Rabu, 10 Julai 2024

PAS Kedah pertahan dasar tutup premis judi.

 

Sebahagian rakyat menyokong pengharaman judi. - Foto hiasan BH

ALOR SETAR: PAS Kedah mempertahan tindakan kerajaan negeri menutup sepenuhnya semua premis dan kedai perjudian mulai 1 Januari 2023 lalu.

Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya, berkata langkah penutupan itu dibuat mengikut bidang kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah.

Berikutan itu, jelasnya, PAS kesal dengan tindakan syarikat perjudian melakukan semakan kehakiman bagi menghalang penutupan kerana hanya memikirkan keuntungan dan mengetepikan kesan ketagihan judi.

"PAS Kedah mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan premis dan kedai perjudian di Kedah bermula 1 Januari 2023 yang lalu.

"Alasan yang dikemuka syarikat judi itu bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbang kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar.

"Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot oleh operator premis judi berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dasar 'Kedah Bebas Judi' yang dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ialah tindakan yang tepat.

Katanya, PAS Kedah turut menyokong langkah kerajaan negeri untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahan penutupan kedai judi.

"Perkara ini sememangnya berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri Kedah melalui PBT. Garis pemisah perundangan kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan dalam hal ini juga jelas.

"Perkara yang menjadi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya wajar sentiasa menjadi keutamaan bagi sesebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Berikutan itu, kerajaan negeri difahamkan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Muhammad Sanusi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023, apabila kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian selepas tarikh itu. (BH)

0 ulasan:

Catat Ulasan