PENDAPAT
Muhyiddin dalam keadaan tidak menentu? |
SUDAH lebih empat bulan Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri. Sudah cukup atau habis pantang
jika tempoh pantang itu diambil sempena dengan tempoh sesuatu pantang menurut budaya Melayu, yakni 100 hari. Muhyiddin jadi PM sudah masuk hari ke 169.
jika tempoh pantang itu diambil sempena dengan tempoh sesuatu pantang menurut budaya Melayu, yakni 100 hari. Muhyiddin jadi PM sudah masuk hari ke 169.
Nasib Muhyiddin sebagai PM berbeza dengan apa dilalui PM-PM sebelum ini kerana beliau jadi PM secara luar biasa. Beliau bukan mengambil alih secara semula jadi seperti mana berlaku sebelum ini, selepas PM berhenti atau sesudah selesai pilihan raya umum.
Kerana kelainan itu menyebabkan beliau jadi PM dalam keadaan kontroversi dan timbul perdebatan hangat. Justeru kedudukan beliau pro kontra. Ada yang sayang dan ada yang benci kepadanya.
Walaupun tindakan beliau jadi PM menjadi persoalan, tetapi ia sah dari sisi undang-undang. Kedudukannya tidak boleh dipertikaikan. Soal ia cukup nombor (majoriti mudah) atau tidak, itu soal lain, secara perlembagaan beliau sudah sah jadi PM.
Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan negara menjelaskan Yang DiPertuan Agong mempunyai kuasa untuk melantik seorang ahli parlimen setelah memenuhi syarat-syaratnya seperti setelah seseorang itu mendapat sokongan majoriti ahli parlimen. Muhyiddin memenuhi syarat-syarat berkenaan.
Lantaran pelantikan beliau kontroversi, ada ura-ura undi tidak percaya akan dikemukakan terhadapnya di parlimen bagi mengesernya. Wakil Langkawi (Mahathir Mohamad) sudah mengemukakan notis usul berkenaan dan sudah diterima. Bagaimana pun PKP dan ancaman Covid-19 yang melanda dunia dan negara jadi penghalang dan penyelamat Muhyiddin. Usul itu tidak dibawa kerana parlimen hanya bersidang sekerat hari sahaja.
Kegagalan untuk membentang usul berkenaan juga berlaku pada sidang parlimen yang sedang berlangsung sekarang ini, bila mana Muhyiddin bertindak memecat speaker Mohamad Ariff Md Yusuff dan digantikan dengan bekas Pengerusi SPR Azhar Azizah Harun orang yang dipercayainya.
Apa dilakukan Muhyiddin itu perkara biasa. Sesiapa pun selaku pemegang jawatan apa lagi dalam keadaan tidak kukuh dan terancam akan melakukan apa juga tindakan bagi mengukuhkan kedudukannya dan mengelakkan calar aib ke muka.
Apa yang paling ditakuti Muhyiddin ialah undi tidak percaya kepadanya di parlimen. Walaupun ada keadah-kaedah lain boleh dilakukan untuk menafikan atau mencabar kedudukannya, misalnya menerusi kelulusan sebarang rang undang-undang atau bajet tahun hadapan, tetapi dengan kejayaan menukar speaker itu sudah menenangkan sedikit Muhyiddin. Muhyiddin sudah boleh menarik nafas lega.
Persoalannya sekarang ini apakah wajar dan perlu Muhyiddin dan kerajaan PN diganggu? Ini satu perkara baru yang molek kalau ditilik sedalam-dalamnya. Apakah sekiranya Muhyiddin digugurkan ia menyelesaikan beberapa perkara utama berhubung dengan negara?
Kita tahu sekarang ini keadaan negara dengan ancaman Covid-19, politik pula tidak stabil apabila berlaku kudeta situasi kini tidak kondusif untuk sebuah negara seperti Malaysia. Justeru semua pihak perlu meralat balik segala tindakan politik masing-masing. Tidak ada keperluan dan bukan satu tindakan baik kalau kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin hendak diganggu. Semua pihak perlu melihat kepada nasib negara di masa akan datang.
