Rabu, 24 Julai 2024

Isu PN mahu guling kerajaan Pahang sengaja dicetus, kata pemimpin

Bersatu Pahang berkata tiada perbincangan dibuat antara pemimpin PN dengan anak bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembentukan kerajaan baharu.


 Pemimpin PN Pahang Mohd Yazid Mohd Yunus dan Andansura Rabu tidak mengetahui ada pertemuan wakil gabungan itu dengan Adun Peramu Nizar Najib.

PETALING JAYA
Isu pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Adun Peramu Nizar Najib untuk menggulingkan kerajaan Pahang sengaja dicetuskan pihak tertentu bagi menjejaskan reputasi gabungan itu menjelang PRK Nenggiri bulan depan.

Timbalan ketua Bersatu Pahang yang juga Adun Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus, berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung khabar angin konon pertemuan itu diadakan.

Katanya, tiada perbincangan rasmi dibuat antara pemimpin PN Pahang dengan anak bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Saya tidak pasti pula (bagaimana cerita itu boleh timbul). Cerita sebegini tiba-tiba timbul mungkin PRK Nenggiri sudah dekat,

 katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada FMT.

Semalam, Nizar menafikan beliau berjumpa pemimpin pembangkang untuk menggulingkan pentadbiran Wan Rosdy.

Katanya, mustahil untuknya berkomplot mengkhianati Umno yang diperjuangkan keluarganya bersama ahli parti sejak ia ditubuhkan pada 1946.

Terdahulu tular satu hantaran di media sosial yang mengatakan kerajaan Pahang sedang goyah dan akan membentuk pentadbiran baharu.

Hantaran itu mengaitkan ‘anak Bossku’ yang dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PN.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, juga memaklumkan isu tersebut tiada dalam pengetahuannya.

Saya tidak ada maklumat tentang ini (perbincangan gulingkan kerajaan Pahang), jadi saya tidak mahu mengulas lanjut,

 kata Adun Beserah.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan