Rabu, 19 Ogos 2020

Kenyataan Akhbar KPK 19 Ogos 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia





STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 23 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,925 kes (96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).


STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 19 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 16 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,235 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 185 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 16 kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara. Empat (4) kes import tersebut adalah dari negara:
  1. Bangladesh (3 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  2. Filipina (1 kes di Wilayah Persekutuan Labuan).
Kesemua 12 kes penularan di dalam negara melibatkan warganegara Malaysia. Perincian kes adalah seperti berikut:
  1. Kedah:
    • Empat (4) kes daripada Kluster Tawar.
    • Tiga (3) kes daripada Kluster Sala.
  2. Pulau Pinang: Empat (4) kes daripada Kluster Tawar.
  3. Johor: Satu (1) kes saringan sign-on kapal. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.
Sehingga kini, terdapat tujuh (7) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).


STATUS TERKINI KLUSTER TAWAR DAN KLUSTER SALA
KKM ingin memaklumkan status terkini bagi Kluster Tawar dan Kluster Sala yang telah melaporkan kes baharu pada hari ini seperti berikut:
  1. Kluster Tawar
Lapan (8) kes baharu dilaporkan pada hari ini melibatkan negeri Kedah (4 kes) dan Pulau Pinang (4 kes). Justeru, menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 55 kes. Sehingga 19 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 1,910 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:
  1. Kedah (1,560 disaring):
    • 44 kes dikesan positif COVID-19;
    • 1,173 individu negatif; dan
    • 343 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang (341 disaring):
    • 11 kes dikesan positif COVID-19;
    • 316 individu negatif; dan
    • 14 individu masih menunggu keputusan.
  3. Perak: Kesemua sembilan (9) individu yang disaring adalah negatif (saringan terakhir pada 17 Ogos 2020).
  • Kluster Sala
Tiga (3) kes baharu dilaporkan di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes positif 11 kes. Sehingga 19 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 668 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:
  1. Kedah (662 disaring):
    • 11 kes dikesan positif COVID-19;
    • 494 individu negatif; dan
    • 157 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang (6 disaring):
  3. Enam (6) individu negatif.
Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster masih diteruskan. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
RAIKAN AWAL MUHARAM DAN CUTI SEKOLAH DENGAN SELAMAT
Seperti makluman umum, umat Islam bakal meraikan Awal Muharam atau Maal Hijrah pada 20 Ogos 2020. Sempena hari perayaan dan Cuti Umum ini, ramai yang mungkin merancang untuk pulang ke kampung serta mengambil kesempatan menziarahi saudara-mara dan rakan-rakan. Ini termasuk aktiviti merentas negeri serta rancangan untuk mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga.
Namun demikian, KKM menggesa orang ramai supaya tetap patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) sambil mengamalkan normal dan kebiasaan baharu dalam segala aktiviti yang bakal dilakukan. Elakkan daripada mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran sempena hari perayaan ini.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Terus amalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh KKM sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian. Antara nasihat-nasihat tersebut adalah seperti berikut:
  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
19 Ogos 2020 @ 5.00 petang.
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 19 OGOS 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)


NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS031
KEDAH7190
PULAU PINANG4136
PERAK0269
SELANGOR02,150
NEGERI SEMBILAN01,034
MELAKA0259
JOHOR1751
PAHANG0370
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH0416
SARAWAK0682
W.P. KUALA LUMPUR3 (3)2,551
W.P. PUTRAJAYA099
W.P. LABUAN1 (1)23
JUMLAH KESELURUHAN16 (4)9,235

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

0 ulasan:

Catat Ulasan