PETALING JAYA – “Saya punya rancangan sebenarnya nak kahwin usia 25 tahun.”
Demikian pengakuan pelakon dan pelawak, Zizan Razak, 38, yang reda dengan takdir kehidupannya masih belum bertemu jodoh sehingga sekarang usia kian menghampiri angka 40.
Zizan atau nama sebenarnya, Muhd. Razizan Abdul Razak berkata, melihat beberapa kenalan wanita yang pernah dikaitkan dengan dirinya kini sudah berumah tangga, dia turut berbahagia.
“Saya tengok mereka yang pernah dikaitkan dengan saya bahagia dengan kehidupan, saya pun turut berasa bahagia buat mereka.
“Tiadalah saya nak tertekan semata-mata jodoh belum sampai. Kerjaya masih berjalan dan di situ saya lepaskan tekanan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pra pelancaran filem Rompak di ibu negara semalam.
Jelas pelakon yang cukup popular menerusi filem Abang Long Fadil itu, dia percaya dengan aturan Ilahi tentang jodoh.
“Ada juga niat nak berkahwin sebelum ini tapi tak menjadi dan saya anggap itu semua adalah kerja Allah.
“Allah tak izinkan, saya tak boleh marah. Takkan saya nak marah Allah, takkan saya nak lawan takdir dan mengamuk.
“Jadi, saya berjalan dengan apa yang ada di depan mata. Saya ada kerjaya, rezeki, saya punya restoran, bermacam-macam perniagaan dan sebagainya,” ujarnya.
Tidak menolak andai jodohnya hadir dari kalangan orang industri atau orang bukan popular, Zizan memberitahu, kalau memang tiada jodoh buatnya di dunia, tiada sebab dia perlu berasa tertekan.
“Alhamdulillah, saya okey. Ada juga masa fikir kalau tiada jodoh nak buat macam mana. Kalau ada jodoh, kita jalan.
“Saya serahkan kalau ibu kata okey dan kemudian saya juga rasa begitu, ujian Puspakom dan JPJ lulus, kita kahwin,” katanya berseloroh seraya mengatakan keluarganya sangat memahami dirinya.
Terdahulu, beberapa selebriti wanita popular tanah air pernah dikaitkan bercinta dengan Zizan antaranya Emma Maembong, Che Puan Juliana Evans dan Mira Filzah yang masing-masing sudah berumah tangga.
“Keluarga saya macam relaks. Kalau ada, ada. Kalau tiada, sudah. Saya pun macam selesa atas katil seorang-seorang.
“Ada juga cakap ‘kau ni memilih sangat’. Siapa cakap, dia macam lebih tahu daripada saya. Lepas itu, cakap saya ‘playboy’lah apa lah, tapi saya senyum sahaja sebab banyak lagi benda saya perlu bersyukur,” katanya. – K! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan