Mungkin ramai yang terlupa atau ada yang tidak tahu pun, bahawa tarikh 31 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi hakikat inilah yang kita perlu ingat dan hargai, bahawa asal negara ini adalah Tanah Melayu dan kita perlu berbangga dengannya.
Banyak kecemerlangan yang dikecapi bersama sebagai satu negara yang berdaulat, dan banyak juga peristiwa pahit getir yang kita lalui bersama. Maka, pengalaman-pengalaman ini sepatutnya mematangkan diri, menguatkan identiti dan semakin izzah dengan apa yang ada.
Namun, saban tahun ramai yang membangkitkan persoalan "Merdekakah Kita?". Jawapan yang biasa adalah "secara fizikalnya kita merdeka, tetapi pemikiran masih terjajah". Itu benar, dan saya tidak mahu mengulanginya lagi kerana kita semua faham akan hakikat tersebut.
Saya ingin membawa persoalan; selepas 63 tahun Tanah Melayu merdeka, sebanyak manakah kita mampu membina bangsa mengikut acuan sendiri? Ini kerana masih banyak perkara yang kita gagal laksanakan sebagai sebuah bangsa yang merdeka.
Lihat sahaja bagaimana hasrat nenek moyang kita dulu, mereka sanggup menukar tulisan Bahasa Melayu dari sistem tulisan Jawi kepada Rumi hanya untuk meraikan kaum-kaum lain bagi memudahkan mereka menerima bahasa kebangsaan. Tetapi lihatlah hari ini. Bukan setakat ramai yang masih gagal berbahasa kebangsaan, malah tulisan Jawi dipijak-pijaknya pula. Lebih teruk, tulisan-tulisan selain Rumi pula mula diletakkan di papan-papan tanda dengan alasan ada rakyat yang tidak boleh memahami Bahasa Melayu dalam Rumi.
Lihat pula bagaimana nenek moyang kita bertoleransi dengan menghapuskan sekolah aliran Melayu untuk dijadikan satu sistem pendidikan untuk semua tetapi tidak diendahkan pun. Bukan setakat gagal mengikut aspirasi sekolah satu aliran, malah sekolah vernakular semakin banyak dan semakin diperkasakan melalui pelbagai peruntukan, tatkala sekolah-sekolah kebangsaan di pendalaman masih banyak yang daif.
Itu belum lagi kita bicara mengenai tanah-tanah Rezab Melayu yang sudah kurang dari 10 peratus. Puas kita merayu-rayu untuk kerajaan bertindak, tetapi nampaknya sia-sia. Tiba-tiba apabila bangsa lain ceroboh tanah, dibiarkan sahaja dan akhirnya sampai tahap dibela lagi.
Ditambah lagi dengan pelaksanaan undang-undang berkenaan Islam, seringkali gagal dilakukan dengan alasan "tidak cukup ahli parlimen Melayu". Tetapi apabila tiba pilihanraya, kerusi-kerusi Melayu digadainya pula kepada bukan Melayu. Wakil-wakil rakyat Melayu pula ramai yang hanya fikir bagaimana mahu kekal kuasa dan memperkasa parti masing-masing sahaja.
Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu untuk berfikir sejenak, sampai bilakah kita mahu dicengkam dengan helah-helah politik yang sebenarnya banyak terbukti kepincangannya? Kita perlu bijak berfikir, tidak terlalu naif dan taksub serta berani bersuara sebagai rakyat Malaysia yang merdeka.
Kalau ditanya kepada saya; apakah impian kemerdekaan yang saya inginkan? Maka saya akan berkata; "Saya inginkan SISTEM POLITIK BAHARU DENGAN PEMIMPIN BAHARU!”.
Selamat Hari Kemerdekaan !
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
31 Ogos 2020
#MembangunUmatBeragenda
#MengangkatSuaraUmat
____
▪️Berjuang bersama kami: ahli.isma.my/register
▪️Telegram: telegram.me/aminuddinyahaya
▪️Twitter: www.twitter.com/AminuddinYahaya
Kopek Ikan Bilis Beli Di Tik Tok
29 minit yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan