Selasa, 25 Ogos 2020

LGE lulus projek rundingan terus. Cabar Apa Lagi?PCM mahu LGE disiasat

Lim Guan Eng mengakui ada memberi kelulusan bagi beberapa projek secara rundingan terus ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara. - foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui ada memberi kelulusan bagi beberapa projek secara rundingan terus ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.
Beliau bagaimanapun, menjelaskan ia hanya mewakili enam peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.
"Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka, selaras Janji 23, manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu 'kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya bagi projek besar'.
"Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat berkata kerajaan terdahulu meluluskan 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut berada dalam dewan bangun mencelah dan menjelaskan bahawa Kabinet PH tidak pernah dimaklumkan mengenai projek secara rundingan terus berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng hari ini meminta Tengku Zafrul untuk mendedahkan keseluruhan 101 projek rundingan terus yang diluluskan pentadbiran PH.
"Saya cabar dia (Tengku Zafrul) dedahkan semuanya supaya rakyat boleh menilai dan membandingkan syarikat mana dan kroni siapa dapat tender serta menteri mana yang mohon kelulusan rundingan terus.
"Tengku Zafrul harus mendedahkan segera senarai penuh projek rundingan terus oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN)," katanya.
Mengenai dakwaan Azmin, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, menyifatkan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai 'lupa daratan' dan 'pakar kelentong'.
"Dia (Azmin) ini sekarang sudah lupa daratan. Dulu dia buat macam itu, sekarang dia buat macam lain. Takkan dia boleh lupa apa dibentangkan dalam Kabinet? Dia ini memang sudah jadi pakar kelentong," katanya. (BH)

Sebelum itu PCM minta Guan Eng disiasat
PUTRAJAYA: Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) supaya menyiasat pendedahan 101 projek perolehan RM6.61 bilion ditawarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) secara rundingan terus.
Naib Presiden PCM, Muralitharan Ramachandran, berkata SPRM perlu menjalankan siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu.
Beliau berkata, SPRM juga digesa menyiasat kelulusan dan kelayakan syarikat terbabit dalam melaksanakan projek itu.
"SPRM harus menyiasat adakah berlakunya pengaliran wang oleh kerajaan ke atas syarikat terbabit.
"SPRM perlu siasat adakah nilai sesuatu projek itu diluluskan mengikut dasar dan berpatutan dengan nilai semasa projek berkenaan atau ia membabitkan harga yang sudah dinaikkan.
"Jika perkara itu berlaku, apakah status kewangan berkenaan dalam syarikat itu merujuk kepada pelaksanaan projek berkenaan," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan di SPRM di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus. (BH)

0 ulasan:

Catat Ulasan