Rabu, 7 Ogos 2024

Edward Heath: Bekas Perdana Menteri Yang Tiada Rumah Sendiri

 Edward Heath: Bekas Perdana Menteri Yang Tiada Rumah Sendiri

Oleh: Amer Hakim bin Izamer, 19 tahun

Sekolah: SMKA Sheikh Haji Mohd Said

Baru-baru ini, dunia telah dikejutkan dengan keputusan pilihan raya umum United Kingdom yang menyaksikan kekalahan terburuk parti pemerintah iaitu Parti Konservatif. Kekalahan ini bukan sahaja rekod terburuk parti tersebut sejak 1997, malah terburuk dalam sejarah sejak penubuhan parti tersebut. 

Seperti biasa, apabila berlaku pertukaran kerajaan, perdana menteri yang sedia ada akan meletakkan jawatan sekaligus meninggalkan segala keistimewaan yang diperoleh seperti kereta rasmi, pengawal peribadi, kediaman rasmi dan sebagainya. Namun tahukah anda, terdapat seorang bekas perdana menteri yang datang daripada parti yang sama meninggalkan jawatan tersebut tanpa mempunyai kenderaan dan rumah sendiri? Pelik, tetapi itulah yang berlaku kepada bekas Perdana Menteri United Kingdom, Sir Edward Heath.

Sir Edward Heath atau lebih mesra dikenali sebagai Ted Heath merupakan Perdana Menteri United Kingdom yang datang daripada Parti Konservatif dari tahun 1970 hingga tahun 1974. Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri United Kingdom pada 19 Jun 1970 selepas berjaya membawa partinya memenangi pilihan raya umum pada tahun 1970 dengan majoriti yang kecil. Antara kejayaan yang berjaya dihasilkan oleh kerajaan pimpinannya adalah apabila beliau berjaya membawa masuk negara United Kingdom ke dalam Pertubuhan Komuniti Eropah (European Community) yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Kesatuan Eropah (European Union). 

Walau bagaimanapun, kerajaan pimpinannya tidaklah kekal lama apabila parti pimpinannya gagal memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya umum 1974 dan gagal untuk membentuk kerajaan campuran (coalition government) bersama parti kecil lain bagi mencukupkan bilangan kerusi di parlimen. Oleh sebab itu, beliau memilih untuk melepaskan jawatan tersebut.

Di dalam sebuah dokumentari yang bertajuk ‘How To Be an Ex-Prime Minister’ terbitan BBC pada tahun 2007, diceritakan detik-detik yang berlaku selepas Sir Edward Heath memilih untuk melepaskan jawatannya. Menurut Lord Butler, mantan setiausaha kabinet, Sir Edward Heath mengharapkan untuk kekal berada di jawatannya dan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berpindah jika beliau kalah pada pilihan raya tersebut. 

Lord Butler juga menceritakan bahawa pegawai kanan Edward Heath, Tom Kittson meminjamkan rumah pangsanya di London sebagai tempat tinggal bekas perdana menteri itu sementara beliau mencari dan memiliki rumahnya sendiri. Menurutnya lagi, Lord Butler membantu Tom Kittson mengemas dan mengemop rumah tersebut agar dapat digunakan oleh mantan perdana menteri itu. Dalam dokumentari tersebut disertakan sekali video amatur detik-detik barangan peribadi Edward Heath termasuklah piano miliknya dipunggah dan dipindah keluar dari kediaman rasmi Perdana Menteri. 

Beliau hanya mempunyai rumah sendiri selepas beberapa tahun kemudian apabila dilantik sebagai penasihat sebuah firma yang mempunyai perniagaan dengan negara China. Selepas Edward Heath meninggal dunia pada tahun 2005, rumah peribadinya dibuka untuk kunjungan umum dan diletakkan pelbagai barangan peribadi beliau selama hayatnya.

Selain itu, diceritakan juga di dalam dokumentari tersebut Sir Edward Heath tidak mempunyai kenderaan peribadi untuk membawanya ke Istana Buckingham bagi menghadap Ratu England untuk meletakkan jawatan. Tom Kittson, pegawai kanan mantan perdana menteri itu menyatakan kenderaan rasmi perdana menteri telah pergi mengambil bakal perdana menteri yang baharu. Oleh sebab itu, Sir Edward heath dipinjamkan sebuah kereta Jaguar yang tidak dinyatakan pemiliknya untuk membawa beliau ke Istana Buckingham.

Kesimpulannya, walaupun mantan perdana menteri selalu dihebahkan mempunyai kemewahan dan keistimewaan selepas bersara, namun terdapat banyak juga kisah yang menarik di sebaliknya untuk diketahui oleh orang ramai sebagai pengajaran dan sejarah.

Source 

0 ulasan:

Catat Ulasan