"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Rabu, 31 Julai 2024

Peringatan: Berhati-hati apabila anda mencapai usia 35 ke 40 tahun

 


Umur 35 tahun - 40 tahun ialah umur dimana kebanyakan kita mula diuji. Ujian boleh datang dari ibubapak (jatuh sakit, kematian), atau dari pasangan hidup (perceraian, jatuh sakit, pergaduhan) atau dari anak-anak yang meningkat remaja.

Memang bermula 35 tahun - 40 tahun, Allah akan memanggil kita pulang bertaubat kepadaNya. Panggilan dari Allah selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud mengadu dan memohon pertolonganNya.

Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan pasangannya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.

Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Allah malah tetap leka dengan keseronokan dunia, berkumpul dengan rakan² dan kurang memberi perhatian kepada suami/isteri/anak²

Usia 35 - 40 ini menjadi lebih menarik apabila al-Quran di dalam surah "al-Ahqaaf ayat 15" ada menyebut tentang itu. Allah berfirman yang bermaksud,

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu)."

Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun, masih memikirkan kereta Sportnya, tanaman Duriannya, ternakan kerbaunya, harta2nya, anak2 dan cucu2nya. Alangkah baiknya jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar Kuliah Agama, ibadat di Masjid, Umrah, Haji dan sebagainya.

Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala padahal kedut dan uban dah tumbuh merata. Sibuk mencari cinta diluar, sedangkan rumahtangga yang halal dibiar berantakan.

Ada yang rasa macam masih sihat, walaupun sahabat2, sedara-mara ramai yg sudah meninggal, kadangkala tanpa disangka. Itu semua hanya menjadi bahan cerita "ehh, tak sangkaaa...muda lagi, sihat je nampak, boleh meninggal..."

Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih ralit dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri.

Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak. Yang semakin lelah dan tua adalah tubuh dan kudrat kita.

Rasanya jika Tuhan menghalang tubuh manusia mengalami penuaan, pasti kita semua lebih leka, lebih degil untuk menyahut panggilan pulang. 

Sehinggalah tiba saat roh kita diheret dan diseret kembali merengkuk di hadapan Tuhan.

Kita hidup di dunia, tidak lama.. Rasulullah, Sallallaahu alaihu wasallam, telah bersabda:

“Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut”. [HR. Ibnu Majah: 4236].

Kalau sekarang kita rasa 35 - 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama, SATU HARINYA = RIBUAN TAHUN…

Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal baik kita..

Oleh karena itu, lihatlah diri Anda, sudahkah kita mempersiapkanny.?!

Allah ta’ala berfirman (yang artinya):

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah, dan LIHATLAH DIRI MASING-MASING apakah yang sudah ia PERSIAPKAN untuk KEHIDUPAN ESOKNYA”. [Al-Hasyr:18]

Credit : inspirasi dan Kesehatan.

Source 

Selasa, 30 Julai 2024

MEMBACAKAN AL-QURAN KEPADA SI MATI

 MEMBACAKAN AL-QURAN KEPADA SI MATI

Berkata Saidina Abdullah bin Umar Al-Khattab radhiyallahu anhuma:

استحب أن يقرأ على القبر بعد الدفن أول سورة البقرة وخاتمتها

"Sunat membacakan awal dan akhir surah Al-Baqarah di atas kubur selepas dikebumikan jenazah" (HR. al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra, 4/93)

Penilaian ulama:

1) Berkata Imam Nawawi di dalam Al l-Azkar ia adalah hasan.

2) Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani ia adalah hasan.

3) Berkata As-Syeikh Mansur Al-Bahuti, telah sahih ia daripada Ibnu Umar bahawa mewasiatkan ia apabila dikebumikan agar dibacakan di sisi kuburnya pembuka dan penutup surah Al-Baqarah.

4) Berkata Abd Al Haq, Imam Ahmad mengingkari riwayat ini dan kemudian menarik balik kerana telah sampai sanad tersebut kepadanya.

Sokongan ulama:

1) Bertanya Imam Al Hasan bin Muhammad Al Za'farani kepada Imam As-Syafie mengenai bacaan Al-Quran di sisi kubur. Imam Al Syafie jawab: "Dibolehkan."

2) Berkata Imam Asy-Sya'biy: "Bahawa kaum Al-Anshar, apabila berlaku kematian di kalangan mereka. Maka mereke bergiliran ke kubur untuk membacakan Al-Quran di kubur."

3) Berkata Imam As-Syafie:

ويستحب أن يقرأ عنده شيء من القرءان وان ختموت القرءان كله كان حسنا

"Dan disunatkan membacakan sebahagian Al-Quran di kubur dan sekiranya dikhatamkan keseluruhannya adalah lebih baik." 

(Dinaqalkan oleh Imam An Nawawi melalui kitab Riyadh As-Solihin, ms. 386)

Kesimpulan:

Imam Ibnu Qudamah menyatakan bawa amalan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran adalah bermanfaat kepada si mati dengan ijmak kaum muslimin:

وَالدَلِيلُ لَنَا مَا ذَكَرْنَاهُ وَأَنَّهُ اجْمَاعُ الْمُسْلِمِينَ فَإِنَّهُمْ فِي كُلَّ عَصْرٍ وَمِصْرٍ يَجْتَمِعُونَ وَيَقْرَأُونَ الْقُرْآنَ وَيَهْدُونَ ثَوَابَهُ إِلَى مَوْتَاهُمْ مِنْ غَيْرِ نَكِيرٍ، وَلِأَنَّ الْحَدِيثَ صَحَّ عَنِ النَبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم "إِنَّ الْمَيِّتَ يُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ"

“Dalilnya itu ialah barang yang kami telah sebutkan dahulu itu. Dan juga bahawasanya itu adalah ijmak kaum muslimin. Maka, walau waktu bila dan di mana pun mereka berkumpul dan membaca al-Quran dan mereka menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang yang sudah mati daripada kalangan mereka dengan tiada sesiapa yang mengingkarinya. Dan kerana hadis yang sahih daripada Nabi s.a.w: “Sesungguhnya si mati itu diazabkan dengan tangisan daripada keluarga kepadanya”.” (Rujuk al-Mughni Ibnu Qudamah)

Disediakan oleh: 

Ust HAZA Official

Pulau Bouvet terpencil yang jauh dari manusia

 Pulau terpencil yang jauh dari manusia

Pulau Bouvet terletak di Lautan Atlantik Selatan, kira-kira 1,800 kilometer dari daratan terdekat. Pulau ini pertama kali dilihat oleh penjelajah Perancis Jean-Baptiste Charles Bouvet pada 1 Januari 1739, semasa mencari benua selatan. Disebabkan koordinat yang salah, pulau itu tidak terletak lagi sehingga 1808 oleh pemburu paus British James Lindsay.

