Sabtu, 17 Ogos 2024

PN kalah di Nenggiri, prestasi terburuk dalam PRK

 malaysiakini.com

Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Aug 17, 2024 10:08 PM
Kekalahan PN di Nenggiri merupakan prestasi terburuk gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, walaupun tewas dalam PRK seperti di Pulai dan Simpang Jeram, PN berjaya meningkatkan atau mengekalkan peratusan undi mereka.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku di Nenggiri.

Berdasarkan keputusan rasmi, peratusan undi PN di kerusi tersebut merosot daripada 53.3 peratus tahun lalu kepada 38.7 peratus.

Jumlah undi yang diterima juga menurun daripada 6,517 undi kepada 5,739 undi.

Pengarah operasi pilihan raya PN untuk Nenggiri, Annuar Musa, mendakwa lebih daripada 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi kerana BN telah 'membeli undi'.

Namun, dia tidak menjelaskan kaitan antara kedua-dua dakwaan tersebut.

Peningkatan kehadiran pengundi dan keputusan di pusat daerah mengundi (PDM) juga menunjukkan terdapat peralihan undi kepada BN.

Berbanding pilihan raya negeri tahun lalu, PRK kali ini hanya terdapat penambahan 40 pengundi berdaftar.

Namun, kadar keluar mengundi kali ini jauh lebih tinggi iaitu 73.9 peratus berbanding 61 peratus tahun lalu.

Peratusan undi BN juga meningkat kepada 61.3 peratus berbanding 46.7 peratus, manakala jumlah undi yang diterima juga meningkat 3,384 undi kepada 9,091 undi.

Ini dapat dilihat berdasarkan keputusan di PDM, di mana BN menang 17 daripada 20 PDM, berbanding hanya tujuh PDM tahun lalu.

Meskipun tewas di PDM Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh, BN berjaya mengurangkan majoriti PN daripada tiga angka di setiap PDM kepada dua angka.

Kemenangan BN di Nenggiri adalah kali pertama sejak PRU15 selepas kerusi itu bertukar tangan.

Apa sebenarnya yang mendorong peralihan sokongan kepada BN masih belum jelas buat masa ini.

Namun, antara perkembangan penting semasa tempoh berkempen adalah pengumuman Kementerian Kewangan bahawa Nenggiri bakal menerima mesin ATM.

Pada masa ini, penduduk di Nenggiri terpaksa berjalan sejauh 50km ke bandar Gua Musang untuk mengeluarkan wang daripada ATM.

Sementara itu, kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan skim kenaikan gaji untuk penjawat awam.

Ini juga merupakan PRK pertama di mana DAP - musuh lama Umno yang kini menjadi sekutu - tidak terlibat dalam kempen.

-Wak Labu Farm 

0 ulasan:

Catat Ulasan