di Eropah ada kemudahan untuk membawa basikal, dengan sedikit bayaran tambahan. Ada rack carrier pada belakang bas yang boleh mengikat basikal. Sepanjang perjalanan dari Koln, Jerman, transit dan tukar bas di Prague, Czech Republic, dan setibanya di Split, Croatia, aku sentiasa risau je, takut-takut basikal tu tiba-tiba terjatuh atas jalan.

Alhamduliullah, basikal selamat.

Sebenarnya sewaktu di Koln tu pun, basikal aku nyaris-nyaris tak selamat juga. Sewaktu menginap di rumah Abang Man, kami selalu juga keluar ke pusat bandar untuk mencari aksesori basikal dan berjumpa dengan kawan-kawan dari Malaysia. Untuk bergerak di dalam bandar Koln ni, mudah bergerak dengan menggunakan Metro / Train. Dari rumah Abang Man untuk ke stesyen Metro terdekat, kami menggunakan basikal dan basikal kami tinggalkan di stesyen Metro.

Hari tersebut kami keluar pagi, dan pulang agak lewat malam. Jadi kami tinggal dan kunci basikal kami di stesyen tersebut dari pagi hingga ke lewat malam. Ada parking basikal disediakan di dalam stesyen Metro tersebut. 

Sewaktu kami tiba di stesyen Metro tersebut untuk pulang ke rumah Abang Man, kami perasan ada sekumpulan budak-budak dalam 5,6 orang juga sedang mengelilingi basikal kami. Salah seorang daripada budak-budak tersebut merehatkan tangannya di atas saddle (tempat duduk) basikal aku.

Bila mereka nampak kami datang ke arah basikal tersebut, mereka terus bergegas pergi dan hilang dari pandangan. Tak ada basikal lain di situ, basikal kami berdua je. Mula-mula aku tak rasa curiga pun dengan budak-budak tu, tetapi sewaktu aku membuka kunci basikal aku, aku perasan terdapat kesan-kesan torehan dan potongan pada kabel kunci basikal tersebut. Berani betul budak-budak ni nak curi basikal kami.

Nasib baik kabel kunci basikal tersebut tebal dan keras, susah nak dipotong. Kalau tak, lesap dah basikal aku, gagal lah rancangan aku untuk berbasikal.

Alhamdulillah basikal selamat.

Setelah 39 jam perjalanan dari Koln dengan bas, aku pun tiba di terminal bas di Split, Croatia. Sesampainya di Split, aku terus menghubungi Iggy untuk bertanyakan di mana lokasi untuk bertemu. Iggy share location kepada aku tempat mereka menunggu, dan aku perlu berkayuh dari terminal bas ke lokasi tersebut yang jaraknya 7 kilometer dari terminal bas.

7 kilometer tersebut adalah kayuhan pertama aku tanpa sebarang pengalaman dan kayuhan yang paling seram pernah aku rasakan. Sudahlah pertama kali berkayuh, di tempat orang pula tu, di tengah-tengah bandar yang sibuk. Walaupun cuma 7 kilometer, entah berapa kali aku salah jalan, aku sesat, aku bingung, aku blur. Ada mendaki bukit pulak tu. First time yang menakutkan untuk aku sebelum aku bertemu Iggy dan Azmeer selepas itu.

Dari 7 kilometer yang menakutkan, sekarang aku telah berkayuh beribu-ribu kilometer dengan lebih berani. Dengan basikal ini sahaja aku telah berkayuh lebih kurang 14,000 kilometer. Tahun ini adalah tahun keenam aku terjebak dalam dunia mengembara berbasikal atau dipanggil ‘bike touring’ dan aku telah mengembara di 20 buah negara dengan basikal. Basikal pun dah ada 4 buah sekarang. Itu sahajalah harta yang paling berharga yang aku ada sekarang ni, basikal dan pengalaman.

Untuk mengambil langkah pertama itu bukan mudah. Aku bukanlah ada keberanian sangat untuk memulakan, tetapi disebabkan aku terdesak dengan duit yang mengalir keluar sangat laju, aku jadi terdesak untuk membuat keputusan menukar cara aku mengembara. Rezeki juga ada kenalan yang memudahkan aku untuk memulakan pengembaraan berbasikal ini. Abang Man Mogort, Iggy, Azmeer dan rakan-rakan lain. 

Alhamdulillah dipermudahkan langkah pertama aku. Kemudian, the rest are history. 

Banyak kisahnya sepanjang perjalanan 6 tahun ini yang dapat memberikan pengalaman, pengajaran, membuka mata aku dan menjadikan siapa diri aku sekarang. Kalau aku ada masa dan datang mood menulis, insyaallah aku akan kongsikan lagi. Huhu.

Sumber : Fb Amir Arsad

0 ulasan:

Catat Ulasan