Pulau Bouvet milik Norway. Pada tahun 1927, Norway menuntut pulau itu semasa Ekspedisi Norway Pertama yang diketuai oleh Harald Horntvedt. Pengilhakan ini telah diiktiraf secara rasmi pada tahun 1930, meneruskan tradisi penerokaan kutub Norway yang telah lama wujud. Pulau ini telah diisytiharkan sebagai rizab alam semula jadi pada tahun 1971 untuk melindungi persekitarannya yang unik.

Pulau ini tidak berpenghuni dan tiada kehadiran manusia yang kekal. Norway mengekalkan stesen cuaca automatik, tetapi akses terhad untuk melindungi persekitaran yang rapuh.

Pulau Bouvet terletak di hemisfera selatan. Ais krim (glasier) membentuk 93% daripadanya. Di tengah-tengah pulau itu terdapat kawah yang dipenuhi ais dari gunung berapi aktif, yang dikenali sebagai Dataran Tinggi Wilhelm II. Menurut beberapa data terdapat tasik lava cair di pulau itu.

Pulau ini dianggap sebagai kawasan pembiakan penting untuk burung laut seperti penguin, dan ia adalah salah satu pulau paling terpencil di dunia.

Pulau ini terletak 1,700 km di utara pantai Puteri Astrid di Tanah Ratu Maud di Antartika.

 Dan 1,900 km ke timur Kepulauan Sandwich Selatan.

Dan 1845 km ke selatan Pulau Goch.

2600 km barat daya pantai Afrika Selatan.

 Keluasannya ialah 49 km². 93% permukaan pulau dilitupi oleh glasier.

Credit 

Isnin, 29 Julai 2024

Keajaiban Jambatan Øresund: Menghubungkan Denmark dan Sweden dengan Terowong Bawah Laut

 Keajaiban Jambatan Øresund: Menghubungkan Denmark dan Sweden dengan Terowong Bawah Laut

MasyaAllah, pujian kepada Allah yang mencipta dunia ini dan memberi akal fikiran kepada manusia sehingga mampu mencipta keajaiban teknologi seperti Jambatan Øresund.

Jambatan Øresund adalah satu keajaiban kejuruteraan yang menghubungkan Denmark dan Sweden melalui gabungan jambatan dan terowong bawah laut.

Jambatan ini bermula dari Copenhagen, Denmark, dan berakhir di Malmö, Sweden. Ia merentangi sepanjang 8 km sebagai jambatan kabel sebelum berubah menjadi terowong bawah laut sejauh 4 km melalui sebuah pulau buatan yang dikenali sebagai Pulau Peberholm. Pulau ini dibina daripada bahan yang dikeruk dari dasar laut dan menjadi titik peralihan antara jambatan dan terowong.

Projek ini dimulakan pada tahun 1995 dan disiapkan pada tahun 1999, dengan kos keseluruhan sekitar 4 bilion Euro. Jambatan dan terowong ini secara rasmi dibuka pada 1 Julai 2000 dan sejak itu menjadi laluan penting antara kedua-dua negara, menyumbang kepada peningkatan ekonomi dan sosial di rantau tersebut. Menurut laporan, jambatan ini telah menjana keuntungan ekonomi bernilai 7 bilion Euro bagi kedua-dua negara hasil daripada peningkatan perjalanan harian dan pengurangan kos perjalanan.

Pulau Peberholm kini menjadi habitat penting untuk flora dan fauna, dengan lebih 500 spesies tumbuhan dikenalpasti oleh Persatuan Botani Lund. Pulau ini juga menjadi tempat pembiakan popular untuk burung dan habitat untuk kodok hijau yang jarang ditemui. Semua ini menunjukkan betapa projek kejuruteraan ini bukan sahaja memberikan manfaat dari segi kejuruteraan tetapi juga kepada alam sekitar.

Selain itu, jambatan ini juga dikenali dalam budaya popular seperti siri TV Denmark-Sweden "The Bridge" yang menggunakan terowong Øresund sebagai latar utama, menonjolkan kepentingan dan keindahan seni bina jambatan ini.

Jambatan ini juga mengagumkan kerana ia adalah terowong bawah laut terpanjang di dunia untuk kereta dan kereta api. Terowong ini mampu menampung kelajuan sehingga 200 km/j untuk kereta api, menjadikannya salah satu sambungan pengangkutan paling efisien antara dua negara.

Semoga kita semua dapat menghargai keindahan ciptaan Allah ini dan kemajuan teknologi yang dihasilkan melalui akal fikiran manusia. MasyaAllah, sungguh hebat ciptaan Allah yang memberikan kita kemampuan untuk mencipta dan menjaga keajaiban alam ini.

Source 

P/s: Harap ada la jambatan dari Semenanjung ke Borneo. 😬😬😬

Ahad, 28 Julai 2024

PAS bukan 'taiko', Gerakan tak teragak-agak keluar PN -Timb Presiden Gerakan

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 28, 2024 
Gerakan tidak akan teragak-agak untuk keluar dari PN jika tindakan itu bermakna mempertahankan pendidikan Cina, kata timbalan presiden parti Oh Tong Keong.

Dia berkata Gerakan juga tidak akan kekal dalam gabungan itu jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah yang melampau daripada "parti tertentu."

Oh menjawab amaran Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa PN mungkin menggugurkan Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini selepas PAS dan Gerakan mengambil pendirian bertentangan dalam isu syarikat minuman keras menyalurkan dana kepada sekolah vernakular.
“Gerakan mengesahkan sokongan padu terhadap usaha masyarakat Cina mengumpul dana untuk pendidikan Cina.

"Walaupun ugutan tidak munasabah daripada sekutu PN bahawa tidak akan ada lagi kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, kami bersedia untuk menghadapinya," kata Oh pada satu kenyataan hari ini.

Gerakan semalam menyokong pendirian DAP menyokong sekolah vernakular yang bekerjasama dengan kilang bir untuk menganjurkan acara mengumpul dana.

Gerakan berpendapat kutipan derma sebegini perlu dilakukan kerana sekolah Cina tidak diberikan dana yang mencukupi oleh kerajaan persekutuan untuk meneruskan operasi mereka.
Bagaimanapun, Fadhli berkata pandangan sedemikian mengecewakan dan menegaskan jika Gerakan mengekalkan pendapat sedemikian, PAS tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada pilihan raya umum ke-16.

Membalas amaran PAS itu, Oh menjelaskan Gerakan sebelum ini meninggalkan BN pada 2018 untuk menentang rakan pakatan yang korup.

Begitu juga, katanya, jika rakan pakatan dalam PN terus mempamerkan ekstremisme agama dan mencabul hak orang bukan Islam, Gerakan tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan gabungan politik sekali lagi.

“Walaupun PAS mempunyai kerusi parlimen dan DUN terbanyak dan merupakan parti terbesar dalam PN, PAS mesti menghormati parti-parti lain dalam gabungan itu.
Presiden Gerakan Dominic Lau bersama pimpinan tertinggi PN.
"Mereka tidak sepatutnya bertindak seperti taiko (abang besar) dan menuntut pematuhan daripada semua pihak lain. Mereka mesti belajar untuk meyakinkan orang lain melalui pertimbangan hujah," kata Oh.

