Selasa, 13 Ogos 2024

BN tanding Mahkota, Zahid beri amaran ‘parti lain jangan kacau’

 freemalaysiatoday.com

Anne Muhammad
13 Aug 2024

Pengerusi BN berkata menerusi persefahaman kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula parti berkenaan’.
Pengerusi BN Zahid Hamidi memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan bertanding PRK DUN Mahkota 28 Sept ini, kata Zahid Hamidi.

Justeru, pengerusi BN memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi yang diperuntukkan kepada sesuatu parti.

Saya tak mahu kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin besar atau kecil yang menuntut mana-mana kerusi diperuntukkan untuk dituntut atau keluar kenyataan yang akhirnya menimbulkan persepsi sebaliknya, katanya pada sidang media selepas mesyuarat sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Platinum Sentral.

Pada 5 Ogos lalu Ketua Amanah Kluang, Mohd Zuhan Mohd Zain, dilaporkan mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan BN memberikan laluan kepada calonnya bertanding PRK Mahkota yang pernah dimenangi parti itu pada PRU14.

Menyusul desakan itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu menegur ahli partinya kerana menggunakan media untuk melobi DUN tersebut, sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan terhadap kempen PRK Nenggiri pada 17 Ogos yang ditandingi Umno untuk merebut semula kerusi berkenaan daripada Bersatu.

Pada 8 Ogos lalu Zahid berkata parti dalam kerajaan perpaduan tidak wajar menuntut kerusi bukan milik mereka dan ia perlu dihormati.

Sila hormati kalau kerusi itu kepunyaan sesebuah parti. Jadi formulanya kerusi itu akan diberikan kepada parti berkenaan, bukan menuntut itu dan ini, kata timbalan perdana menteri.

Sementara itu, Zahid berkata bagi menghadapi PRK Mahkota, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno seterusnya membawa keputusan tersebut dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Beliau menjelaskan, menerusi persefahaman dalam kerajaan perpaduan ‘kerusi diwakili oleh mana-mana parti harus diserahkan dan ditandingi semula oleh parti berkenaan’.

DUN Mahkota adalah DUN di kawasan agak berpotensi untuk kita menang dan tentunya kita mahu koordinasi dilakukan dengan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Mahkota pada 28 Sept dengan penamaan calon dan undi awal masing-masing 14 serta 24 Sept.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Syarifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos.

Pada PRN Johor Mac 2022, Sharifah menang kerusi DUN Mahkota mewakili BN dengan 16,611 undi dan majoriti 5,166.

-Wak Labu Farm 

0 ulasan:

Catat Ulasan