Selasa, 13 Ogos 2024

Batal pengharaman komik bekas ahli DAP - Umno bagaimana, soal PAS

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Aug 13, 2024
Beberapa pemimpin akar umbi PAS hari ini tampil mempersoalkan tindakan kerajaan yang membatalkan perintah larangan terhadap penerbitan komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Bagi Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, komik itu bukan sahaja kontroversial kerana mempromosi perjuangan komunisme tetapi juga mempersenda dan memperlekehkan bekas Presiden Umno, Najib Razak dan isterinya.
                                           Roslan Shahir Mohd Shahir
Pembatalan perintah larangan itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos.

Umno DAN BN adalah rakan sekutunya dalam kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Hari ini pihak KDN menarik balik pengharaman komik ini dan ia sudah boleh diedarkan.

“Umno bagaimana? Bersuaralah sahabat atau benar DAP yang paling bertaring dalam kerajaan PH dan BN hari ini,” kata Roslan yang dipetik oleh Harakahdaily.
Berdasarkan warta itu, pembatalan perintah larangan tersebut membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

"Pada menjalankan kuasa yang diberikan Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), menteri membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2019 (P.U. (A) 288/2019) yang telah disiarkan dalam Warta pada 23Oktober 2019 yang melarang pencetakan, pengimportan,penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang dinyatakan dalam Jadual," petik Warta Kerajaan Persekutuan itu.

Pada Oktober 2019 kecoh apabila buku komik tersebut dikatakan telah tersebar di sekolah-sekolah, susulan tumbangnya BN di tangan Pakatan Harapan (PH) setahun sebelum itu.
Bagaimanapun, pada 23 Oktober 2019 pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik itu.

Seorang lagi pemimpin akar umbi PAS yang mempersoalkan pembatalan perintah larangan komik BRI itu adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin.

“Apa sudah jadi dengan Malaysia Madani?

“Di mana suara akar umbi Umno yang cinta dan sayangkan perjuangan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
-Wak Labu Farm 

0 ulasan:

Catat Ulasan