Oh juga menegaskan Gerakan menjunjung prinsip perjuangan politik bukan perkauman dan mempertahankan hak semua kumpulan etnik seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tidak ada salahnya kaum Cina dan India Malaysia mempertahankan dan mengekalkan pendidikan bahasa ibunda. Ia bukan sahaja tidak dihalang tetapi juga digalakkan dan disokong.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kampar Chong Zhemin pada kenyataan berasingan hari ini mencabar Presiden Gerakan Dominic Lau supaya berhenti menafikan tidak ada masalah berlaku dan mengelak ancaman yang dibuat oleh Fadhli.

Sebaliknya, dia menggesa Lau tegas mempertahankan sisa-sisa maruah terakhir Gerakan dengan meninggalkan PN dan memutuskan hubungan bersama PAS.

Gerakan rakan gabungan PN tanpa kerusi parlimen dan cuma memiliki satu kerusi DUN di Kedah yang dikuasai PAS, dimenanginya semasa pilihan raya negeri tahun lepas.

-Wak Labu Farm 

𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐊𝐀𝐀𝐍 𝐎𝐋𝐈𝐌𝐏𝐈𝐊 𝟐𝟎𝟐𝟒: 𝐀𝐊𝐀𝐑 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐃𝐀𝐁𝐀𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐋𝐀𝐇 𝐌𝐀𝐓𝐈

 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐊𝐀𝐀𝐍 𝐎𝐋𝐈𝐌𝐏𝐈𝐊 𝟐𝟎𝟐𝟒: 𝐀𝐊𝐀𝐑 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐃𝐀𝐁𝐀𝐍 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐄𝐋𝐀𝐇 𝐌𝐀𝐓𝐈  

Bacaan mengopi hujung minggu kali ini lebih kepada refleksi pembukaan temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris. 

Sudahkah kalian menontonnya? Kalau sudah pasti kalian rasa jijik, muak dan mual: satu penghinaan kepada bukan saja Agama Kristian tetapi juga Islam berkenaan parodi “Drag Queen” dalam pengkisahan “The Last Supper” yang melibatkan Jesus Christ (Peace be Upon Him) dan al-Hawāriyyūn (Apostles) baginda.  

Bagi saya tidak pelik apa yang berlaku di Paris ini. Fenomena budaya songsang ini diagnosisnya ada dalam karya ringkas yang dikarang bersama oleh Cardinal Joseph Ratzinger (Pope Benedict XVI) dan Marcelo Pera bertajuk “Without Roots: The West, Relativism, Christianity and Islam”. 

Punca masalah seperti yang dihujahkan oleh Pope Benedict XVI: Eropah telah terputus akar peradabannya dengan agama khususnya Kristian. 

Ini tidak pelik lebih-lebih lagi kerana Perancis adalah pusat dan tempat di mana faham sekularisme diinstitusikan dalam pentadbiran negara pasca Revolusi Perancis 1789.

Bukan itu saja, ibu kota Paris adalah tempat lahirnya faham dan falsafah berakarkan Relativisme (tiada kebenaran hakiki dan mutlak; semua pihak ada kebenaran tersendiri) yang menjadi satu budaya baru dalam kerangka besar Pasca Modernisme (Post-Modernism) melalui faham Post-Strukturalisme yang digagasi Michel Foucault; Dekonstruksisme oleh Jacques Derrida;  dan juga faham Eksistentialisme yang Sartre, de Beauvoir perjuangkan maka lahirlah masyarakat moden Eropah yang menatijahkan “tayangan” (spectacle) yang kita lihat di layar TV pembukaan Olimpik Paris 2024 itu. 

Kesemua ranah dan ragam pemikiran ini seperti dirumuskan Pope Benedict XVI telah meracuni dan mematikan akar budaya dan agama di Eropah dan Barat sehingga terlucut peradaban mereka daripada akar asalnya: Agama Kristian. 

Ini baru sumber dari Perancis belum kita ambil kita pengaruh sekolah falsafah Kontinenal (Continental) Jerman daripada gergasi-gergasi besar seperti Kant, Nietszche, Freud yang turut dipegang kemas oleh golongan intelektuak awam Perancis. 

Kesemua pemikiran daripada mereka ini akhirnya bermuara di pelabuhan yang dipanggil “syak” (doubt) maka asas itulah akhirnya meruntuhkan tiang seri kerangka keilmuan Barat (ontologi, epistemologi, aksiologi) yang memungkinkan apa yang dihujahkan oleh Pope Benedict XVI sebagai “Kediktatoran Relativisme” (Dictatorship of Relativism) yang mana sifatnya adalah:

1) tiada lagi kebenaran tetap dan mutlak; 

2) ego individu adalah hakim utama; 

3) pegagangan dan faham agama tiada tempat dalam ruangan awam;

4) agama hanyalah layak ditempatkan di ruang peribadi;

5) agama ditampilkan sebagai ancaman kepada kebebasan dan kesamarataan diri dan masyarakat;

6) ilmu manusia itu bukan mutlak sifatnya - kebenaran sentiasa berubah-rubah mengikut tempat dan masa. 

Jadi apa sebenarnya ubat untuk Barat dalam mendepani wabak ini? 

Ironinya walaupun Pope Benedict XVI dalam buku “Without Roots” dan dalam Syarahan Regensburg pada 2006 melihat kebangkitan Islam dari segi jumlah pertambahan penganutnya sebagai ancaman kepada Kristian Katolik, beliau juga mengiktiraf bahawa Islam sebagai sebuah agama dan peradaban turut berkongsi cabaran yang sama seperti Agama Kristian dalam mendepani cabaran Zaman Moden ini. 

Maka seharusnya dialog antara agama dan peradaban Islam dan Kristian diteruskan dan dirapatkan jurang agar kedua-duanya mampu merawat wabak Sekularisasi, Relativisme yang semakin ganas meracuni akar bangsa dan agama bukan saja di Eropah dan Barat malah di seluruh dunia.

Apa yang berlaku di pentas pembukaan Olimpik Paris 2024 itu patut sedarkan kita bahawa kehidupan beragama kini semakin terancam di bawa arus Kemodenan yang tidak lagi meletakkan Tuhan di hadapan malah terus hilang di telan zaman. 

Kalau begitu siapakah Tuhan bagi orang-orang moden ini? Siapa lagi kalau bukan nafsu, ego kita sendiri. 

Kesan daripada faham Sekularisme yang menebal Manusia Barat dan Eropah telah melalui proses “Apotheosis”: pentaqdisan manusia menjadi seperti Tuhan - tiada lebih berkuasa menentukan untung nasib bangsa berbanding dirinya sendiri. 

Itulah pengajaran dan kesan daripada Matinya Akar Bangsa dan Agama (Without Roots) yang dizahirkan daripada pembukaan Olimpik Paris 2024. 

