Selasa, 18 Ogos 2020

Azmin untung bila wajahnya tidak jelas - Puad Zarkashi


Selepas kumpulan Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan menyertai Bersatu secara rasmi pada 22 Ogos ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Puad Zarkashi mempersoalkan kemampuan mereka meraih sokongan sama seperti ketika pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya, dengan menyertai Bersatu, Azmin akhirnya menunjukkan wajah sebenar, sedangkan, Azmin sebenarnya lebih beruntung ketika wajahnya tidak jelas.

Sebagai contoh, Puad mengimbau bagaimana ketika bersama PH, Azmin yang tidak sehaluan dengan partinya PKR masih mendapat empat jawatan menteri, sedangkan penyokong pro-Anwar hanya mendapat tiga jawatan menteri.

Begitu juga, kata Puad, semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN), Azmin dilantik menjadi menteri kanan walaupun tidak mempunyai sebarang parti.

“Azmin nampaknya sentiasa untung bila wajahnya tidak jelas.

“Tetapi apabila menyertai Bersatu barulah wajah Azmin nampak jelas. Cuma bila wajah sudah jelas, bolehkah Azmin menang lagi di Gombak?

“Setelah menyertai Bersatu, bukan mudah bagi Azmin dan kumpulannya meraih sokongan solid (padu) orang Cina seperti di PRU-13 dan 14,” katanya.

Untuk rekod, Azmin adalah penyandang kerusi Parlimen Gombak selama tiga penggal.

Pada PRU 2018, Azmin menang di Gombak dengan majoriti 48,721 undi, dalam pertarungan tiga penjuru menentang Umno-BN dan PAS. Bersatu yang ditubuhkan empat tahun lalu, belum pernah teruji di kerusi Gombak.

Gombak adalah kerusi majoriti Melayu dengan seramai 77 peratus pengundi Melayu, manakala pengundi Cina dan India masing-masing sekitar 11 peratus pengundi.

Selain Gombak, Azmin juga menang kerusi DUN Bukit Antarabangsa, yang terletak di kawasan parlimen Gombak sejak PRU 2008.

Kata Puad, penyertaan kumpulan Azmin ke dalam Bersatu akan menjadikan Bersatu mempunyai dua orang menteri kanan.

Selain Azmin, Perdana Menteri Muhyiddin Yasin melantik Mohd Radzi Md Jidin dari Bersatu, Ismail Sabri Yaakob dari Umno-BN, dan Fadillah Yusof dari GPS sebagai menteri kanan, masing-masing mengendalikan kluster pendidikan dan sumber manusia, keselamatan dan infrasturktur.

Beberapa hari lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata kumpulan Azmin- seramai 10 ahli parlimen bekas PKR- akan secara rasmi menyertai Bersatu pada 22 Ogos ini.

"Kita cuma sebahagian daripada Bersatu. Sebab itu di Parlimen kami diletakkan sebagai ahli Bersatu. Ini cuma formaliti yang belum dibuat oleh kami.

“Pada 22 Ogos akan ada majlis besar untuk umumkan penyertaan kami dalam Bersatu," katanya dipetik Harian Metro.

Pada 7 Ogos, Ahli Parlimen Santhara Kumar memberitahu media yang dia sudah menyertai Bersatu atas kerelaannya sendiri.

Bekas ahli Parlimen PKR lain yang akan menyertai Bersatu ialah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Kata Puad, menyertai Bersatu bermakna Azmin akan menyertai Muafakat Nasional - bersama Umno-BN dan PAS, justeru nasihatnya buat Azmin: “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”.

“Jangan nak mengaum pula macam harimau.

“Rakyat nampak wajah sebenar Azmin. Ketua Polis Negara sahaja yang kata wajah Azmin masih kabur,” katanya tanpa mengulas kenyataanya itu.

Puad dipercayai merujuk sebuah kes video intim yang dikaitkan dengan Azmin tahun lalu. Polis kemudian menghantar klip video berkenaan untuk dianalisis oleh pakar forensik digital di AS.

Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dibuat atas alasan pakar “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah, sementara polis berkata kes itu bukan ditutup, tetapi menunggu sekiranya terdapat sebarang bukti baru.-mKini

0 ulasan:

Catat Ulasan