Sabtu, 13 Julai 2024

GEORGE ANG...Dari Budak Rider Pizza Hut Ke 'Raja Franchise'

 GEORGE ANG...Dari Budak Rider Pizza Hut Ke 'Raja Franchise'

Di Malaysia, dialah CEO A&W, CEO Subway, CEO kopi Jamaican Blue etc.

Di bawah syarikat Inter Mark miliknya, banyak jenama makanan terkenal dunia yang dijual di Malaysia telah dibelinya.

Itulah dia George Ang bekas pelajar Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka.

Menariknya, sewaktu remaja, Ang pernah bekerja sebagai penghantar atau rider dengan Pizza Hut. Masa tu dia baru dapat lesen motorsikal.

Gajinya ketika itu RM2 satu jam, lepaslah untuk dia hidup sebagai student di Sunway College.

"Masa ribut atau hujan lebat, ramai rider taknak buat penghantaran atau berhenti berteduh bawah jambatan, tetapi saya nampak ini adalah peluang.

"Masa nilah saya ambil kesempatan untuk redah hujan hantar pesanan, bila mereka tengok saya basah kuyup, pelanggan selalunya jatuh kesian dan bagi tips lebih kat saya,' kata George. 

Bila dapat sambung belajar di Australia, dia lagi pening kerana yuran dan kos pengajiannya tinggi menggila.

Namun dia berpegang pada kata-kata Cikgu Manaf (guru Matematik kesayangannya) - "Hidup ini lebih menarik dari Matematik!"

George nekad bekerja kuat termasuk membasuh pinggan di restoran-restoran bagi mencari duit sampingan serta pada masa yang sama menghabiskan pengajiannya itu.

Bila tamat dan pulang ke tanah air, dia bekerja dengan sebuah syarikat kewangan. Namun dia tetap menanam cita-cita nak jadi ahli perniagaan kerana bosan bekerja di bawah orang, dia nak jadi taukeh!

Pada tahun 1998, ketika masih bekerja 'makan gaji' dengan syarikat itu, George dan seorang lagi rakannya membuka sebuah restoran ‘fish n chip’ The Fish Shop (franchise dari New Zeland) dengan modal pusingan sebanyak RM60,000. 

George menceritakan bukan mudah untuk dia menyakinkan pihak bank ketika itu agar memberi pinjaman wang kepada mereka kerana masih muda dan tidak berpengalaman.

Sampai satu tahap dia terpaksa memakai kacamata dan menyikat rambutnya dengan cara tersendiri supaya kelihatan 'lebih matang' dari usianya sewaktu berhadapan dengan pihak bank. 

Perniagaan mereka berjalan baik sehinggalah dua tahun kemudian syarikat franchaisor mereka di New Zealand menghadapi masalah.

”Kami kemudian ambil keputusan buka sebuah restoran yang mengambil konsep yang sama seperti The Fish Shop tetapi dengan branding kami sendiri. Kami pilih nama Manhattan Fish Market untuk menarik perhatian orang. 

"Ini kerana orang ingat ia sebuah restoran dari Amerika Syarikat dan mereka nak cuba rasa.  Akhirnya bila sedap dan puas hati, mereka terus datang lagi.

"Ternyata strategi kami berjaya walaupun restoran ini tak pernah wujud di Amerika pun,” katanya.

Tak cukup dengan itu, beberapa tahun kemudian, George berjaya pula memiliki pula francais untuk buka restoran steak terkenal Tony Roma’s, Popeye’s, Subway dan beberapa jenama besar lagi kat Malaysia. 

Sampai ada yang gelar George sebagai 'Franchaise Kingpin!'

Dan terbaru, George telah mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan yang beliau telah mengambil alih perniagaan makanan segera terkenal A&W Malaysia daripada KUB Malaysia Bhd dengan harga lebih RM34 juta.

"Masa saya beli A&W dari KUB dulu, keadaannya agak teruk tetapi saya nekad untuk mengembalikan kegemilangannya.

"Antaranya saya kembalikan semula trademark gelas atau mug  kaca yang sinonim dengan air root beer, sebelum ini mereka guna cawan plastik.

''Kami juga ganti nama hidangan 'corney dog' kepada 'corney beef' untuk mematuhi garis panduan JAKIM.

"Kami juga dah mula tawarkan air milo dan ribena, jadi ibu bapa ada lebih pilihan kalau nak bagi anak-anak mereka minum selain root bir,' katanya.

Terbaru syarikat Pan Malaysia dikatakan membeli 49 peratus saham dalam A&W Malaysia dari George dengan nilai hampir RM70 juta!

Banyak yang kita boleh belajar daripada kesungguhan budak rider pizza ini sebenarnya.

Bagi George setiap kesukaran pasti ada hikmah tersendiri seperti mana masa dia basah kuyup waktu hantar pizza masa hujan ketika zaman remajanya. 

Kata George: "I saw the opportunity created by rainy days.” 

Mendalam maksudnya, kan? - SAK

0 ulasan:

Catat Ulasan