Berwaspadalah wahai Ummah! 

𝐘𝐁 𝐖𝐀𝐍 𝐀𝐇𝐌𝐀𝐃 𝐅𝐀𝐘𝐇𝐒𝐀𝐋 𝐖𝐀𝐍 𝐀𝐇𝐌𝐀𝐃 𝐊𝐀𝐌𝐀𝐋

Nota Kaki: karya “Without Roots: The West, Relativism, Christianity, Islam” ini saya mula baca dan kaji setelah diperkenalkan oleh Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud sewaktu saya pertama kali menuntut ilmu di bawah beliau pada 2008 sebelum wujudnya institusi R Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam,Science & Civilisation yang saya pernah belajar di sana. Kefahaman dan olahan saya dalam hal ini berdasarkan penafsiran ilmiah Pandangan Alam Islam yang saya belajar di bawah dididikan beliau dan para guru yang merupakan anak-anak murid Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mereka lebih layak dan pakar dalam mengulas lanjut masalah ini.

𝕄𝕀ℂℍ𝔸𝔼𝕃 𝔹𝔸𝕃𝕃𝔸ℂ𝕂 𝔹𝕆𝕃𝔼ℍ 𝔻𝕀𝕂𝔸𝕋𝔸𝕂𝔸ℕ ℙ𝔼𝕄𝔸𝕀ℕ ℙ𝔸𝕃𝕀ℕ𝔾 𝕄𝔸𝕃𝔸ℕ𝔾 𝔻𝔸𝕃𝔸𝕄 𝕊𝔼𝕁𝔸ℝ𝔸ℍ 𝔹𝕆𝕃𝔸 𝕊𝔼ℙ𝔸𝕂.

 Ⓜ️ 𝕄𝕀ℂℍ𝔸𝔼𝕃 𝔹𝔸𝕃𝕃𝔸ℂ𝕂 𝔹𝕆𝕃𝔼ℍ 𝔻𝕀𝕂𝔸𝕋𝔸𝕂𝔸ℕ ℙ𝔼𝕄𝔸𝕀ℕ ℙ𝔸𝕃𝕀ℕ𝔾 𝕄𝔸𝕃𝔸ℕ𝔾 𝔻𝔸𝕃𝔸𝕄 𝕊𝔼𝕁𝔸ℝ𝔸ℍ 𝔹𝕆𝕃𝔸 𝕊𝔼ℙ𝔸𝕂.

𝐌𝐈𝐂𝐇𝐀𝐄𝐋 𝐁𝐀𝐋𝐋𝐀𝐂𝐊, salah seorang pemain tengah paling lengkap abad ke 21, legenda Jerman, Bayer Leverkusen dan Chelsea. Walau bagaimanapun, Ballack adalah salah seorang pemain bola sepak paling tidak bertuah sepanjang kerjayanya.

🥈🥈🥈🥈 Bundesliga

          🥈🥈 Liga Perdana

          🥈🥈 Perisai Komuniti

          🥈🥈 Liga Juara-Juara

               🥈 Piala Dunia

               🥈 Piala Liga Bola Sepak

               🥈 EURO

               🥈 DFB-Pokok

14 kali, Ballack naib juara sepanjang kerjayanya dan tahun-tahun Ballack yang dilaluinya ;

‣ 𝗠𝗶𝗰𝗵𝗮𝗲𝗹 𝗕𝗮𝗹𝗹𝗮𝗰𝗸 𝗣𝗮𝗱𝗮 𝟮𝟬𝟬𝟮 :

❌ Kalah pemburuan kejuaraan Bundesliga pada minggu terakhir

❌ Kalah perlawanan terakhir Piala Jerman

❌ Kalah perlawanan akhir Liga Juara-Juara

❌ Kalah Perlawanan akhir Piala Dunia

‣ 𝗠𝗶𝗰𝗵𝗮𝗲𝗹 𝗕𝗮𝗹𝗹𝗮𝗰𝗸 𝗣𝗮𝗱𝗮 𝟮𝟬𝟬𝟴 : 

❌ Kalah pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada minggu terakhir

❌ Kalah perlawanan akhir Piala FA

❌ Kalah perlawanan akhir Liga Juara-Juara

❌ Kalah perlawanan akhir EURO

Salah seorang pemain paling malang dalam sejarah bola sepak. Walaupun semua yang dihadapinya, Ballack sentiasa memberikan yang terbaik di atas padang dan tidak pernah menyerah!. 

Pujian kepada The Legend 🇩🇪

#𝒌𝒉𝒃𝒑 #𝐊𝓪𝓴𝓲𝐇𝓪𝓷𝓽𝓾𝐁𝓸𝓵𝓪𝐏𝓪𝓱𝓪𝓷𝓰

Source 

Sabtu, 27 Julai 2024

"Kenapa Orang Perancis Benci Agama?"

 "Kenapa Orang Perancis Benci Agama?" 

Dalam gambar yang bahagian atas merupakan satu babak dalam opening Olympic Paris 2024 semalam melibatkan para Drag Queen, dan spesis-spesisnya mempersendakan satu lukiisan The Last Supper, yang dilukiskan maestro Renaissance, Leonardo da Vinci di bahagian bawah. 

Lukisan ini menggambarkan momen penting dalam kehidupan Jesus Christ, iaitu jamuan terakhir bersama para hawariyun (sahabat-sahabat baginda) sebelum penyalibannya. 

Jadi, orang Kristian pun marah, sebab kenapa entah tiba-tiba satu babak yang sangat suci, dalam agama mereka, dipersendakan sedemikian rupa. Ada yang membahaskan pasal teori konspirasi, agenda sekian-sekian. Tapi aku berbeza pendapat. Kebanyakan yang marah ni dari Amerika misalnya, yang tak faham pada kebencian Perancis pada agama. 

Bagi aku, amalan membenci agama ni sebahagian daripada jati diri bangsa Perancis. Mereka ada konsep sekularism yang dipanggil sebagai Laïcité. Kalau sekularism biasa, mereka neutral pada agama, ini yang kita dapat lihat pada Amerika Syarikat, United Kingdom dan kebanyakan negara Sekular lain. 

Tapi tidak Laïcité. Salah satu rukun negara Perancis, selain kebebasan (liberté), kesamarataan (égalité) dan persaudaraan (‘fraternité’) adalah ‘laïcité’. 

Di bawah rukun ini, segala penyampaian simbol atau identiti agama di ruang awam adalah dilarang. Agama adalah hal peribadi yang hanya boleh diamalkan dalam rumah, secara sulit. Dan sebahagian daripada Laïcité ialah kebebasan membenci agama, membenci apa-apa simbol agama. Kebebasan menghina agama adalah termasuk salah satu daripadanya. 

Kita umat Islam dah pernah kena apabila kartun Charlie Hebdo memperolok-olokkan agama Islam. Sampaikan pasal menghina agama ni jadi sebahagian daripada sukatan pelajaran di Perancis. Ingat tak nama Samuel Paty? 

