Isnin, 17 Ogos 2020

PRN SABAH ~ Yong Teck Lee Minta Darell Leiking Tanding calon Bebas, lepas bagasi Warisan

Presiden SAPP Yong Teck Lee.

KOTA KINABALU: Presiden SAPP, Yong Teck Lee mencadangkan supaya timbalan presiden Warisan, Darell Leiking melepaskan beban beratnya dalam parti itu dengan bertanding di Moyog sebagai calon Bebas pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, dengan berbuat demikian, Darell yang juga ahli Parlimen Penampang akan meninggalkan legasi indah dan berada di lipatan sejarah yang akan diingati.

“Setiap kali Darell menjadi emosional dalam mempertahankan Warisan daripada cakap-cakap yang mengatakan parti itu mesra pendatang asing tanpa izin, beliau juga seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada versi Warisan sekarang.

“Dalam catatan umum, pemimpin tertinggi Warisan menjanjikan tanah dan pulau untuk pendatang asing tanpa izin serta pelarian, malah seorang menteri Kabinet Warisan, Junz Wong, merancang untuk menebus guna 200 ekar kawasan laut di DUN Tanjung Aru, untuk setinggan di Pulau Gaya.

“Seorang lagi pemimpin Warisan, Azis Jamman, sewaktu menjadi timbalan menteri dalam negeri terkenal kerana memberi alasan bahawa Filipina tidak mahu mengambil balik orang yang dihantar pulang dari Sabah.

“Manakala itu, ketua menteri, yang merupakan presiden Warisan, berulang kali mengumumkan kebenaran penggunaan ‘bot pam” walaupun pasukan keselamatan tahu bahawa bot itu merupakan kaedah pengangkutan kegemaran penyeludup dan penjenayah di kawasan maritim zon timur Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yong berkata, sebelum ini Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan kerajaan terdahulu dipertahankan oleh seluruh kepimpinan Warisan serta sekutunya dan hanya selepas kalah pada pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, barulah sokongan itu dihentikan.

“Pada masa yang sama, kita tidak mendengar dan tidak melihat apa-apa mengenai Warisan melakukan tindakan untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Di Penampang, semua orang mengingati janji Darell yang tegas dan jelas untuk membatalkan empangan Kaiduan, yang kini dinamakan semula sebagai empangan Papar.

“Semasa Darell masih menjadi anggota kanan Kabinet persekutuan, rakan kabinetnya Xavier Jayakumar, Menteri Air (dan Sumber Asli), mendedahkan bahawa kerajaan Warisan Sabah meluluskan projek empangan Papar.

“Jelas Darell menyerah kalah kepada individu lebih berkuasa dalam Warisan dan kini beliau terpaksa menanggung beban berat empangan Papar serta isu pendatang tanpa izin,” katanya.

Yong berkata, khabar angin mengatakan Darell akan bertanding di Inanam juga bermaksud beliau kini berdepan kesukaran untuk mendapat tempat sendiri di Moyog.

“Sekiranya Darell menerima nasihat saya supaya bertanding sebagai calon Bebas di Moyog, maka beliau akan melepaskan bagasi Warisan yang berat dan meletakkan dirinya dalam lipatan sejarah,” katanya lagi.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan