Jumaat, 2 Ogos 2024

Kalau GERAKAN nak keluar PN, silakan - Sanusi

 bharian.com.my

Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
 - Ogos 1, 2024 @ 8:43pm
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BH

ALOR SETAR: GERAKAN tidak perlu mengugut untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mereka boleh meninggalkan gabungan itu jika sudah tiada lagi persefahaman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau bukan angkuh tapi hanya mengulas kenyataan dikeluarkan Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong.

Katanya, PAS bersedia berbincang kemelut yang tercetus dalam mesyuarat bulanan PN bulan ini.

"Dia (GERAKAN) yang buat kenyataan secara terbuka, ugut nak keluar PN. Sila keluar. Itu respons kami.

"Dia kata kalau tak ikut pandangan mereka, GERAKAN akan keluar PN. Silakan, 'the door is there' (pintu ada di sana). Bukan kita tolak dia keluar. Tapi, kalau dia nak keluar, pintu sentiasa ada. Boleh keluarlah, bukan tak boleh," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tong Keong dilaporkan berkata parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS mungkin tidak akan bekerjasama dengan GERAKAN pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), susulan kecewa dengan pendirian parti itu yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Semalam, Presiden GERAKAN, Dominic Lau berkata, PN perlu berbincang untuk menyelaraskan perbezaan bagi menguatkan kerjasama mereka.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, PAS tidak akan mengikut telunjuk parti lain kerana setiap parti mempunyai pendirian masing-masing dalam sesuatu isu.

Beliau berkata, tindakan GERAKAN berhubung isu berkenaan didorong oleh kehendak untuk menyenangkan hati pengundi Cina.

"Bincang dalam mesyuaratlah secara dalaman. Kalau GERAKAN ada rasa tidak puas hati pada PAS, cakaplah. Kami (PAS) tak ada apa pun masalah. Kita hanya jawab apa dia kata. Dia yang ada masalah, dia punya pasal lah," katanya.

-Wak Labu Farm 

0 ulasan:

Catat Ulasan