Seorang cikgu yang ajar subjek Civics di sana yang dibunuh oleh imigrant Muslim apabila cikgu ni menunjukkan lukisan menghina baginda nabi kita dalam kelas. Civics ni ajar pasal asas-asas negara, termasuk perlembagaan, ‘rukun’ negara dan sebagainya. Jadi, dia kena ajarkan pasal Laïcité sebab dah jadi rukun negara mereka.

Sebab tu masa dia mati dibunuh, Presiden Perancis macam Macron siap bagi penghormatan kepada mayat dia. Bagi orang Perancis macam Macron, Paty maut mempertahankan asas negara Perancis iaitu Laïcité.

Laïcité lahir pada era Revolusi Perancis (1789-1799). Pada masa itu, Perancis menganut Katolik yang berada di bawah kuasa Paus di Vatican. Revolusi tersebut melahirkan Republik Perancis yang menggulingkan raja (penaung agama Katolik), menyebabkan republik secara automatik menjadi musuh Paus.

Kepercayaan kepada agama dianggap berpotensi memecahkan kesetiaan rakyat Perancis terhadap negara dan mengancam kelangsungan hidup republik. Ini mendorong pemimpin revolusi mencipta 'Cult of the Supreme Being' bagi mengurangkan pergantungan rakyat kepada agama asing.

Cult of the Supreme Being atau "Cultus deorum" adalah sebuah kultus yang diwujudkan oleh Maximilien Robespierre, seorang pemimpin revolusi yang berpengaruh semasa Revolusi Perancis. Kultus ini diperkenalkan pada tahun 1794 sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggantikan agama Kristian Katolik dengan sistem kepercayaan baru yang selari dengan prinsip-prinsip Revolusi Perancis, terutamanya nilai-nilai rasionalisme dan sekularisme. 

Berbeza dengan dogma-dogma agama tradisional, Cult of the Supreme Being menggalakkan kepercayaan kepada Tuhan yang rasional dan alam semesta yang dapat difahami melalui akal dan sains. Ketika Revolusi Perancis mencapai puncaknya, hubungan antara negara dan Gereja Katolik menjadi sangat tegang. 

Gereja Katolik, yang lama menguasai aspek-aspek penting dalam kehidupan awam dan politik Perancis, dilihat sebagai penghalang kepada perubahan revolusioner. Sebagai respons, pemimpin revolusi berusaha untuk menggantikan agama tradisional dengan kepercayaan baru yang mencerminkan nilai-nilai revolusi. 

Ini kita tak cerita para revolusioner memang ada hasad pada gereja. Mereka berpendapat Gereja Katolik sering dilihat sebagai institusi yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan sendiri dan menindas golongan miskin. Kekayaan Gereja Katolik, termasuk pemilikan tanah yang luas, menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat jelata yang hidup dalam kemiskinan. Korupsi gereja ini sedikit sebanyak menyumbang kepada lahirnya Laïcité.

Undang-undang laïcité mula diguna pakai secara rasmi pada tahun 1905. Disebabkan pemahaman unik terhadap laïcité ini, di Perancis, menghina agama tidak dikenakan hukuman, tetapi menghina simbol negara seperti bendera boleh dikenakan denda atau penjara. Sebab tu seorang sister yang pakai pakaian selayaknya sebagai seorang rahib di tempat awam, atau seorang Muslimah memakai hijab, dianggap menghina asas negara Perancis. 

Jadi, upacara menghina agama ni memang tradisi Perancis. Aku tak hairan mereka gunakan peluang ni nak menghina agama-agama di dunia waktu deme dapat kesempatan di Olimpik. Kali ini, pengganut Kristian pula yang jadi mangsa. 

Akhir kata, aku nak ajak korang alang-alang beli buku sahabat aku, Ayman Rashdan Wong, apa yang aku tulis ni sebahagian kecil sahaja daripada perbahasan geopolitik dunia. 


Bagi aku, kita akan lebih memahami apa yang berlaku disekeliling dari kaca mata geopolitik, bukannya dari kaca mata tahi konspirasi. Ayuh ke Shopee Patriots, ada diskaun!


Dunia Tanpa Tembok I - https://s.shopee.com.my/2LDuZ9Qol8

Dunia Tanpa Tembok II - https://s.shopee.com.my/4pvFXnSo4i

Dunia Tanpa Tembok III - https://s.shopee.com.my/20b4AcurgZ


Terima kasih!

Source 

DAP tunjukkan mereka ‘abang besar’ dalam PH

 harakahdaily.com

July 27, 2024
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: “DAP sememangnya sentiasa menunjukkan bahawa mereka adalah ‘abang besar’ dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tidak mengejutkan apabila Pengerusi DAP, YB Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan berupa amaran agar YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dengan mengatakan bahawa Fadhlina bukan ‘Menteri Pendidikan PAS’.

Itu penegasan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan menerusi Facebooknya mengulas laporan portal berita, Malaysiakini yang pada hari ini mengenai Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang telah mengingatkan Fadhlina agar tidak berpendirian seiring dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu kutipan dana pendidikan Cina dan menegaskan, Fadhlina bukan ‘menteri pendidikan PAS’.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, segala kenyataan dan dasar yang ditetapkan oleh DAP seolah menjadi dasar yang harus diikuti oleh Kerajaan PH-BN.

Malahan kenyataan Guan Eng itu, tambah beliau, seakan terbukti kebenarannya apabila kabinet membuat keputusan yang senada dengan kenyataan-kenyataan DAP berhubung isu larangan institusi pendidikan menerima sumbangan daripada hasil arak.

“Ia bertentangan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang jelas melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Adakah Guan Eng ingin mengajar YB Menteri Pendidikan bahawa mempromosikan arak diperkarangan sekolah itu adalah baik buat murid walaupun kepada murid yang bukan Islam?

“Adakah Guan Eng mahu anak-anak ini dinormalisasikan dengan arak diperkarangan sekolah?” soal Tuan Ibrahim.

Beliau menyataan, sepatutnya Guan Eng menyokong Menteri Pendidikan yang cuba menjauhkan arak dalam kalangan pelajar sekolah.

“Guan Eng tidak perlu mengajar YB Menteri Pendidikan cara bekerja, sedangkan ketika beliau menjadi Menteri pun gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik.

“Kepada pemimpin Umno yang masih berada dalam Kerajaan, adakah budaya seperti ini yang akan terus disokong?” katanya. 

-Wak Labu Farm 

Jangan kurang ajar, Akmal Saleh selar Guan Eng, pertahan Fadhlina

 freemalaysiatoday.com

FMT Reporters
26 Jul 2024, 10:35 PM

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Fadhlina Sidek sepatutnya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.
Dr Akmal Saleh mengingatkan Lim Guan Eng bahawa polisi berhubung penyaluran sumbangan sekolah mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mempertahankan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan menyelar Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berhubung garis panduan kutipan dana sekolah vernakular.