Covid-19 menjadi satu halangan dan cabaran besar kepada negara yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab Muhyiddin dan kerajaan hari ini sahaja mengatasinya, tetapi semua termasuk juga oleh pembangkang, pihak swasta dan seluruh rakyat. Apa kena diterima takdir Covid bukan untuk dihadam oleh Muhyiddin sendiri, itu hanya kebetulan sahaja, sebaliknya petaka itu untuk semua orang.
Walaupun apa yang berlaku itu (kudeta) sesuatu yang mengecewakan, dan kita semua marah, tetapi dengan keadaan sekarang semua pihak harus berfikir dan meletakkan kepentingan negara di hadapan daripada segala-galanya. Marah kena diturunkan suhunya.
Muhyiddin perlu dibantu atas dasar membantu negara. Lagipun dalam tempoh menjadi PM beliau tidak melakukan kerosakan-kerosakan besar kepada negara. Dengan mengambil kira apa yang berlaku 25 Februari itu, satu takdir atas kelalaian sendiri, maka semua pihak kena fokus ke hadapan, melihat nasib negara.
Secara umumnya sejak menjadi PM, Muhyiddin belum melakukan dosa-dosa besar. Perubahan drastik yang tempang tidak berlaku. Belum ada dosa besar seperti mana dilakukan Najib Razak. Bahkan apa yang dibimbangi kepada beliau agak meleset.
Sebelum ini ada pemerhati menyangka Muhyiddin akan melakukan sesuatu diluar kesukaan umum demi mempertahankan dirinya. Beliau diduga akan campur tangan dalam proses undang-undang yang sedang dihadapi Najib dengan tujuannya campur tangan itu mengukuhkan kedudukannya. Hakikatnya tidak berlaku begitu.
Apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 jta terhadap Najib kerana didapati bersalah ke atas ketujuh-tujuh tuduhan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan rasuah, ia memberi gambaran Muhyiddin tidak masuk campur dalam proses itu.
Kenyataan dikeluarkannya sebagai reaksi kepada apa divoniskan Mahkamah Tinggi terhadap Najib itu Muhyiddin menyeru semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.
Katanya beliau memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah namun beliau menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.
Dalam kenyataan itu juga Muhyiddin berkata kerajaan menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.
Dengan kenyataan dan sikap beliau itu, Muhyiddin masih mematuhi apa yang dikatakan sebelum ini. Kenapa beliau tentang Najib sehingga dipecat sebagai TPM ialah kerana tidak bersetuju dan mahu bersekongkol dengan Najib melakukan penyelewengan.
Bagaimanapun Muhyiddin terkesan dan menerima "getah nangka" di sebalik keputusan itu dan ketegasannya. Orang-orang Umno yang masih setia dan sayang kepada Najib sehingga menganggapnya sebagai "boosku" walaupun mahkamah sudah menjatuhkan hukuman, marah dengan Muhyiddin, menganggap Muhyiddin tidak membalas budi. Kononnya kejayaan Muhyiddin melakukan kudeta tempoh hari adalah atas pertolongan Najib (Umno).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan segera, mengumumkan Umno menarik diri daripada kerajaan PN. Tegasnya Umno hanya akan bekerjasama dengan Pas sahaja menerusi Muafakat Nasional (MN) dan tidak akan sedia untuk bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional. Kenyataan Zahid itu dilihat sebagai mengancam Muhyiddin ekoran keputusan mahkamah itu.
Walaupun Zahid tidak menyebut tindakan segera itu kerana sebagai amaran tidak setuju dengan Muhyiddin, tetapi itulah apa yang dimaksud sebenarnya. Sehubungan itu pemerhati melihat kedudukan dan keadaan Muhyiddin sedikit tergugat dan tidak begitu selesa. Betapa tidak kalau Umno menarik sokongan kepada PN diperingkat parlimen, kerajaan PN boleh tumbang dan Muhyiddin akan terguling.
