Sabtu, 17 Ogos 2024

Nenggiri milik PN atau kembali ke pangkuan BN

 bebasnews.my

By Hassan Mohd Noor
-17/08/2024

Apakah akan selesai segala masalah di Nenggiri setelah melalui PRK? Tertunaikah segala janji yang ditaburkan oleh kedua-dua pihak? Cukupkah sekadar sudah tersedia mesin juruwang automatik (ATM).



PERIKATAN Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing yakin untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila 20,216 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

PN mahu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu dengan majoriti 810 undi manakala BN mahu merampas kembali kerusi yang diwakili selama empat penggal sejak 2004.

Mampukah PN yang berbekalkan majoriti 810 undi pada PRN lalu mengekalkan kerusi yang pernah menjadi kubu BN itu? Adakah gelombang kemenangan PN melalui calon Pas pada PRK di Sungai Bakap akan melanda Nenggiri?

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata, tinjauan yang membabitkan hampir 500 pengundi terpilih mendapati sebahagian besar mereka menyokong PN dan akan memberi undi kepada calon kita. Mereka ada sebab musabab tidak sokong BN.

BN pula khususnya UMNO walaupun turun secara ‘underdog’ mengharapkan ‘cahaya terang di hujung terowong’ pada PRK ini. BN ingin menambah kerusi pembangkang di negeri itu selepas hanya menang dua kerusi sebelum ini.

Pengerusinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah enam kali turun padang untuk berkempen, sesuatu yang tidak pernah dilakukan di PRK lain. UMNO perlu menang menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan. Itu misi penting.

“Insya-Allah, DUN Nenggiri (akan) adalah milik kita semula. Kita berharap dapat menambah seorang lagi ADUN supaya kita boleh mewujudkan tiga ‘tungku mendidihkan air’ bagi suhu politik di Kelantan ini,” katanya.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala calon PN adalah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Rizwadi pada peringkat awal tidak ada dalam senarai tetapi pada saat akhir beliau ‘meninggalkan’ Pas untuk menyertai Bersatu dan dipilih sebagai calon mengisi kuota Bersatu, bertanding di bawah Bulan. Maka timbul isu Bersatu ketandusan calon.
PRK ini diadakan susulan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada PRN lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN yang mempertahankan kerusi itu, Ab Aziz Yusoff
memperoleh 5,707 undi.

Selain masing-masing mengharapkan undi Orang Asli, peratusan keluar mengundi juga menjadi antara indikator penting menentukan keputusan PRK Nenggiri. Pada PRN lalu, hanya 61 peratus pengundi keluar mengundi.

Adakah jika peratusan keluar mengundi tinggi, peluang UMNO-BN cerah atau sebaliknya berlaku? Pengundi akan memberi jawapannya.

Apa yang menarik pada PRK ini, BN tidak mengalu-ngalukan kehadiran ‘rakan sepejabat’ DAP untuk berkempen malahan Ketua UMNO bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga ‘melarang’ DAP turun berkempen.

Larangan itu wajar sekiranya dilihat majoriti pengundi di situ adalah orang Melayu tetapi kenapa kehadiran DAP dikhuatiri sedangkan ramai juga wakil rakyat Melayu DAP sama ada di Dewan Rakyat atau DUN serta pengerusi itu ini.

Adakah BN atau UMNO tidak mahu dilabelkan dengan gelaran UMDAP jika pemimpin DAP terus berada di pentas kempen UMNO? Atau UMNO pun bimbang akan lahir pula cawangan DAP Melayu di Gua Musang? Realitinya DAP ‘memberi kesan’.

Apa pun sesuatu yang menarik perhatian pada PRK ini adalah sejauh mana dua nama yang pernah mewarnai kepemimpinan UMNO peringkat Pusat membuktikan sokongan pengundi apabila mereka mengetuai jentera kempen PRK Nenggiri.

Di pihak BN, Razaleigh yang pernah menjadi Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Pengarah PRK DUN Nenggiri BN manakala Annuar Musa yang suatu ketika sebagai Setiausaha Agung UMNO/BN sebagai Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri.

Ku Li sudah tentu mahu ‘menebus’ kekalahan BN pada PRN lalu malahan jika menang dapat mengubat kekecewaan selepas tewas kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Masing-masing anak Kelantan. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri untuk memastikan pengundi mengundi parti dokongan mereka. PN ada kelebihan sebagai kerajaan negeri manakala BN sebagai kerajaan Pusat.

Banyak janji ditawarkan BN yang sudah empat penggal mewakili Nenggiri sebelum ini, yang juga berada di bawah Parlimen Gua Musang yang sebegitu lama dikuasai BN. Begitu juga tawaran Kerajaan Pas yang sudah lama mentadbir Kelantan.

Apakah akan selesai segala masalah di Nenggiri setelah melalui PRK? Tertunaikah segala janji yang ditaburkan oleh kedua-dua pihak? Cukupkah sekadar sudah tersedia mesin juruwang automatik (ATM).

– BebasNews

0 ulasan:

Catat Ulasan