Adun Merlimau itu mengingatkan Lim bahawa polisi berhubung penyaluran sumbangan sekolah mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.

“Saya nak ingatkan Lim Guan Eng dan DAP yang negara ini agama Islam adalah agama persekutuan dan majoriti penduduk berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Fadhlina bercakap atas kapasiti menteri yang menjaga undang-undang ditetapkan dan sebagai menteri Melayu-Islam.

Polisi yang diwujudkan adalah untuk menjaga sensitiviti agama dan bangsa di negara ini… nasihat saya kepada kamu, tolong jangan kurang ajar, katanya di Facebook.

Terdahulu, Lim mengingatkan Fadhlina bahawa kenyataannya berhubung garis panduan kutipan dana sekolah agak keras.

Lim dilaporkan berkata, Fadhlina sepatutnya menjadi menteri pendidikan untuk kerajaan perpaduan dan rakyat, bukannya ‘menteri pendidikan PAS’.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Menurutnya, Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan,
seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang. Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.

-Wak Labu Farm 

Jumaat, 26 Julai 2024

Diari Kembara:Berbasikal sejauh lebih 11000 km dari Eropah ke Malaysia


 Ini dia basikal pertama aku, basikal second hand yang aku beli di Koln, Jerman daripada orang Malaysia yang menetap dan berkahwin dengan orang Jerman. Pertama kali dalam hidup aku beli basikal, terus aku kayuh basikal ni dari Eropah balik ke Malaysia sejauh lebih kurang 11,000 - 12,000 kilometer selama 10 bulan.

Enam tahun yang lalu, pada tarikh hari ini 25 Julai 2018, aku beli basikal ni daripada Abang Man Mogort yang menetap di Koln, Jerman. Dia telah menetap di Jerman, dan mempunyai 2 orang anak hasil daripada perkahwinan dengan wanita Jerman.

Comel-comel anak Abang Man, masih kecil lagi. Muka Jerman kacuk Melayu, rambut perang asli. Kelakar pula rasa bila bercakap Bahasa Melayu dengan anak-anak Abang Man, tapi mereka faham. Isteri Abang Man pun boleh tahan fasih cakap Bahasa Melayu.

Isteri Abang Man ni antara ‘minah saleh’ yang aku kenal mengamalkan Islam dengan baik. Bertudung, solat, dan juga aktif berdakwah di Jerman. Dia bahasakan diri dia ‘akak’.

Macam mana aku boleh kenal Abang Man Mogort ni? Aku kenal dia daripada Iggy. Siapa pulak Iggy ni? Iggy ni lah partner aku berkayuh dari Europe balik Malaysia tu. Sorang lagi partner bernama Azmeer. Kami bertiga.

Aku, Iggy dan Azmeer ni pada asalnya tak kenal satu sama lain pun. Tak pernah kenal dan tak pernah jumpa di Malaysia. Kami hanya kenal di Facebook. Aku pun tak pasti macam mana aku boleh kenal dengan Iggy ni di Facebook. Tapi ada satu masa tu sewaktu aku baru nak berjinak-jinak dalam dunia pengembaraan ni, memang aku ‘add friend’ je sesiapa yang suka mengembara atau pengembara dari Malaysia sebab aku nak tambah kenalan atau masuk ‘circle’ pengembara-pengembara ni. Mungkin waktu tu aku rasa tertarik dengan cerita kembara Iggy di Russia dan negara-negara Baltik kalau tak silap aku, sebab tu aku add friend.

Sewaktu aku duduk di United Kingdom pada musim sejuk dan ‘backpacking’ di negara-negara Eropah Barat semasa musim panas, aku kerap juga nampak update Iggy ni sedang mengembara dengan basikal. Dia bersama Azmeer telah memulakan kayuhan dari London dan sedang menuju ke arah Timur.

Iggy dan Azmeer ni pun sebenarnya tak kenal satu sama lain. Mereka bertemu secara kebetulan di London pun atas dasar kawan kepada kawan. Pada asalnya, Azmeer ada idea nak mengembara dengan basikal tapi geng-geng dia semua tarik diri. Tinggal dia sorang-sorang. Masa terjumpa Iggy di London tu, Azmeer berkongsi idea untuk mengembara dengan basikal kepada Iggy. Tanpa diduga, Iggy pun berminat dan terus ‘on’ tanpa ragu-ragu. Terus mereka membuat persiapan dengan membeli basikal second hand di London dan memulakan perjalanan dari London menuju ke arah Timur.

Pada masa yang sama, aku pula sedang ‘backpacking’ di Eropah Barat, tetapi merasakan seperti poket sedang bocor. Duit banyak mengalir keluar. Lebih-lebih lagi bila mengembara semasa musim panas atau dipanggil ‘peak season’, kos menjadi lebih tinggi. Harga-harga penginapan pun akan naik dan menjadi rebutan bila musim panas disebabkan ramai orang sedang mengembara dan bercuti ketika musim panas. Tambahan pula, negara-negara Eropah Barat ni lebih mahal berbanding negara-negara di Eropah Timur atau Asia.

Sewaktu di Paris, aku mula rasa gelisah melihat duit dalam akaun bank surut dengan laju. Rasa cemas sebab aku dapat rasakan misi aku akan gagal di pertengahan jalan kerana kehabisan wang. Aku memang berniat ingin mengembara dari UK balik ke Malaysia dengan menggunakan jalan darat. Tak kira dengan apa cara pun, aku meletakkan syarat yang aku tidak akan sekali-kali ambil kapal terbang. ‘Overland’ atau menggunakan jalan darat 100% (termasuk lah menggunakan bot, feri, kapal laut).

Dalam keresahan mencari alternatif untuk memastikan misi aku ni berjaya, tiba-tiba aku teringat dekat Iggy. Terus aku PM Iggy di FB Messenger.

“Salam bro. Plan cycling sampai Malaysia ke?”

“Waalaikumussalam. Tengok rezeki dan keadaan dulu bro. Jauh lagi. Sekarang dekat Zagreb”, Iggy membalas.

“Ohh. Berapa lama lagi plan ni? Haritu beli basikal kat mana? Ingat nak cari satu. Takde freedom nak bergerak kalau hitchhiking and public transport memanjang. Duit pun cepat habis. Haha. Baik aku beli basikal satu”, aku membalas semula.

Kemudian kami pun berbalas-balas mesej dengan tujuan utama aku adalah untuk mendapatkan info di mana aku boleh beli basikal di Eropah ini dan info mengembara dengan basikal. Maklum lah, ini kali pertama aku nak cuba berbasikal dan aku tak tahu menahu tentang basikal pun. Nak repair tayar basikal bocor pun aku tak tahu sebab aku tak pernah ada basikal (dulu waktu kecik-kecik ada lah basikal, tapi tu lain). 