Bukan Zahid sahaja memberi ancaman kepada Muhyiddin, tetapi beberapa pemimpin Umno lain yang kecewa dengan tindakan Muhyiddin melawan Umno yang berpakat dengan Mahathir tubuh Bersatu ikut membuat kenyataan yang mereka akan bertanding semua kerusi tradisi Umno. Kenyataan itu memberi gambaran mereka tidak akan memberi laluan kepada Bersatu untuk memiliki banyak kerusi parlimen dalam pilihan raya nanti.
Situasi ini mengganggu perasaan Muhyiddin. Tentunya Muhyiddin tidak menerimanya seadanya sahaja tanpa memikirkan tindakan lanjut. Beliau tentu bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan berlaku berpaling tadah daripada Umno.
Sekiranya Muhyiddin masih berhasrat untuk jadi PM selepas Piraum nanti, beliau kena melakukan sesuatu termasuk pendekatan drastik. Atau pun sekurang-kurangnya kalau beliau berhajat untuk berundur selepas sehingga tamat parlimen ke 14 beliau kena merancang sesuatu.
Di sini saya melihat ada beberapa pendekatan yang boleh dilakukan oleh Muhyiddin. Salah satu ialah menerima pandangan diberikan oleh penganalisa politik dan juga seorang akademik Dr Mazlan Ali yang mencadangkan Muhyiddin bermuafakat dengan Anwar Ibrahim.
Menurut Dr Mazlan sekiranya Muhyiddin mahu mencari tempat bergantung bagi menyelamatkan maruahnya, maka Anwarlah sebagai dahan yang kukuh.
"Dengan kedudukan 113 kerusi, dan kedudukan kerajaan PN yang semakin lemah dengan keuzuran MP Maximus Ongkili serta hukuman 12 tahun penjara dan 210 juta denda yang dihadapi Najib Razak, Muhyiddin hampir pasti sedang mencari dahan bertaut yang baru, dan satu-satunya pilihan yg ada bagi Muhyiddin adalah menghulurkan tangan kepada Anwar Ibrahim yang dilihat mampu menyelamatkan kerajaannya." demikian kata Mazlan.
Turut Mazlan lagi, Muhyiddin tidak ada masalah dengan Anwar kerana beliau boleh menerima kerana track record menunjukkan Anwar adalah seorang ahli politik berprinsip sejak empat dekad yang lalu.
Bagi Mazlan kalau Anwar menyambut tangan Muhyiddin ia tidak menjadi kudis bagi Anwar sedangkan Mahathir yang terkenal sebagai mengkhianati dan mempermain-mainkannya juga disambut olehnya.
Sebenarnya bukan sahaja mengambil Anwar sebagai dahan untuk bergantung, tetapi Muhyiddin juga boleh merujuk semula kepada PH. Sekiranya Umno dan Pas (MN) serius untuk menafikan Muhyiddin dan Bersatu, tidak salah kalau beliau bawa Bersatu berpatah balik. Tidak menjadi sesuatu yang ganjil untuk berbuat begitu kerana dalam politik semua boleh berlaku.
Dalam pada itu memetik pandangan seorang pemimpin kanan dalam Parti Amanah Negara (Amanah) beliau bersetuju memberi laluan kepada Muhyiddin menjadi PM sehingga habis penggal. Katanya, beliau secara peribadi boleh menyokong Muhyiddin dengan hanya satu syarat sahaja, Muhyidddin memberikan peruntukan kepada semua ahli parlimen.
"Kita boleh sokong dan benarkan dia jadi PM sampai habis, dengan syarat dia sedia untuk mengembalikan semangat dan amalan demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan PH sebelum ini yang beliau (Muhyiddin) juga berada di dalamnya dimana semua ahli parlimen diberikan peruntukan tanpa mengira ideologi politik," ujarnya.
Ujar pemimpin itu tidak guna kalau kita jatuhkan Muhyiddin tetapi keadaan negara dan politik tidak stabil.
Kesimpulannya jalan keluar untuk Muhyiddin menyelamatkan diri daripada diganggu dan kerajaannya terancam sudah ada. Terserah kepada kebijaksanaan Muhyiddin dan kepada siapa yang beliau lebih mempercayai. [wm.kl/2:50 pm 06/08/2020]
0 ulasan:
Catat Ulasan