Mengembara dengan basikal ni sebenarnya ada dalam pengetahuan aku juga, cuma aku belum ada pengalaman melakukannya, sebabnya aku pernah menjadikan rumah aku di Batu Pahat, Johor sebagai tempat persinggahan pengembara-pengembara luar, majoritinya datang dari Eropah. Aku pernah berjumpa dengan ramai ‘mat dan minah saleh’ yang pernah mengembara dengan basikal dalam jarak yang sangat jauh beribu-ribu kilometer dan makan tahun. Jadi, cerita mengembara dengan basikal memang tak asing bagi aku.

Dalam plan kembara aku dari UK sampai ke Malaysia ni dengan jalan darat, aku pun ada niat juga nak menggunakan basikal. Pada asalnya, aku nak beli basikal apabila aku sudah berada di kawasan Asia, tak tahu pula aku terdesak dan secepat ini aku ingin mencari basikal.

Setelah beberapa ketika berhubung dengan Iggy melalui FB Messenger, dia memberitahu aku bahawa ada seorang kawan dia di Koln, Jerman ni memiliki sebuah basikal touring yang dah siap, dan dia sudi nak jual kat aku dengan harga 250 Euro (RM1,200 ketika itu). Kawan dia ni orang Malaysia, Abang Man Mogort namanya. Tanpa berlengah, aku terus mencari tiket bas dari Paris, terus ke Koln untuk bertemu dengan Abang Man Mogort.

Aku tinggal di Koln selama seminggu di rumah Abang Man sementara kami menunggu aksesori-aksesori basikal aku yang dibeli di ebay untuk sampai. Disebabkan aku memang tak tahu menahu langsung tentang basikal, jadi semuanya diuruskan oleh Abang Man dari setting basikal, sehinggalah setting aksesori. Aku tinggal ‘ride’ je dan keluar lagi tambahan duit sebanyak 250 Euro untuk semua aksesori sehingga siap. Jumlah keseluruhan untuk basikal dan aksesori, lebih kurang 500 Euro (RM2,400 pada ketika itu).

Aku cuma tahu basikal ni adalah basikal hybrid, city bike yang telah diubah suai menjadi touring bike menggunakan frame jenama Felt keluaran Jerman. Group set menggunakan Shimano Alivio 3 x 9 speed. Sistem brek V-brake. Tayar size 28 inchi. Lain-lain aku tak tahu, kalau ditanya gigi gear berapa pun aku tak tahu nak jawab sebab aku tak ada ilmu sangat tentang basikal.

Aksesori paling mahal yang ada pada basikal ni pun cuma saddle (tempat duduk) jenama Brooks second hand dan panniers (beg) 4 buah jenama Ortlieb Classic second hand. Pada waktu tu, aku tak tahu pun yang Brooks dan Ortlieb ni adalah jenama terpaling unggul dalam dunia touring basikal.

Frame basikal ni pun sebenarnya agak besar berbanding saiz badan aku sebab basikal ni dibuat ikut saiz badan orang Eropah, tapi bagi aku waktu tu, lantak lah. Janji boleh bergerak. Tak kisah sakit-sakit badan sebab bike fitting tak betul.

Sewaktu bersembang dengan Iggy di FB Messenger, aku ada juga cakap dengan dia yang aku akan cuba kejar mereka slow-slow, yang pada ketika itu mereka sudah berada di Croatia. Iggy mencadangkan aku untuk mengambil bas bernama FlixBus dari Koln, Jerman ke Split, Crotia dan kami bertiga akan bertemu di Split nanti. Ini kali pertama aku tahu bahawa bas-bas di Eropah ada kemudahan untuk membawa basikal, dengan sedikit bayaran tambahan. Ada rack carrier pada belakang bas yang boleh mengikat basikal. Sepanjang perjalanan dari Koln, Jerman, transit dan tukar bas di Prague, Czech Republic, dan setibanya di Split, Croatia, aku sentiasa risau je, takut-takut basikal tu tiba-tiba terjatuh atas jalan.

Alhamduliullah, basikal selamat.

Sebenarnya sewaktu di Koln tu pun, basikal aku nyaris-nyaris tak selamat juga. Sewaktu menginap di rumah Abang Man, kami selalu juga keluar ke pusat bandar untuk mencari aksesori basikal dan berjumpa dengan kawan-kawan dari Malaysia. Untuk bergerak di dalam bandar Koln ni, mudah bergerak dengan menggunakan Metro / Train. Dari rumah Abang Man untuk ke stesyen Metro terdekat, kami menggunakan basikal dan basikal kami tinggalkan di stesyen Metro.

Hari tersebut kami keluar pagi, dan pulang agak lewat malam. Jadi kami tinggal dan kunci basikal kami di stesyen tersebut dari pagi hingga ke lewat malam. Ada parking basikal disediakan di dalam stesyen Metro tersebut. 

Sewaktu kami tiba di stesyen Metro tersebut untuk pulang ke rumah Abang Man, kami perasan ada sekumpulan budak-budak dalam 5,6 orang juga sedang mengelilingi basikal kami. Salah seorang daripada budak-budak tersebut merehatkan tangannya di atas saddle (tempat duduk) basikal aku.

Bila mereka nampak kami datang ke arah basikal tersebut, mereka terus bergegas pergi dan hilang dari pandangan. Tak ada basikal lain di situ, basikal kami berdua je. Mula-mula aku tak rasa curiga pun dengan budak-budak tu, tetapi sewaktu aku membuka kunci basikal aku, aku perasan terdapat kesan-kesan torehan dan potongan pada kabel kunci basikal tersebut. Berani betul budak-budak ni nak curi basikal kami.

Nasib baik kabel kunci basikal tersebut tebal dan keras, susah nak dipotong. Kalau tak, lesap dah basikal aku, gagal lah rancangan aku untuk berbasikal.

Alhamdulillah basikal selamat.

Setelah 39 jam perjalanan dari Koln dengan bas, aku pun tiba di terminal bas di Split, Croatia. Sesampainya di Split, aku terus menghubungi Iggy untuk bertanyakan di mana lokasi untuk bertemu. Iggy share location kepada aku tempat mereka menunggu, dan aku perlu berkayuh dari terminal bas ke lokasi tersebut yang jaraknya 7 kilometer dari terminal bas.

7 kilometer tersebut adalah kayuhan pertama aku tanpa sebarang pengalaman dan kayuhan yang paling seram pernah aku rasakan. Sudahlah pertama kali berkayuh, di tempat orang pula tu, di tengah-tengah bandar yang sibuk. Walaupun cuma 7 kilometer, entah berapa kali aku salah jalan, aku sesat, aku bingung, aku blur. Ada mendaki bukit pulak tu. First time yang menakutkan untuk aku sebelum aku bertemu Iggy dan Azmeer selepas itu.

Dari 7 kilometer yang menakutkan, sekarang aku telah berkayuh beribu-ribu kilometer dengan lebih berani. Dengan basikal ini sahaja aku telah berkayuh lebih kurang 14,000 kilometer. Tahun ini adalah tahun keenam aku terjebak dalam dunia mengembara berbasikal atau dipanggil ‘bike touring’ dan aku telah mengembara di 20 buah negara dengan basikal. Basikal pun dah ada 4 buah sekarang. Itu sahajalah harta yang paling berharga yang aku ada sekarang ni, basikal dan pengalaman.

Untuk mengambil langkah pertama itu bukan mudah. Aku bukanlah ada keberanian sangat untuk memulakan, tetapi disebabkan aku terdesak dengan duit yang mengalir keluar sangat laju, aku jadi terdesak untuk membuat keputusan menukar cara aku mengembara. Rezeki juga ada kenalan yang memudahkan aku untuk memulakan pengembaraan berbasikal ini. Abang Man Mogort, Iggy, Azmeer dan rakan-rakan lain. 

Alhamdulillah dipermudahkan langkah pertama aku. Kemudian, the rest are history. 

Banyak kisahnya sepanjang perjalanan 6 tahun ini yang dapat memberikan pengalaman, pengajaran, membuka mata aku dan menjadikan siapa diri aku sekarang. Kalau aku ada masa dan datang mood menulis, insyaallah aku akan kongsikan lagi. Huhu.

Sumber : Fb Amir Arsad

Khamis, 25 Julai 2024

Isu derma syarikat arak: KPM masih membungkam tentang keputusan kabinet

 malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 25, 2024 4:33 PM


Lebih 24 jam sudah berlalu selepas jemaah menteri bermesyuarat, namun Kementerian Pendidikan (KPM) masih membungkam dan gagal tampil menjelaskan isu derma untuk sekolah vernakular Cina.

Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Menteri Pendidikan Fadlina Sidek akan menjawab berkaitan keputusan itu.
Fahmi Fadzil
Sebelum ini, akhbar harian Cina yang memetik sumber mendakwa jemaah menteri memutuskan bahawa garis panduan Kementerian Pendidikan yang melarang penerimaan dana daripada syarikat produk tembakau atau alkohol tidak terpakai ke atas sekolah bukan Islam dan Cina.

Kedua-dua pemimpin DAP dan MCA kemudiannya mengambil kredit berhubung keputusan itu, yang sekali gus memberi kredibiliti terhadap laporan berita itu.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata keputusan itu adalah sama seperti ketika partinya berada dalam kabinet.
Teresa Kok (kiri) bersama Wee Ka Siong
"Bagus, tetapi kamu secara paksa menjadikan sekolah Cina sebagai sasaran.

“Sekarang kabinet telah mengembalikan dasar semasa MCA berada dalam kabinet, dan kamu mengharapkan orang ramai supaya berterima kasih?"

"Ia seperti majikan yang menahan gaji tanpa sebab, dan selepas membuat kecoh, akhirnya gaji dibayar. Adakah majikan perlu dipuji kerana itu?" soalnya dalam satu catatan Facebook.

Sebelum ini, pemimpin DAP, termasuk Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin, menegaskan bahawa garis panduan KPM itu dikeluarkan pada Mac 2018 ketika MCA menjadi sebahagian daripada kerajaan BN.

Sementara itu, Naib Presiden DAP Teresa Kok, sebagai respons kepada keputusan kabinet yang dilaporkan, memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan kerana menghormati tradisi masyarakat Cina.

Ahli Parlimen Seputeh itu turut memuji Loke kerana "berani mempertahankan kepentingan masyarakat Cina" pada mesyuarat kabinet.
Fadlina Sidek
Pada Selasa lalu, Fadhlina menolak mengecualikan sekolah Cina daripada garis panduan itu mahupun kemungkinan ia disemak semula.

Susulan itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata dia akan memohon jemaah menteri supaya mempertimbangkan semula keputusan berkenaan. Namun, ini mendapat bidasan daripada Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh.

Isu itu menjadi kontroversi selepas PAS menyasarkan Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu yang dirakam memegang cek replika di sebuah sekolah Cina di Selangor yang memaparkan logo bir jenama Tiger.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh kemudiannya menjelaskan bahawa Tiger, yang dimiliki oleh Heineken Malaysia Bhd, telah menjalankan kutipan derma untuk sekolah vernakular Cina selama tiga dekad.

Ini menyaksikan cetusan kecaman dan saling tuduh-menuduh antara pemimpin kerajaan dan pembangkang, dengan Aiman, yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, menggelar pemimpin PAS sebagai "hipokrit".

Aiman membidas, pemimpin PAS yang menurutnya, sebelum ini tidak pula mempunyai masalah bersalam dengan orang bukan Islam yang sedang minum arak atau makan babi.

Perbalahan menjadi semakin hangat apabila dua kumpulan pendidikan Cina turut menuduh PAS cuba mencetuskan ketegangan kaum dengan menjadikan isu itu sebagai modal politik.

-Wak Labu Farm 

Kak KM ubah penampilan seksi, tak janji pakai tudung selepas umrah

 

USAHAWAN Liana Rosli memohon orang ramai tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dia menutup aurat sepenuhnya selepas pulang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

Liana atau mesra disapa Kak KM sebaliknya berkata, dia masih belum bersedia untuk mengubah penampilannya kerana merasakan belum masanya dia berbuat demikian.

“Memang beribu-ribu saya dapat komen fasal umrah, mereka (netizen) nak tengok saya pakai tudung ke tak.

Liana berniat untuk tidak lagi berpenampilan seksi.

“Jangan letak harapan terlalu tinggi, saya bukan ustazah… Saya hanya orang biasa dan saya belum dapat lagi ‘rasa’ nak pakai tudung.

“Insya-Allah akan sampai satu masa itu (berhijab) tapi buat masa ini memang belum lagi,” katanya.

Liana menjelaskan dia tidak mahu memakai tudung hanya kerana desakan orang lain kerana bimbang ia tidak akan kekal lama.

Kongsi Liana, biarlah niat untuk bertudung itu ikhlas datang dari hatinya sendiri tanpa sebarang paksaan.

“Saya tidak mahu balik-balik umrah terus pakai tudung. Memang ada rasa nak pakai tapi nanti takut tak sampai setahun buka tudung semula.

Mungkin saya akan jaga cara pemakaian, seksi itu memang insya-Allah dah tak ada.

LIANA ROSLI

USAHAWAN SENSASI

“Saya tak mahu jadi seperti itu. Biarlah saya pakai tudung bukan kerana orang yang suruh.

“Saya punya perangai bukan dengar cakap orang, saya akan ikut hati sendiri, katanya.

Pun begitu kata Liana, selepas ini dia akan lebih menjaga pemakaiannya dan tidak akan berpakaian seksi.

Kak KM mahu memakai tudung atas niatnya sendiri.

“Mungkin saya akan jaga cara pemakaian, seksi itu memang insya-Allah dah tak ada.

“Kalau pakai baju apa-apa kena pakai cover seperti jaket. Ini perkara pertama yang saya akan cuba buat dulu,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, Kak KM berangkat menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci dengan ditemani oleh dua orang ibu saudaranya.

-keramatviral.com